Khamis, 29 Januari 2009

Cerita dan kisah menarik

Kedai-Buku.com: Beli Buku Online dari Malaysia

Gedung Rujukan Ilmu: Novel, Bacaan Remaja, Kanak-Kanak, Agama, Panduan & Hobi.




Halangan yang Merintangi Lamaran

Malam Pengantin yang Malang


Ibu Aladin tidak ingin mendengar lebih banyak lagi. Dia bergegas pulang, begitu cepatnya, sehingga ketika masuk ke rumah, dia kehabisan nafas. Ketika dia melihat puteranya, yang tidak mengharapkan berita sedih yang dibawanya, dia berseru, “Nak, engkau telah kehilangan semuanya; engkau telah mempercayai janji-janji baik dari raja, tapi semua itu janji kosong.”

Aladin, yang terkejut mendengar kata-kata ini, bertanya, “Ibu, dengan cara apa raja mengingkari janjinya padaku, dan bagaimana ibu tahu?”

Dia menjawab, “Malam ini, putera wazir agung akan menikah dengan Puteri Badr Al-Budur, di istana.” Lalu dia menceritakan padanya bagaimana dia mengetahuinya dan keadaan yang tidak menimbulkan keraguan tentang hal ini.

Mendengar khabar ini, Aladin tak mampu bergerak, bagai disambar petir. Orang lain pasti akan langsung lemas, tapi Aladin justeru tersengat cemburu, dan dia segera ingat lampu itu, yang hingga saat ini telah banyak membantunya, dan tanpa melepaskan kemarahannya dengan kata-kata kosong untuk mengutuk raja, wazir agung, atau puteranya, dia berkata, “Ibu, barangkali putera agung besar tidak akan sebahagia yang diharapkannya. Sementara aku pergi ke bilikku sebentar, tolong siapkan makan malam.”

Ibu Aladin mengira bahawa puteranya akan memanfaatkan lampu ajaib itu untuk menghalang, jika mungkin, malam pengantin antara putera wazir agung dan sang puteri, dan ternyata wanita itu benar. Sebab ketika Aladin masuk ke biliknya, dia mengambil lampu ajaib, yang disembunyikan dari ibunya sejak kemunculan jin yang membuatnya sangat ketakutan.

Dia menggosoknya di tempat yang sama seperti sebelumnya, dan dengan segera jin itu muncul dan berkata padanya:
“Apa yang paduka inginkan? Inilah hamba, siap untuk mematuhi paduka, sebagai hamba paduka dan hamba semua orang yang memegang lampu itu di tangannya.”

Aladin menjawab: “Dengar, sampai sekarang engkau telah membawakanku makanan apapun yang kuperlukan, tapi kini aku mempunyai urusan yang sangat penting. Aku telah melamar pada raja untuk mengahwini anaknya Puteri Badr Al-Budur.”

“Dia menjanjikannya padaku, tapi dia minta penundaan tiga bulan; tapi, bukannya menepati janjinya, malam ini dia menikahkannya dengan putera wazir agung, sebelum habis masa yang dijanjikannya. Aku baru saja mendengar berita ini, dan aku tidak meragukannya. Yang kuminta darimu adalah, begitu mempelai wanita dan lelaki berada di tempat tidur, engkau mengangkat mereka dan membawa keduanya ke sini.”

Jin menjawab, “Tuan, hamba akan mematuhi paduka. Apakah masih ada perintah lain?”

Aladin menjawab, “Tidak,” dan jin itu hilang seketika.

Aladin kembali mendatangi ibunya dan menikmati makan malam bersamanya, dengan ketenangan yang biasa. Setelah makan malam, dia bercakap-cakap dengannya selama beberapa waktu tentang perkahwinan puteri, seakan-akan urusan itu tidak lagi mengganggunya. Lalu dia kembali ke biliknya, sementara ibunya pergi tidur; tapi, pemuda itu sendiri tidak tidur melainkan menunggu kembalinya jin dan pelaksanaan perintahnya.

Sementara itu, segala sesuatu di istana raja dipersiapkan dengan megah untuk merayakan perkahwinan sang puteri, dan malam itu diisi dengan upacara dan kemeriahan hingga tengah malam, ketika putera wazir agug, atas isyarat yang diberikan padanya oleh ketua pengawal sang puteri, mengundurkan diri dan dibawa oleh petugas itu ke tempat kediaman sang puteri dan ditunjukkan ke bilik di mana katil pengantin telah disiapkan.

Mula-mula dia berbaring di katil, dan tidak lama kemudian, sang ratu, yang disertai para pembantu wanita sang puteri, membawa masuk mempelai, sebagaimana kebiasaan para mempelai, melakukan penolakan keras.

Ratu membantunya untuk melepaskan pakaiannya, menempatkannya di katil, seakan-akan dengan paksa, dan, setelah menciumnya dan mengucapkan selamat malam padanya, pergi bersama semua wanita lainnya, dan wanita terakhir yang pergi menutup pintu.

Begitu pintu di tutup, jin, sebagai hamba yang setia dari lampu ajaib itu dan selalu tepat dalam melaksanakan perintah orang yang memegang lampu di tangannya, tanpa memberi waktu kepada mempelai lelaki untuk menyentuh isterinya sedikit pun, mengangkat tempat tidur dengan kedua mempelai di atasnya, yang membuat mereka terhairan-hairan, dan memindahkannya dalam sekejap mata ke bilik Aladin, di mana dia menurunkannya.

Aladin, yang sedang menunggu dengan tidak sabar saat ini, tidak tahan melihat putera wazir agung tinggal lama di tempat tidur dengan sang puteri. Dia berkata pada jin, “Bawalah mempelai lelaki ini, dan kunci dia di bilik mandi, dan kembalilah esok pagi, tidak lama setelah fajar menyingsing.”

Jin itu segera mengangkat putera wazir agung dari tempat tidurnya dan menjinjingnya pada bajunya ke tempat yang diperintahkan Aladin padanya, dan setelah meniupkan nafas ke arahnya, yang dirasakan dari kepala hingga tumitnya dan yang mencegahnya untuk bergerak, jin itu meninggalkannya di sana.

Meskipun cinta Aladin kepada Puteri Badr Al-Budur begitu besar, dan dia tidak banyak berbicara kepadanya ketika dia mendapati dirinya sendirian bersamanya, dan hanya berkata dengan penuh ghairah, “Jangan takut, puteri yang menawan hati; kau selamat di sini, sebab meskipun cintaku bergelora kerana kecantikan dan pesonamu, aku tidak akan melanggar batas-batas dan rasa hormatku kepadamu.”

Dia menambahkan, “Jika aku terpaksa melakukan tindakan tegas ini, bukan niatku untuk menyakitimu, melainkan untuk mencegah sainganku yang tidak jujur agar memilikimu, bertentangan dengan janji raja, ayahmu, kepadaku.”

Sang puteri, yang tidak tahu apa-apa tentang urusan ini, tidak terlalu memperhatikan apa yang dikatakan Aladin, dan dia tidak mampu memberi reaksi. Sebab ketakutan dan keterkejutan dari perjalanan yang begitu tak terduga ini telah menjadikan keadaannya sebegitu rupa sehingga Aladin tidak dapat membuatnya mengucapkan sepatah kata pun.

Kerana dia tidak mendesak, tapi berbaring di tempat putera wazir agung tadi, dengan membelakangi sang puteri, setelah dia berjaga-jaga dengan meletakkan sebilah pedang di antara dirinya dan puteri itu, untuk menunjukkan dia patut dihukum jika berusaha melakukan apapun untuk menodai kehormatannya.

Aladin, yang puas hatinya kerana telah menjauhkan saingannya dari kebahagiaan yang mestinya akan dinikmatinya malam itu, tidur dengan nyenyak sekali, sementara Puteri Badr Al-Budur, sebaliknya, tidak pernah menghabiskan malam yang begitu buruk dan tidak menyenangkan sepanjang hidupnya.

Keesokan harinya, Aladin tidak harus menggosok lampu untuk memanggil jin. Dia datang sendiri pada jam yang telah ditentukan, tepat ketika Aladin telah selesai berpakaian, dan berkata padanya, “Inilah hamba, apa yang paduka perintahkan?”

Aladin menjawab, “Pergilah, dan bawa putera wazir agung dari tempat kau meninggalkannya, dan letakkan dia di tempat tidur ini lagi, dan angkatlah ke istana raja, dari mana kau membawanya semalam.”

------------------------------------------------------------------------------------------------

Jin, Aladin dan Katil Pengantin

Jin itu pun pergi untuk menjemput putera wazir, dan ketika dia kembali, Aladin mengambil pedangnya, dan jin itu membaringkan mempelai lelaki di samping sang puteri dan seketika membawa katil pengantin itu ke bilik yang sama di istana raja, darimana dia mengambilnya. Harus diingat bahawa selama ini, jin itu tidak terlihat oleh sang puteri mahupun putera wazir agung.

Bentuknya yang mengerikan pasti akan membuat mereka mati ketakutan. Mereka bahkan tidak mendengar pembicaraan antara dirinya dengan Aladin. Mereka hanya merasa guncangan tempat tidur itu dan pemindahan mereka dari satu tempat ke tempat lain, yang dapat kita bayangkan, sudah cukup menakutkan mereka.

Begitu jin menurunkan katil pengantin ke tempatnya, raja, yang ingin mengetahui bagaimana sang puteri melewatkan malam pengantinnya, memasuki biliknya untuk mengucapkan selamat pagi. Putera wazir agung, yang hampir mati kesejukan sepanjang malam dan yang belum sempat menghangatkan dirinya, begitu mendengar pintu terbuka, langsung melompat dari tempat tidur dan lari ke bilik mandi di mana dia melepaskan pakaian semalam.

Raja mendekati tempat tidur, mencium sang puteri diantara kedua matanya, sesuai adat, mengucapkan selamat pagi, dan bertanya padanya sambil tersenyum bagaimana dia melalui malam itu. Tapi sambil mengangkat kepala puterinya dan memandangnya lebih cermat, dia sangat terkejut ketika melihat bahawa gadis itu sedih dan pipinya tidak kelihatan merah dan tidak ada tanda lain yang menunjukkan bahawa dia akan memenuhi harapannya.

Dia hanya menatapnya dengan pandangan sedih yang mengungkapkan penderitaan hebat atau kekecewaan yang sangat besar. Dia mengucapkan beberapa patah kata kepada puterinya, tapi, kerana tidak dapat membuatnya berbicara, dia mengira bahawa gadis itu tidak mahu membuka mulutnya untuk menjaga sopan santun dan diapun meninggalkannya.

Sekalipun demikian, dia tetap khuatir bahawa ada sesuatu yang luar biasa dalam sikap diamnya. Maka dia segera pergi ke kediaman ratu dan menceritakan padanya keadaan puterinya ketika dia menjumpainya dan bagaimana penerimaannya terhadapnya. Ratu berkata padanya, “Tuanku, ini mestinya tidak mengejutkan yang mulia. Tidak ada mempelai yang menunjukkan sikap yang sama pada pagi hari setelah pernikahannya.

Ini akan berubah dalam dua atau tiga hari, dan seterusnya dia akan menerima raja, ayahnya, sebagaimana layaknya.” Dia menambahkan, “Aku akan pergi dan menjenguknya, dan aku pasti salah kalau dia menerimaku dengan cara yang sama.”

Begitu ratu berpakaian, dia pergi ke kediaman sang puteri, yang masih berada di tempat tidur. Dia mendekati tempat tidur, mengucapkan selamat pagi, dan menciumnya. Tapi dia sangat terkejut, bukan saja kerana sang puteri tidak menjawabnya, tapi juga, kerana ketika dia memandangnya, ratu melihat puterinya dalam keadaan sangat sedih, yang mendorongnya untuk menyimpulkan bahawa sesuatu yang tak difahaminya pasti telah terjadi padanya.

Ratu berkata padanya:
“Nak, mengapa tanggapanmu begitu buruk terhadapku? Haruskah kau perlakukan ibumu dengan cara begini, dan apakah engkau mengira aku tidak tahu apa yang terjadi pada seseorang dalam situasimu? Aku yakin ini bukanlah yang mengganggu perasaanmu dan bahawa sesuatu yang lain pasti telah terjadi padamu. Katakan padaku sejujurnya, dan jangan biarkan aku lebih lama lagi tercekam ketegangan.”

Akhirnya Puteri Badr Al-Budur memecahkan kebisuannya, dengan mengeluh dalam-dalam dan berseru, “Ah! Tuanku ratu dan ibuku yang paling kuhormati, maafkan aku kerana tidak boleh menunjukkan rasa hormatku padamu. Fikiranku begitu disesaki dengan hal-hal yang luar biasa yang terjadi padaku semalam sehingga aku belum dapat sembuh dari keterkejutan dan ketakutanku, dan aku hampir tidak dapat mengerti diriku sendiri.”

Lalu dia menceritakan padanya dengan sangat terperinci bagaimana, begitu dia dan suaminya berada di tempat tidur, tempat tidur itu diangkat ke atas dan dipindahkan seketika ke suatu bilik yang gelap dan kotor, di mana dia menemukan dirinya sendirian dan terpisah dari suaminya, tanpa mengetahui apa yang terjadi pada lelaki itu, dan di mana dia melihat seorang pemuda, yang, setelah mengucapkan beberapa patah kata kepadanya, yang tidak dapat difahaminya kerana sangat ketakutan, berbaring di sampingnya menggantikan suaminya, setelah dia meletakkan sebilah pedang di antara mereka; dan bagaimana suaminya di bawa kembali padanya, dan tempat tidur itu dipindahkan kembali ke tempatnya lagi, dalam waktu sangat singkat.

Dia berkata:
“Semua ini baru saja terjadi, ketika ayahku sang raja memasuki bilikku. Aku begitu terlanda kesedihan sehingga aku tidak mampu menanggapinya bahkan dengan sepatah kata paling sederhana pun, dan aku tidak ragu bahawa dia merasa gelisah dengan caraku menerima kehormatan yang diberikannya padaku, tapi kuharap dia akan memaafkan aku jika dia tahu tentang keadaanku yang menyedihkan dan patut dikasihani sekarang ini.”

Ratu mendengar dengan tenang apa yang dikatakan sang puteri padanya tapi dia tidak mempercayainya, dan berkata padanya, “Nak, kau benar dengan tidak menyampaikan cerita ini pada sang raja, ayahmu. Jagalah agar tidak mengatakan sesuatu tentang hal ini pada siapapun, sebab orang-orang akan mengira kau gila jika mendengarmu berbicara seperti ini.”

Sang puteri menjawab, “Tuanku ratu, aku dapat meyakinkanmu bahawa aku dalam keadaan waras. Tanyakan pada suamiku, dan dia akan menceritakan padamu hal yang sama.”

Ratu berkata, “Aku akan bertanya padanya, tapi jika diapun berbicara seperti mu, aku tidak akan lebih mempercainya dibanding sekarang. Bangunlah, dan lepaskan dirimu dari khayalan ini. Ini akan menjadi cerita yang bagus, jika engkau rosakkan dengan impian semacam itu perayaan yang telah direncanakan untuk perkahwinanmu, yang akan diteruskan selama beberapa hari, bukan hanya di istana, melainkan di seluruh kerajaan.”

Tidakkah engkau dengar keriuhan dan suara terompet, muzik, dan rebana? Semua ini mestinya dapat menimbulkan kegembiraan dan kesenangan padamu dan membuatmu melupakan semua khayalan yang kau ceritakan padaku.” Lalu ratu memanggil para wanita pelayan puteri, dan, setelah melihat sang puteri bangun dan mulai mempersiapkan diri, pergi ke kediaman raja dan mengatakan padanya bahawa puterinya memang telah terganggu oleh khayalan tapi semua itu tidak membahayakan.

Lalu dia memanggil putera wazir agung itu, yang merasa dirinya mendapat kehormatan begitu besar kerana kini menjadi kerabat raja, memutuskan untuk menyimpan rahsia. Ratu berkata padanya, “Menantuku, apakah kau sama keras kepalanya dengan isterimu?”

Dia berkata, “Tuanku ratu, bolehkah hamba memberanikan diri dengan bertanya dalam kaitan apa paduka menanyakan pada hamba pertanyaan ini?”

Ratu menjawab, “Sudah cukup, aku tidak ingin bertanya lebih jauh; engkau lebih bijaksana daripada isterimu.”

Perayaan di istana berlangsung sepanjang hari, dan ratu, yang tidak pernah meninggalkan puterinya, melakukan semua yang dapat dilakukannya dan mendorongnya untuk ikut serta dalam berbagai hiburan dan pertunjukan yang dipersiapkan untuknya. Tapi sang puteri begitu terganggu oleh ingatan akan apa yang terjadi pada malam sebelumnya sehingga mudah untuk melihatnya bahawa fikirannya terbawa olehnya.

Putera wazir agung tidak kurang menderita sebagai akibat kejadian semalam yang mengerikan itu, tapi ia bersikap berpura-pura bahawa keadaannya begitu baik sehingga tak seorangpun meragukan dirinya sebagai seorang mempelai lelaki yang bahagia.

Aladin, yang tahu benar tentang apa yang sedang terjadi di istana, tidak pernah meragukan bahawa pengantin baru itu akan bersamanya lagi nanti malam, meskipun telah terjadi bencana di malam sebelumnya, dan dia tidak ingin membiarkan mereka merasa tenteram.

Kerana itu, ketika malam tiba, dia kembali memanfaatkan lampu itu, dan jin muncul dengan segera dan mengucapkan perkataan yang biasa kepada Aladdin dan menawarkan pelayanannya.

Aladin berkata padanya:
“Putera wazir agung dan Puteri Badr Al-Budur akan berbaring bersama lagi malam ini. Pergilah, dan setelah mereka berada di tempat tidur, bawalah ke sini, seperti yang engkau lakukan kelmarin.”

Jin itu melaksanakan perintah Aladin dengan patuh dan tepat seperti yang diperintahkannya pada hari sebelumnya. Putera wazir agung, melewatkan malam dengan sama sengsaranya seperti sebelumnya, dan sang puteri merasakan penghinaan yang sama dengan menerima Aladin sebagai teman tidurnya, dengan sebilah pedang yang ditempatkan di antara keduanya.

Keesokan harinya, menuruti perintah Aladin, jin itu kembali dan dengan membawa kembali mempelai lelaki dan membaringkannya di samping mempelai wanita, mengangkat tempat tidur dengan sepasang pengantin baru itu kembali di istana dari mana dia mengambilnya.

Raja, yang setelah penerimaan Puteri Badr Al-Budur terhadapnya kelmarin, yang begitu kecewa, ingin mengetahui bagaimana puterinya melewatkan malam kedua dan apakah dia akan memberikan penerimaan yang sama kepadanya. Sang raja pergi ke bilik tidur puterinya pagi-pagi sekali sebagaimana hari sebelumnya.

Putera wazir agung, yang merasa lebih malu dan terhina akibat kegagalan malam kedua, begitu mendengar raja datang maka dia bangkit dan bergegas ke bilik mandi. Raja mendekati tempat tidur sang puteri, dan mengucapkan selamat pagi, dan setelah memeluknya seperti yang dilakukannya kelmarin, dia bertanya padanya, “Nah, puteriku, apakah perasaanmu lebih baik daripada pagi kelmarin? Katakan padaku bagaimana engkau melewatkan malam pengantin malam ini.”

Tapi sang puteri lagi-lagi hanya terdiam, dan raja melihat bahawa gadis itu lebih terganggu dan lebih sedih daripada sebelumnya, dan dia tidak ragu bahawa sesuatu yang luar biasa pasti telah terjadi terhadapnya. Maka, kerana kecewa dengan kelakuan puterinya yang membuatnya bingung, dia berkata kepadanya dengan marah, dengan pedang di tangan, “Nak, katakan padaku apa yang kau sembunyikan, atau aku akan memenggal kepalamu seketika ini juga.”

Akhirnya, sang puteri, yang lebih ketakutan kerana nada suara dan ancaman raja yang marah daripada pedangnya yang terhunus, memecahkan kebisuannya.

Dia berseru, dengan air mata bercucuran:
“Ayahku tersayang dan paduka raja, aku mohon ampun kepada yang mulia, jika aku telah membuatmu marah dan aku mengharapkan kebaikan dan belas kasihanmu, agar yang mulia membiarkan kasih sayangmu menggantikan kemarahanmu, jika aku telah menyampaikan penjelasan tentang keadaan menyedihkan yang kulalui semalam dan malam sebelumnya.”

Setelah mengucapkan itu, yang membuat raja tenang dan sedikit tergerak hatinya, sang puteri menuturkan kepadanya dengan jujur semua yang telah terjadi padanya selama dua malam yang malang itu. Dia berbicara dengan cara yang begitu menyentuh hati sehingga raja, yang mencintainya dan selalu bersikap lembut kepadanya, ikut bersedih.

Dia menutup ceritanya dengan kata-kata ini:
“Jika yang mulia ragu sedikit saja tentang penjelasanku ini, paduka dapat menanyakan pada suami yang paduka berikan padaku. Aku yakin bahawa dia akan menceritakan hal yang sama.”

--------------------------------------------------------------------------------------------------

Perceraian Sebelum Malam Pertama

Raja merasa sangat sedih mengetahui bahawa bencana yang begitu menghairankan telah menimpa puterinya. Dia berkata padanya, “Nak, engkau membuat kesalahan besar dengan tidak menceritakan padaku kelmarin tentang urusan aneh ini, yang membuatku sedih sebagaimana dirimu.

Aku tidak mengahwinkanmu dengan membuat engkau sengsara, tapi dengan niat untuk membuatmu senang dan bahagia dan dapat menikmati segala keberuntungan yang patut engkau terima dan engkau harapkan dengan seorang suami yang kukira sesuai untukmu. Lupakan fikiran-fikiran yang mengganggu ini. Aku akan memastikan agar engkau tidak mengalami malam yang menyusahkan dan tak tertahankan ini lagi.”

Dan baginda kembali ke kediamannya sendiri, dia memanggil wazir agung dan berkata padanya, “Wazir, sudahkah kau temui puteramu, dan apakah dia sudah menyampaikan sesuatu kepadamu?” Ketika wazir agung menjawab bahawa dia belum bertemu dengannya, raja menceritakan kepadanya semua yang telah dikatakan Puteri Badr Al-Budur, dan menyudahinya dengan kata-kata:
“Aku tidak ragu bahawa puteriku telah berbicara dengan jujur, sekalipun begitu, aku akan merasa lebih senang, jika cerita puteriku ini dibenarkan oleh puteramu. Pergilah dan tanyai dia tentang perkara yang aneh ini.”

Wazir agung segera menemui puteranya, menyampaikan padanya apa yang telah dikatakan raja, dan memintanya untuk tidak menyembunyikan sesuatu darinya, melainkan untuk mengatakan apakah semua ini benar.

Sang putera berkata:
“Ayah, aku tidak menyembunyikan apapun darimu, tapi sang puteri tidak dapat menggambarkan pada ayahnya perlakuan buruk yang kuterima. Sejak perkahwinanku, aku telah melewatkan dua malam paling mengerikan yang tak dapat dibayangkan orang, dan aku tidak menemukan kata-kata untuk melukiskan padamu secara terperinci segala yang telah kuderita.”

“Aku tidak akan melukiskan kepadamu ketakutanku ketika merasakan tampat tidurku diangkat empat kali ke tempat lain, tanpa mampu melihat siapa yang melakukannya atau memikirkan bagaimana hal itu dilakukan.”

“Aku akan menyerahkan penilaian kepadamu keadaan menyedihkan yang kulewatkan selama dua malam, berdiri tanpa mengenakan apa-apa kecuali bajuku di dalam bilik air, tanpa mampu bergerak dari tempat di mana aku diletakkan, meski aku tidak melihat penghalang yang mencegahku untuk bergerak.”

“Lagi pula, tidak ada gunanya mengatakan padamu tentang penderitaanku. Tapi aku tetap harus mengatakan kepadamu bahawa semua ini sama sekali tidak mengurangi rasa cintaku, rasa hormatku, dan terimakasihku yang sepatutnya diterima oleh sang puteri.”

“Namun dengan segala kejujuran aku harus mengakui bahawa meskipun aku mendapatkan kehormatan dan kegemilangan dengan menikahi puteri rajaku, aku lebih suka mati daripada mempertahankan pernikahan seagung ini, jika aku harus mengalami perlakuan yang begitu menghinakan ini.”

“Aku tidak ragu bahawa sang puteri merasakan hal yang sama dan bahawa dia akan serta merta setuju perpisahan kami sangat penting baginya seperti juga bagiku demi mendapatkan kedamaian. Kerana itu, ayah, aku mohon padamu, dengan kelembutan hati yang sama yang telah mendorongmu untuk mendapatkan untukku kehormatan yang begitu besar, mintalah agar raja menyetujui untuk membatalkan perkahwinan kami.”

Meskipun keinginan wazir agung bagi puteranya begitu besar untuk menjadi menantu raja, kebulatan hati yang diungkapkan puteranya untuk berpisah dari sang puteri meyakinkannya bahawa bukanlah gagasan yang baik untuk menyuruhnya sedikit bersabar selama beberapa hari lagi, untuk melihat apakah ancaman itu akan berakhir. Dia meninggalkannya dan pergi untuk melapor kepada raja, mengatakan padanya dengan terus terang bahawa, menurut apa yang telah didengarnya dari puteranya, semua itu benar adanya.

Tanpa menunggu, hingga raja sendiri yang dilihatnya sangat setuju dengannya, membicarakan tentang pembatalan perkahwinan, wazir agung memohon kepadanya untuk mengizinkan puteranya meninggalkan istana untuk tinggal bersamanya, dengan memberi alasan pada raja bahawa tidak adil membiarkan sang puteri mengalami saat-saat mengerikan itu lebih lama lagi demi puteranya. Wazir agung tidak menemui kesulitan untuk mendapatkan apa yang dimintanya.

Raja, yang telah menetapkan keputusannya, segera memerintahkan untuk segera menghentikan perayaan di istana, di kota, dan di seluruh bahagian kerajaan, membatalkan perintah- perintah sebelumnya, dan dalam waktu singkat, semua tanda kegembiraan dan pesta rakyat di kota dan di seluruh kerajaan dihentikan serta merta.

Perubahan yang tiba-tiba dan tak diharapkan ini menimbulkan berbagai spekulasi. Rakyat bertanya satu sama lain apa yang menyebabkan bencana ini, tapi tak seorang pun di antara mereka yang dapat menjelaskan kecuali mengatakan bahawa mereka telah melihat wazir agung meninggalkan istana dan pulang ke rumahnya bersama puteranya, keduanya kelihatan sangat sedih.

Tak seorangpun kecuali Aladin tahu rahsia itu dan dia sangat gembira mengetahui kejayaan yang telah dibawakan lampu itu untuknya. Maka, setelah mendengar dengan pasti bahawa saingannya telah meninggalkan istana dan bahawa perkahwinan antara dirinya dan sang puteri telah dibatalkan, dia tidak lagi harus menggosok lampu untuk memanggil jin bagi mencegah terjadinya malam pengantin mereka.

Tapi yang paling aneh adalah bahawa raja mahupun wazir agung, yang telah melupakan Aladin dan tuntutannya, sama sekali tidak mempunyai cadangan bahawa ia ikut berperanan dalam kekacauan yang menyebabkan batalnya perkahwinan itu.

Aladin, bagaimanapun juga, menunggu berakhirnya masa tiga bulan yang diminta raja sebelum perkahwinan antara dirinya dan Puteri Badr Al-Budur dilangsungkan. Dia menghitung setiap hari dengan sangat cermat, dan ketika waktunya tiba, dia meminta ibunya pergi ke istana, untuk mengingatkan raja akan janjinya.

Wanita itu pergi ke istana, seperti yang diminta puteranya, dan berdiri di ruang masuk pertemuan, di tempat yang sama seperti sebelumnya. Begitu raja melihatnya, dia mengenali dan ingat akan lamarannya serta waktu yang telah ditangguhkan. Kerana itu dia memanggil wazir agung, yang sedang melaporkan kepadanya tentang suatu masalah, dan berkata, “Wazir, aku melihat wanita yang baik yang beberapa bulan lalu, memberiku hadiah begitu indah.

Bawalah dia kehadapanku, dan setelah aku mendengar apa yang ingin dikatakannya, kau boleh melanjutkan laporanmu.” Wazir agung, sambil memandang ke ruangan, melihat ibu Aladin dan segera memanggil ketua pengawal dan dengan menunjukkan wanita itu, memerintahkannya untuk membawanya ke hadapan raja.

Ibu Aladin mendatangi kaki takhta dan bersujud, seperti biasa, dan ketika dia bangkit kembali, raja bertanya apa yang diinginkannya. Dia berkata, “Tuanku, hamba berdiri lagi di depan takhta yang mulia untuk mengemukakan, atas nama putera hamba, bahawa penundaan tiga bulan yang paduka titahkan atas lamaran yang hamba sampaikan kepada paduka telah berakhir, dan hamba mohon yang mulia untuk mengingat janji paduka.”

Raja, ketika dia menuntut penundaan tiga bulan sebelum memenuhi janjinya kepada wanita yang baik ini sewaktu dia melihatnya pertama kali, tidak mengira akan mendengar lagi tentang perkahwinan itu, yang dianggapnya tidak sesuai untuk puterinya, semata-mata mengingat kemiskinan dan kerendahan darjat ibu Aladdin, yang tampil dihadapannya dengan pakaian yang sangat sederhana.

Namun permintaannya yang mendesak kepadanya untuk memenuhi janjinya telah mempermalukan dirinya, dan dia menganggap tidak selayaknya dia memberikan jawapan seketika itu. Maka dia meminta nasihat wazir agung, sambil mengungkapkan kepadanya keengganannya untuk mengahwinkan sang puteri dengan orang asing yang kekayaannya dianggap sangat kecil.

Wazir agung tidak ragu-ragu untuk menyampaikan padanya pendapatnya tentang masalah itu dan berkata padanya, “Tuanku, hamba kira ada cara paling tepat untuk menghindari perkahwinan yang begitu tidak seimbang, dengan memberikan syarat-syarat yang tidak mampu Aladin sediakan. Tentunya syarat yang begitu tinggi untuk mendapatkan sang puteri sehingga tidak soal sebanyak apapun kekayaannya, dia tidak akan memenuhi syarat itu. Ini akan membuatnya berhenti mengejar impian yang begitu berani, kalau tidak dapat dikatakan kurang ajar, yang tentunya tidak terlalu difikirkannya ketika dia mengangankannya.”

Raja, yang menyetujui nasihat wazir agung, berpaling kepada ibu Aladin dan, setelah merenung sesaat, berkata padanya:
“Wanita yang baik, raja harus memenuhi janjinya, dan aku siap untuk memenuhi janjiku dan membuat puteramu bahagia dengan mengahwinkan puteriku dengannya.”

“Tapi kerana aku tidak dapat mengahwinkannya sebelum aku mengetahui bahawa dia akan mengurusnya dengan baik, katakan pada puteramu bahawa aku akan memenuhi janjiku begitu dia mengirim padaku empat puluh mangkuk besar dari emas, penuh dengan barang-barang yang sama yang telah kau berikan padaku atas namanya, dan dibawa oleh empat puluh orang hamba hitam, yang didahului empat puluh hamba putih, yang masih muda, tampan, bertubuh bagus, dan berpakaian indah.”

“Inilah syarat yang kuminta untuk menyerahkan kepadanya puteriku. Pergilah, wanita yang baik, dan aku akan menunggu hingga engkau menyampaikan padaku jawapannya.”

------------------------------------------------------------------------------------------

Mangkuk Emas, Hamba Hitam dan Putih


Ibu Aladin bersujud di depan takhta raja dan pergi. Dalam perjalanan pulangnya, dia tertawa sendiri mengingat khayalan bodoh puteranya dan berkata pada dirinya sendiri:
“Dari mana dia akan menemukan sebegitu banyak mangkuk emas dan kaca berwarna untuk mengisinya? Apakah dia akan kembali ke ruang bawah tanah, yang jalan masuknya sudah ditutup, dan mengumpulkannya dari pohon-pohon itu? Dan dari mana dia akan mendapatkan hamba-hamba hitam dan putih sebanyak itu, seperti yang diminta oleh raja? Semua ini diluar jangkauannya, dan kukira dia akan puas dengan usahaku.”

Ketika dia tiba di rumah, dipenuhi fikiran yang membuatnya yakin bahawa keinginan Aladin tidak mungkin terpenuhi, dia berkata padanya:
“Nak, aku nasihatkan padamu untuk melepaskan seluruh anganmu untuk mengahwini Puteri Badr Al-Budur. Raja memang menerimaku dengan baik, sungguh, dan aku percaya bahawa dia mempunyai niat baik terhadapmu, tapi, jika aku tidak salah, wazir agung membuatnya berubah fikiran, seperti yang akan engkau setujui setelah engkau mendengar penjelasanku.”

“Setelah aku mengingatkan yang mulia bahawa waktu tiga bulan telah habis dan memohon kepadanya atas namamu untuk mengingatkan janjinya, aku melihatnya berbicara dengan berbisik-bisik selama beberapa waktu dengan wazir agungnya, sebelum dia memberiku jawapan yang akan kusampaikan padamu sekarang.”

Dia lalu menyampaikan pada puteranya sebagaimana apa yang dikatakan raja dengan syarat-syarat yang diajukan agar dia dapat menikah dengan sang puteri. Lalu dia berkata, “Nak, dia menunggu jawapanmu,” dia melanjutkan sambil tersenyum, “Aku percaya bahawa dia harus menunggu lama sekali.”

Aladin menjawab, “Tidak selama yang ibu kira, raja keliru jika memandang bahawa dengan tuntutannya yang luar biasa ini dia dapat mencegahku untuk menginginkan Puteri Badr Al-Budur. Aku bahkan mengharapkan kesulitan yang lebih tak besar lagi dan mengira bahawa dia akan menetapkan syarat yang lebih tinggi untuk meminang sang puteri yang tiada duanya itu, tapi kini aku puas, dan apa yang dituntutnya itu kecil saja ertinya, jika dibandingkan dengan apa yang dapat kulakukan untuk mendapatkan puterinya.”

Tapi sementara aku berfikir untuk memenuhi tuntutan raja, tolong ibu pergi untuk membeli sesuatu untuk makan malam, dan selebihnya serahkan padaku. Begitu ibu Aladin pergi ke pasar, Aladin mengambil lampu dan menggosoknya, dan seketika jin itu muncul di hadapannya dan bertanya kepadanya dengan kata-kata yang biasa apa yang diinginkannya, sambil menyampaikan kesiapan untuk melayaninya.

Aladin berkata: “Raja setuju mengahwinkan aku dengan puterinya, tapi sebelumnya dia meminta dariku empat puluh mangkuk emas, penuh dengan buah-buahan yang aku kumpulkan dari taman di mana aku mengambil lampu yang memperhambamu.”

“Dia juga meminta bahawa keempat puluh mangkuk ini dibawa oleh empat puluh hamba hitam, yang didahului oleh empat puluh hamba putih, yang masih muda, tampan, bertubuh bagus, dan berpakaian indah. Pergilah, dan sediakan untukku hadiah ini, secepat mungkin, agar aku dapat menyerahkannya kepada raja, sebelum sidang ditunda.”
Jin itu berkata bahawa perintahnya akan dilaksanakan dan kemudian menghilang.

Jin itu kembali tidak lama kemudian dengan empat puluh orang hamba hitam, yang masing-masing membawa sebuah mangkuk besar dari emas, yang penuh dengan mutiara, intan, batu delima, dan batu zamrut, yang semuanya merupakan pilihan yang lebih baik dan lebih besar serta lebih indah dibanding yang diberikan pada raja sebelumnya, dan setiap mangkuk ditutup dengan kain perak, yang disulam dengan bunga-bunga emas.

Semua hamba ini, yang jumlahnya sama banyaknya baik yang hitam mahupun yang putih, dan mangkuk-mangkuk emas ini benar-benar memenuhi rumah, yang sangat kecil, serta halaman sempit di depan dan taman kecil di belakang. Jin itu bertanya apakah Aladin puas dan apakah masih ada perintah lain, dan ketika Aladin menjawab bahawa dia tidak ada perintah lain, jin itupun menghilang lagi.

Ketika ibu Aladin kembali dari pasar dan masuk ke rumah, dia sangat terkejut melihat begitu banyak orang dengan begitu banyak harta di sana. Ketika dia menurunkan bahan makanan yang baru saja dibelinya, dia hendak melepaskan tudungnya, tapi Aladin menghentikannya, sambil berkata:
“Ibu, kita tidak boleh membuang-buang waktu. Sebelum raja menunda sidang, ibu harus kembali ke istana, dan bawalah serta bersamamu hadiah ini sebagai mahar yang dituntutnya untuk Puteri Badr Al-Budur, sehingga dia dapat menilai, melalui kegigihan dan ketepatanku, semangatku yang menyala-nyala dan ketulusanku untuk mendapatkan kehormatan menjalin hubungan dengannya.”

Tanpa menunggu ibunya untuk menjawab, Aladin membuka pintu ke jalan dan menyuruh hamba-hamba itu berbaris keluar, seorang hamba putih yang selalu diikuti dengan hamba hitam yang membawa mangkuk emas di kepalanya.
Ketika mereka semua keluar, dan sang ibu mengikuti hamba hitam terakhir, Aladin menutup pintu dan duduk tenang di biliknya, dengan harapan bahawa raja, setelah menerima hadiah yang dimintanya, akhirnya akan setuju menerimanya sebagai menantu.

Hamba putih pertama yang keluar dari rumah Aladin membuat semua orang yang lewat melihatnya berhenti, dan sebelum lapan puluh orang hamba putih dan hitam itu keluar dari rumah, jalan telah disesaki orang-orang yang bergegas datang dari seluruh bahagian kota untuk melihat pemandangan yang megah dan luar biasa itu.

Pakaian yang dikenakan setiap hamba itu demikian mewah, dari kain dan juga permata, sehingga orang yang paling tahu menilai harga masing-masing pakaian tersebut lebih dari satu juta. Kerapian dan kesempurnaan melengkapi setiap pakaian; penampilan yang anggun, air muka yang tampan, dan seragam dan bentuk badan yang bagus dari setiap hamba; jalan mereka yang gagah, pada jarak yang sama antara satu dengan yang lainnya; kilau permata mereka, yang sangat besar dan dihias dengan indah pada sabuk mereka yang terbuat dari emas, dan sinar dari lencana mereka yang terbuat dari permata pada topi mereka, yang bentuknya begitu khas, membuat sesiapa saja yang melihatnya terpana dalam kekaguman sebegitu rupa sehingga mereka tak bosan-bosannya memandang dan mengikutinya dengan mata mereka, sejauh mungkin.

Jalanan demikian sesak dengan orang-orang yang ingin menyaksikan iring-iringan itu, sehingga setiap orang terpaksa berada di tempatnya tanpa boleh bergerak.

Kerana hamba-hamba itu harus melewati banyak jalan, yang membentang di sebahagian besar kota, orang-orang dari segala lapisan dan latar belakang dapat menyaksikan perjalanan yang menarik ini.

Ketika hamba pertama tiba di halaman pertama istana, para penjaga gerbang, yang telah mengatur diri mereka dalam barisan, begitu melihat iring-iringan itu mendekat, mengira dia seorang raja dan mendekatinya dan mencium pinggiran jubahnya, tapi hamba itu, yang diberi petunjuk oleh jin, menghentikan mereka dengan sedih, “Kami hanya hamba. Junjungan kami akan muncul pada waktunya nanti.”

Lalu hamba ini, diikuti oleh hamba yang lainnya, memasuki istana kedua, yang sangat luas di mana para penjaga raja selalu siap dalam barisan ketika sidang sedang berlangsung. Meskipun para pembesar, yang berdiri mengetuai pasukan mereka, berpakaian sangat indah, mereka nampak tenggelam dengan kehadiran lapan puluh hamba yang membawa hadiah dari Aladin.

Tidak ada sesuatupun di istana raja yang nampak indah dan cemerlang, dan seluruh kegemilangan para penghuni istana tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan pemandangan lapan puluh hamba hitam dan putih itu.

Kerana raja telah diberitahu tentang adanya iring-iringan itu dan kedatangan para hamba, ia memerintahkan untuk menerima mereka, maka mereka dibawa ke ruangan pertemuan, dan mereka menuju tempat itu dalam barisan yang rapi, satu bahagian mengisi sisi kanan dan yang lain mengisi sisi kiri.

Setelah mereka semua masuk dan membentuk setengah lingkaran besar di depan takhta raja, para hamba hitam meletakkan mangkuk-mangkuk di atas permaidani dan mereka semua bersujud, menyentuh permaidani dengan kening mereka, dan pada saat yang sama, hamba putih itu melakukan hal yang sama.

Lalu mereka semua bangun lagi, dan para hamba hitam membuka tutup mangkuk, dan mereka semua berdiri dengan bersilang di dada, dengan penuh hormat.

Sementara itu ibu Aladin maju mendekati kaki takhta dan, setelah bersujud, berkata kepada raja, “Tuanku, putera hamba Aladin tahu benar bahawa hadiah yang dikirimkannya kepada yang mulia ini jauh lebih sedikit daripada yang patut diterima Puteri Badr Al-Budur; sekalipun begitu, dia berharap bahawa yang mulia akan menerimanya dan menganggapnya sesuai untuk sang puteri, dengan segala keyakinan, sebab dia telah berusaha keras untuk memenuhi syarat yang telah paduka tetapkan terhadapnya.”

Raja tidak sempat menaruh perhatian pada pujian dari ibu Aladin. Sebab begitu dia melihat keempat puluh mangkuk itu, yang penuh berisi permata paling cemerlang, bercahaya, dan berharga yang belum pernah disaksikannya, dan memperhatikan kelapan puluh hamba itu, yang, baik kerana keelokan jasmani mereka mahupun kemewahan pakaian dan perhiasan mereka yang menakjubkan, tampil layaknya para raja, dia begitu terpaku sehingga tidak dapat terjaga dari kekagumannya.

Maka bukannya menanggapi pujian dari ibu Aladin, dia berbicara pada wazir agung, yang tidak dapat memahami, sebagaimana raja sendiri, dari mana limpahan kekayaan itu berasal.

Dia berkata pada wazir agung keras-keras, “Nah, wazir, apa pendapatmu tentang orang yang mengirimkan padaku hadiah yang begitu mewah dan luar biasa seperti ini, sedangkan aku mahupun kau belum mengenalinya? Apakah kau fikir dia layak mengahwini anakku Puteri Badr Al-Budur?”

Lepas dari iri hati sang wazir dan kesedihannya menyaksikan orang asing lebih disukai dibanding puteranya sendiri untuk menjadi menantu raja, dia tidak berani menyembunyikan perasaannya. Sebab sudah jelas sekali bahawa hadiah Aladin itu sudah lebih dari cukup untuk membuat dirinya dapat diterima untuk menjalin hubungan dengan raja; kerana itu dia mengikuti saja ucapan raja, dia menjawab:
“Tuanku, hamba sama sekali tidak berpendapat bahawa orang yang telah memberikan hadiah yang begitu berharga kepada yang mulia tidak patut mendapat kehormatan yang ingin paduka berikan kepadanya, dan hamba berani mengatakan dia patut mendapatkan lebih banyak, meski hamba tetap yakin bahawa tidak ada harta kekayaan di dunia ini yang cukup berharga dibandingkan dengan sang puteri.”

Mendengar kata-kata ini para bangsawan istana, yang hadir dalam sidang, bertepuk tangan menyetujuinya.
Raja tidak ragu-ragu lagi. Dia bahkan tidak berusaha untuk mengetahui apakah Aladin memiliki sifat-sifat yang sesuai bagi orang yang ingin menjadi menantunya. Hanya dengan melihat limpahan kekayaan itu dan kegigihan Aladin untuk memenuhi tuntutan yang sangat tinggi yang diajukan padanya, tanpa mendapatkan kesulitan sama sekali, dengan mudah meyakinkan raja bahawa tidak ada sesuatu yang kurang pada diri Aladin sebagaimana yang diinginkan raja.

Kerana itu, sambil menyuruh ibu Aladin pulang dengan segala kepuasan yang dapat diharapkannya, raja berkata padanya:
“Wanita yang baik, pergilah dan katakan pada puteramu bahawa aku menanti-nanti untuk menerimanya dengan tangan terbuka dan untuk memeluknya dan bahawa semakin cepat dia datang untuk menerima sang puteri, anakku, dari tanganku, semakin besar kesenangan yang akan diberikannya padaku.”

Begitu ibu Aladin pergi, dengan kegembiraan yang pasti dirasakan oleh seorang wanita dalam keadaan seperti itu, mendapati puteranya begitu dihormati, melebihi segala harapannya, raja menghentikan pertemuan untuk hari itu dan, sambil bangkit dari takhtanya, memerintahkan pasukan pengawal sang puteri untuk datang dan membawa mangkuk-mangku itu ke kediaman junjungan mereka, yang didatanginya untuk mengamati permata-permata itu bersama puterinya di saat senggang.

Perintah ini dijalankan dengan segera, dibawah pengawasan ketua keselamatan. Kelapan puluh hamba itu, yang berkulit hitam mahupun putih, tidak dilupakan. Mereka diterima di istana, dan tidak lama kemudian, raja, yang telah menggambarkan kepada puterinya penampilan yang luar biasa dari para hamba itu, memerintahkan agar mereka dibawa ke kediamannya, agar dia dapat melihat sendiri mereka melalui daun jendela dan menyedari bahawa ayahnya sama sekali tidak melebih-lebihkan, bahkan justeru penggambarannya terlalu sederhana.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Mencari Jejak 'Ali Baba

Setelah Baba Mustafa duduk di kerusinya, dengan jarum di tangannya, siap untuk bekerja. Penyamun itu mendatanginya dan mengucapkan selamat pagi dan ketika mengetahui bahawa usia orang itu sudah lanjut, dia berkata, “Pakcik, engkau mulai bekerja pagi-pagi sekali, tapi mustahil engkau masih dapat melihat dengan jelas, pada usiamu yang telah lanjut, dan jika hari lebih terang, aku tetap ragu apakah matamu cukup terang untuk menjahit.”

Baba Mustafa menyahut, “ Siapapun dirimu, engkau pasti tidak mengenaliku. Meskipun di matamu aku kelihatan tua, mataku masih bagus, dan engkau tidak akan meragukannya jika kukatakan bahawa belum lama ini, aku menjahit mayat orang, yang cahayanya tidak lebih terang dari saat ini.”

Penyamun itu kegirangan dengan penemuannya ini, kerana dia telah datang sejak awal pada orang yang tanpa ditanya dan dengan senang hati mendedahkannya, dan tidak di ragukan lagi, inilah maklumat yang sedang dicarinya.
Dia berpura-pura bertanya dengan hairan, “Mayat orang?” dan untuk membuat Bapa Mustafa bicara, dia menambahkan, “Mengapa menjahit mayat orang? Tentu yang engkau maksudkan adalah bahawa engkau menjahit kain kafan yang digunakan untuk membungkusnya.”

Baba Mustafa menjawab, “Tidak, tidak, yang kumaksudkan sama seperti yang kukatakan. Engkau ingin membuatku bicara, tapi engkau tidak akan mendapatkan apa pun lebih banyak dariku.”

Penyamun itu tidak memerlukan penjelasan lebih jauh untuk merasa yakin bahawa dia telah menemukan apa yang telah dicarinya. Dia mengeluarkan sekeping emas dan sambil meletakkannya di tangan Baba Mustafa, berkata padanya:
“Aku tidak mendengar rahsia darimu, meskipun aku dapat meyakinkanmu bahawa aku tidak akan membocorkannya, jika engkau mengatakannya padaku. Aku hanya minta engkau menolongku dengan mengatakan padaku atau membawaku ke rumah tempat engkau menjahit mayat orang itu.”

Baba Mustafa menjawab, sambil memegang kepingan emas itu dan hendak mengembalikannya:
“Bahkan jika aku berkeinginan untuk mengabulkan permintaanmu, aku yakinkan padamu bahawa aku tidak dapat melakukannya; percayalah kata-kataku. Sebabnya adalah bahawa aku dituntun ke suatu tempat di mana mataku ditutup, dan dari situ aku dituntun ke sebuah rumah, setelah aku menyelesaikan apa yang harus kulakukan, aku dituntun kembali dengan cara yang sama ke tempat yang sama. Engkau tahu, betapa mustahil aku dapat membantumu.”

Penyamun itu berkata: “Setidak-tidaknya engkau ingat sebahagian jalan yang engkau lalui ketika matamu belum ditutup. Pergilah denganku, aku mohon. Aku akan memasang penutup matamu di tempat itu, dan kita akan berjalan bersama, dengan mengambil jalan yang sama dan belokan yang sama yang dapat engkau ingat, dan kerana setiap usaha patut mendapat imbalan, ambillah sekeping emas lagi. Ayuhlah, tolonglah aku.” Sambil berkata begitu, dia meletakkan sekeping emas di tangan Baba Mustafa.

Kedua kepingan emas itu menggoda hati Baba Mustafa, yang memegangnya di tangan, memperhatikan beberapa lama, tanpa mengucapkan sepatah kata pun, sementara dia mempertimbangkan apa yang harus dilakukannya. Akhirnya, dia memasukkan kepingan emas itu, dia berkata pada si penyamun:
“Aku tidak dapat menjamin bahawa aku dapat mengingat dengan betul jalan tempat mereka membawaku, tetapi kerana engkau menginginkannya, mari kita pergi, dan aku akan berusaha semampuku untuk mengingat-ingat.”

Dia bangkit, yang membuat penyamun itu lega, dan tanpa menutup kedainya, kerana dia tidak punya apa-apa yang mungkin akan hilang, membawa penyamun itu bersamanya ke tempat Marjana memasang penutup pada matanya. Ketika mereka tiba di sana, dia berkata, “Disinilah mereka memasang penutup mata, dan aku diputar-putar.”

Penyamun, yang telah menyiapkan sapu tangan, menutup mata Baba Mustafa dengannya dan berjalan di sampingnya, kadang-kadang menuntunnya dan kadang-kadang membiarkannya berjalan sendiri, sampai dia berhenti dan berkata, “Nampaknya waktu itu aku tidak pergi lebih jauh lagi.”

Dia memang sedang berdiri di depan rumah Qasim, di mana ‘Ali Baba tinggal sekarang. Sebelum melepaskan sapu tangan dari matanya, penyamun itu dengan segera memberi tanda pada pintu itu dengan kapur, yang telah dipersiapkannya, dan ketika dia melepaskan sapu tangan, dia menyoal Baba Mustafa apakah dia tahu milik siapa rumah itu.

Baba Mustafa menjawab bahawa dia tidak berasal dari wilayah itu dan kerananya tidak dapat mengatakan padanya. Memandangkan bahawa tidak dapat memperolehi keterangan lebih banyak dari Baba Mustafa, penyamun itu berterima kasih padanya kerana telah menolongnya dan pergi ke hutan, yakin bahawa dia akan diterima dengan baik oleh kawan-kawannya dan ketuanya.

------------------------------------------------------------------------------------------

Rahsia Contengan Kapur di Pintu

Tidak lama setelah penyamun dan Baba Mustafa berpisah, Marjana keluar dari rumah kerana disuruh melakukan sesuatu, dan ketika dia kembali, dia melihat tanda yang dibuat oleh penyamun itu dan berhenti untuk memperhatikannya, sambil berkata pada dirinya sendiri, “Apakah ertinya tanda ini? Apakah ada seseorang yang ingin mencelakakan tuanku, atau apakah dia membuatnya untuk main-main?” dan menambahkan, “Apapun maksudnya, ada baiknya berjaga-jaga terhadap segala kemungkinan.”

Maka dia mengambil sepotong kapur, dan kerana dua atau tiga pintu di jalan itu serupa kelihatannya, dia memberinya tanda di tempat yang sama dan kemudian kembali ke rumah, tanpa memberitahu tuannya tentang apa yang telah dilakukannya.

Sementara itu, si penyamun, yang meneruskan perjalanannya, tiba di hutan dan bergabung kembali dengan kawan-kawannya pada pagi hari dan melaporkan keberhasilan perjalanannya, sambil menceritakan secara berlebihan tentang keberuntungannya kerana sejak awal telah menemukan seorang yang memberitahukan kepadanya apa yang dicarinya, sesuatu yang tak mungkin dapat dilakukan seorangpun kecuali dirinya.

Kawan-kawannya mendengarkan dengan sangat puas, dan ketua mereka setelah memuji-muji ketekunannya, berkata kepadanya:
“Kawanku, kita tidak boleh membuang-buang waktu. Mari kita pergi dengan senjata lengkap, tanpa menunjukkannya kepada sesiapa pun, dan setelah kita memasuki kota dalam kelompok-kelompok terpisah, agar tidak menimbulkan kecurigaan siapa-siapa, mari kita bertemu di sana, sebahagian di antara kita di satu sisi dan sebahagian lain di sisi lain, sementara aku sendiri pergi dengan kawan kita ini, yang telah membawa berita yang begitu bagus, untuk memeriksa rumah itu dan memutuskan tindakan yang paling baik.”

Mereka menyambut dengan tepuk tangan dan tidak lama kemudian siap berangkat. Mereka berpasangan dua-dua atau tiga-tiga dan sambil berjalan berjauhan satu sama lain, memasuki kota tanpa menimbulkan kecurigaan sama sekali. Ketua mereka dan orang yang pernah menyamar ke kota pagi hari itu adalah yang terakhir masuk.

Dia membawa ketuanya ke jalan tempat dia telah menandai rumah ‘Ali Baba, dan ketika dia berada di depan salah satu rumah yang telah ditandai oleh Marjana, dia menunjukkan padanya, sambil berkata bahawa itulah rumahnya.
Tapi ketika mereka meneruskan perjalanan, tanpa berhenti, agar tidak menimbulkan kecurigaan, sang ketua, yang melihat bahawa pintu sebelahnya juga ditandai dengan tanda yang sama dan di tempat yang sama, menunjuk pada kawannya dan bertanya padanya apakah rumahnya yang ini atau yang tadi.

Kawannya itu bingung dan tidak tahu harus mengatakan apa, dan dia semakin bingung lagi ketika dia melihat bersama ketuanya bahawa empat atau lima pintu lain di sebelahnya juga diberi tanda yang sama. Dia meyakinkan ketuanya, bersumpah bahawa dia hanya memberi satu tanda, sambil menambahkan:
“Aku tidak tahu siapa yang telah memberi tanda-tanda pada pintu-pintu lain dengan tanda yang sangat serupa, tetapi dalam kebingugan ini aku mengaku bahawa aku tidak dapat menentukan mana pintu yang telah kutandai pertama kali.”

Sang ketua, setelah mengetahui rancangannya gagal, pergi menjumpai para pengikutnya, di mana ia memberitahu mereka melalui orang pertama yang dijumpainya, bahawa usaha mereka gagal, bahawa perjalanan mereka sia-sia, bahawa tidak ada lagi yang dapat mereka lakukan kecuali kembali ke tempat persembunyian mereka lagi.

Ketika mereka berkumpul lagi di hutan, sang ketua menjelaskan kepada mereka mengapa mereka kembali, dan mereka semua menyatakan bahawa kawan mereka yang telah melakukan tugas penyamaran itu patut dihukum mati kerana dianggap memberi laporan palsu.

Dia bahkan menyalahkan dirinya sendiri, dengan mengakui bahawa seharusnya dia lebih waspada, dan dia menawarkan lehernya dengan bulat hati kepada orang yang melangkah maju untuk memenggal kepalanya.
Kerana disiplin kelompok itu menuntut agar kesalahan seseorang tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman, maka hukuman itupun dilaksanakan, dan seorang penyamun lain sambil berjanji akan lebih berhasil dibanding orang sebelumnya yang telah dihukum, melangkah maju dan mohon dipilih.

Mereka setuju, dan dia berangkat, dan sebagaimana yang dilakukan orang pertama, ia pun mengupah Baba Mustafa yang dengan kain menutup matanya, membawanya ke rumah ‘Ali Baba, yang ditandai penyamun itu dengan warna merah di tempat yang tidak begitu ketara, kerana mengira bahawa ini merupakan cara yang berkesan untuk membezakannya dari pintu-pintu yang ditandai dengan kapur putih.

Tapi tidak lama kemudian, Marjana keluar dari rumah seperti yang dilakukannya pada hari sebelumnya, dan ketika dia kembali, dia dapat melihat tanda merah dengan matanya yang tajam, dan dia pun menandai pintu-pintu jirannya dengan tanda merah di tempat yang sama.

Si penyamun, ketika kembali pada kawan-kawannya di hutan, mengatakan bahawa dia tidak mungkin keliru dalam tindakannya untuk membezakan rumah ‘Ali Baba dari semua rumah lainnya.

Ketua penyamun dan para pengikutnya setuju dengannya bahawa kali ini mereka pasti berhasil, pergi ke kota, dengan cara yang sama dan dengan lebih waspada lagi, bersenjata dan siap menyerang. Ketika mereka tiba, ketua dan penyamun itu pergi ke rumah ‘Ali Baba, dan seperti sebelumnya, menghadapi kesulitan yang sama.

Ketua penyamun itu marah melihat kawannya itu kebingungan sebagaimana orang yang telah mendahuluinya menjalankan tugas yang sama. Maka sang ketua terpaksa mundur pada hari itu bersama anak-anak buahnya, dengan kekecewaan yang sama seperti sebelumnya, dan si penyamun sebagai orang yang bertanggungjawab atas kesalahan itu, mendapat hukuman yang sama, yang dijalaninya dengan sukarela.

Sang ketua, yang menyedari bahawa pasukannya kehilangan dua orang yang berani, khuatir akan kehilangan lebih banyak lagi jika dia mengirim mereka untuk menemukan dengan pasti rumah ‘Ali Baba. Contoh dari dua orang itu meyakinkannya akan kebimbangannya.

Akhirnya dia mengambil tanggung jawab itu sendiri; dia pergi ke kota, dan dengan bantuan Baba Mustafa, yang memberinya pelayanan yang sama dengan diberikannya pada kedua sukarela sebelumnya, tanpa membuang-buang masa segera membuat tanda untuk mengenali rumah ‘Ali Baba, mengamatinya dengan sangat cermat, berjalan maju mundur di depannya berkali-kali, sehingga tidak mungkin membuat kesalahan lagi.

---------------------------------------------------------------------------------------------

19 Baghal dan 38 Guci Kulit

Sang ketua, yang puas dengan perjalanannya kerana telah menemukan apa yang telah diinginkannya, kembali ke hutan dan ketika pergi ke gua tempat para pengikutnya menantikannya, dia berkata, “Kawan-kawan, akhirnya tidak akan ada yang boleh mencegah kita untuk melaksanakan balas dendam sepenuhnya atas kerugian yang telah kita deritai.

Aku tahu dengan pasti rumah orang yang bersalah yang harus menanggung akibat perbuatannya, dan dalam perjalanan kembali, aku memikirkan untuk membunuh orang itu, sehingga tak seorangpun akan mengetahui rahsia tempat persembunyian kita atau harta kita, sebab inilah tujuan yang harus kita usahakan untuk mencapainya; kalau tidak usaha kita, bukannya memberi manfaat justeru akan mendatangkan bencana.”

Sang ketua melanjutkan, “Untuk melaksanakannya, inilah yang kufikirkan, dan setelah aku menjelaskannya pada kalian, jika ada di antara kalian yang mengetahui jalan yang lebih baik, dia boleh mengatakannya pada kita.”

Kemudian dia menjelaskan pada mereka hal yang disyorkannya dan meminta mereka untuk menyebar di kota-kota pasar kecil, di desa-desa sekitar, dan bahkan di kota-kota untuk membeli sebanyak sembilan belas baghal dan tiga puluh lapan guci kulit untuk membawa minyak, dan yang lainnya kosong.

Dalam waktu dua atau tiga hari, para penyamun mengumpulkan semuanya. Kerana guci-guci itu agak terlalu kecil permukaannya untuk melaksanakan rancangan sang ketua, dia membesarkannya, dan setelah dia menyuruh setiap pengikutnya masuk ke dalam guci dengan senjata yang dianggapnya perlu, dan setelah dia membuka kelimanya agar mereka dapat bernafas dengan bebas, dia menutup guci-guci itu dengan cara yang sedemikian rupa sehingga nampak seperti dipenuh minyak, dan untuk menyamar guci-guci itu lebih baik lagi dia melumurinya dengan minyak yang diambilnya dari guci yang penuh.

Setelah melakukan persiapan ini, baghal-baghal membawa tiga puluh tujuh penyamun, kecuali ketua mereka, yang masing-masing bersembunyi di dalam guci, bersama dengan guci yang penuh dengan minyak, dan sang ketua sebagai pemandu, mengambil jalan ke kota pada waktu yang telah ditentukan dan tiba disana menjelang malam, satu jam setelah matahari terbenam, seperti yang diniatkannya.

Dia memasuki kota dan pergi terus ke rumah ‘Ali Baba, mengetuk pintu dan menginap di sana, dengan baghal-baghalnya, sebagai pertolongan dari tuan rumah. Tetapi dia tidak perlu mengetuk, sebab dia mendapati ‘Ali Baba di depan pintu, menikmati udara segar setelah makan malam.

Dia menghentikan baghal-baghalnya dan berkata kepada ‘Ali Baba, “Tuan, saya membawa minyak, seperti yang tuan lihat, dari tempat yang jauh, untuk saya jual di pasar, dan saya tidak tahu di mana mencari tempat penginapan pada waktu yang sudah larut begini. Jika tidak mengganggu tuan, tolonglah saya dan izinkanlah saya menginap di rumah tuan, dan saya akan berterima kasih.”

Meskipun ‘Ali Baba pernah melihat dan bahkan mendengar di hutan orang yang berbicara dengannya, bagaimana dia dapat mengenalinya sebagai ketua para penyamun itu, kalau dia sedang menyamar sebagai seorang pedagang minyak? Tetapi ‘Ali Baba adalah orang yang cerdik.

Dia berkata padanya, “Silakan; masuklah.” Sambil berkata begitu, ‘Ali Baba mundur untuk membiarkannya masuk dengan baghal-baghalnya. Pada waktu yang sama ‘Ali Baba memanggil seorang hambanya, dan setelah beban baghal-baghal itu diturunkan, memerintahkan bukan hanya untuk memberinya tempat berteduh dengan selimut di kandang, tetapi juga memberi rumput kering dan biji gandum.

Dia bahkan menyibukkan dirinya dengan pergi ke dapur dan menyuruh Marjana manawarkan makan malam pada tamu itu dan mempersiapkan tempat tidur untuknya di salah satu bilik.

‘Ali Baba bertindak lebih jauh lagi. Ketika dia melihat bahawa ketua para penyamun itu menurunkan beban dari baghal-baghalnya dan membawa mereka ke kandang, seperti yang diperintahkannya, ‘Ali Baba ingin menolongnya semampunya dan mencari-cari tempat untuk bermalam di udara terbuka, bermaksud membawa ketua penyamun itu ke ruangan tempat dia biasa menerima tamu-tamu sambil berkata padanya bahawa dia sendiri tidak keberatan tidur di halaman.

Ketua penyamun itu enggan, tapi sebenarnya, hanya agar dia dapat melaksanakan secara lebih bebas apa yang telah dirancangnya,dan dia tidak menyerah pada tawaran ‘Ali Baba hingga dipujuk berkali-kali.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Batu-batu Kecil dan Pisau Yang Tajam

‘Ali Baba, kerana tidak ingin duduk dengan orang yang bermaksud membunuhnya sampai Marjana menghidangkan makan malam, terus mengajaknya bercakap-cakap tentang berbagai soal yang dikiranya dapat menyenangkannya dan tidak meninggalkannya sampai dia selesai menikmati makanan berlimpah yang disuguhkan, sambil berkata padanya, “Aku menganggap tuan sebagai tuan rumah di sini; yang harus tuan lakukan hanyalah meminta apapun yang mungkin tuan perlukan; di rumah saya tidak ada apapun yang tidak disediakan untuk tuan.”

Ketua penyamun itu bangkit pada waktu yang sama dan menemaninya sampai ke pintu, dan sementara ‘Ali Baba pergi ke dapur untuk berbicara dengan Marjana, dia pergi ke halaman, dengan berpura-pura hendak ke kandang untuk melihat apakah baghal-baghalnya memerlukan sesuatu.

‘Ali Baba sekali lagi meminta Marjana agar mengurus tamu itu dan tidak membiarkannya kekurangan sesuatu, sambil menambahkan, “Esok, aku akan pergi ke tempat mandi sebelum fajar. Pastikan bahawa kain mandiku telah siap dan berikan pada 'Abd Allah (nama hambanya), dan buatkan aku minyak daging untuk kuminum saat aku kembali,” dan setelah memberinya perintah-perintah ini, dia pergi beristirehat dan tidur.

Sementara itu ketua penyamun pergi sejauh pintu kandang untuk mengatakan pada kawan-kawannya apa yang harus mereka lakukan. Dari guci pertama hingga yang terakhir, dia berkata pada setiap orang:
“Jika aku melemparkan batu-batu kecil dari bilik tempatku menginap, pastikan untuk membebaskan dirimu dengan mengoyak guci dengan pisau yang sudah disediakan untukmu dan keluarlah, dan begitu engkau keluar, aku akan bersamamu.”

Pisau yang dimaksudkannya telah dibuat tajam dan runcing untuk tujuan itu. Lalu dia kembali ke rumah, dan ketika dia berdiri di pintu dapur, Marjana mengambil lampu dan membawanya ke bilik yang telah dipersiapkan untuknya, dan di sana wanita itu meninggalkannya, setelah bertanya padanya apakah dia memerlukan sesuatu yang lain.

Lalu agar tidak menimbulkan kecurigaan, dia mematikan lampu tidak lama setelah dia berbaring dengan baju lengkap, siap untuk bangun setelah tidur sejenak.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Suara-suara Rahsia

Marjana tidak lupa dengan perintah ‘Ali Baba. Dia mempersiapkan kain mandinya, memberikannya pada 'Abd Allah, yang belum pergi tidur, dan meletakkan periuk di atas api untuk mempersiapkan minyak daging.

Sementara dia sedang mengambil buih kaldu, lampu mati, dan kerana tidak ada lagi minyak atau lilin di dalam rumah, apa yang akan dilakukannya, sementara dia perlu melihat dengan jelas agar dapat mengambil buih minyak daging itu?

Dia mengungkapkan kesulitannya pada 'Abd Allah, yang berkata padanya, “Kau ini, mengapa kebingungan? Pergilah mengambil minyak dan pergi ke halaman.” Marjana berterima kasih padanya atas nasihat itu, dan sementara 'Abd Allah pergi tidur di dekat bilik ‘Ali Baba, untuk mengikutinya pergi ke tempat mandi, wanita itu mengambil kendi minyak dan pergi ke halaman.

Ketika dia mendekati guci yang terdekat, penyamun yang sedang bersembunyi di dalamnya bertanya dengan berbisik, “Sekarangkah waktunya?” Meskipun dia berbicara dengan berbisik, Marjana mendengar suara itu dengan jelas, sebab ketua mereka, begitu menurunkan beban dari baghal-baghalnya, telah membuka bukan hanya guci ini, melainkan seluruh guci yang lain, agar udara lebih banyak dapat dinikmati oleh para pengikutnya, yang merasa sangat tidak nyaman, meskipun mereka dapat bernafas.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Membunuh Para Penyamun

Seandainya ada orang lain yang mendengar suara itu, pasti akan terjadi kebisingan mendapati ada seseorang di dalam guci minyak. Tapi Marjana sama sekali tidak begitu, dia terus menyedari pentingnya merahsiakan bahaya yang mengancam ‘Ali Baba dan keluarganya, dan juga dirinya sendiri, dan perlunya mencari tahu cara yang tepat dan diam-diam untuk mencegahnya, yang dengan kecerdasannya, segera ditemukannya cara itu.

Dengan berpura-pura menjadi ketua para penyamun, dia menjawab pertanyaan itu dengan setengah berbisik, agar suaranya tak dikenali, “Belum, tapi tak lama lagi.” Dia pergi ke guci sebelahnya, dan pertanyaan yang sama diajukan, dan jawapan yang sama diberikannya, dan begitu seterusnya sampai dia tiba pada guci yang berisi minyak.

Marjana sedar bahawa tuannya 'Ali Baba, yang mengira bahawa orang yang diundangnya untuk bermalam bersamanya itu hanya seorang pedagang minyak, sesungguhnya telah mengundang tiga puluh lapan penyamun, termasuk ketua mereka, yang menyamar sebagai pedagang itu.

Dengan segera dia mengisi kendinya dengan minyak, yang diambilnya dari guci terakhir, dan kembali ke dapur, setelah mengisi lampu dengan minyak dan menyalakannya, dia mengambil sebuah periuk pemasak yang besar, kembali ke halaman, dan mengisi periuk itu dengan minyak dari guci.

Lalu dia membawanya kembali dan meletakkannya di atas minyak, yang ditambahinya dengan kayu bakar, sebab semakin cepat minyak mendidih, semakin cepat dia dapat melaksanakan sesuatu yang dapat mendatangkan keselamatan pada seluruh rumah itu, yang tidak boleh ditunda sekejap pun. Ketika mulai mendidih, dia mengambil periuk itu, pergi keluar lagi, menuangkan ke dalam setiap guci dan menyiram para penyamun itu dan membunuh mereka.

Setelah tugas itu selesai dilakukannya, yang hanya mungkin dilakukan dengan keberanian, tanpa mengundang kebisingan seperti yang diinginkannya, dia kembali ke dapur dan menutup pintu. Lalu dia mematikan api besar yang telah dinyalakannya untuk memasak minyak daging untuk ‘Ali Baba. Lalu dia mematikan lampu dan berdiam diri, membulatkan hatinya untuk tidak tidur hingga dia melihat, melalui jendela dapur yang menghadap ke halaman, di tengah kegelapan, apa yang akan terjadi seterusnya.

Lebih kurang setengah jam kemudian, ketua penyamun terbangun, membuka jendela dan melihat keluar, dan kerana dia tidak melihat cahaya atau mendengar apapun kecuali kedamaian dan kesunyian di dalam rumah, dia memberikan tanda, dengan melemparkan batu-batu kecil, yang sebahagian di antaranya jatuh ke atas guci-guci itu, yang diyakininya dari suara yang didengarnya.

Dia memasang telinga, tetapi tidak mendengar atau melihat sesuatu pun yang menandakan bahawa kawan-kawannya sedang bergerak. Kerana mulai khuatir, dia melemparkan batu untuk kedua dan ketiga kalinya.
Batu-batu itu jatuh di atas guci, tetapi tak seorang penyamun pun memberikan reaksi atau jawapan, dan dia tidak mengerti sebabnya.

Dia turun ke halaman dengan gelisah. Lalu dia mendekati guci pertama, dan ketika dia hendak bertanya pada si penyamun, yang dikiranya masih hidup, apakah dia tertidur, dia mencium bau minyak panas dan terbakar berasal dari guci dan menyedari kegagalan usahanya mencelakakan ‘Ali Baba dan rancangan untuk membunuhnya, menyamun rumahnya, dan membawa kembali emas yang telah diambil oleh ‘Ali Baba.

Dia mendatangi guci sebelahnya dan yang lain-lainnya dan mendapati bahawa semua kawannya telah binasa dengan cara yang sama. Dengan melihat berkurangnya minyak yang ada di dalam guci, yang masih penuh ketika dia membawanya, dia menyedari cara yang digunakan untuk melenyapkan kawan-kawannya.

Dalam keputus asaan menghadapi kegagalan usahanya, dia menyelinap dari pintu taman ‘Ali Baba, yang berhubungan dengan halaman itu, dan sambil melompat pagar, dari taman ke taman, dia melarikan diri.

Ketika Marjana menunggu selama beberapa waktu, tapi tidak mendengar suara apapun dan tidak melihat ketua penyamun itu lagi, dia tidak ragu lagi tindakan apa yang harus dilakukan orang tersebut, yang telah melarikan diri melalui pintu utama. Maka setelah puas dan senang kerana berhasil menyelamatkan seluruh rumah itu seisinya, akhirnya dia berbaring dan tidur.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pahit Getirnya Percintaan ( Doktor Parsi )


Setelah Ni'ma kembali ke rumah, dia merasa sangat sedih dan putus asa. Saat itu usianya baru empat belas tahun, dan di wajahnya belum tumbuh bulu sehelai pun. Dia mengasingkan dirinya dan menangis dan meratap hingga pagi, ketika ayahnya mendatanginya dan berkata:
“Nak, Al-Hajjaj telah menipu kita dan membawa pergi gadis itu, tapi Tuhan selalu memberikan pertolongan setiap saat.”

Tapi kesedihan Ni'ma semakin besar, sehingga dia tidak tahu apa yang dikatakannya atau siapa yang datang menemuinya, dan dia jatuh sakit dan keadaannya memburuk sampai ayahnya putus asa terhadapnya, sebab semua doktor yang datang mengunjunginya berkata, “Tidak ada ubat untuknya kecuali gadis itu.”

Suatu hari, ayahnya mendengar tentang seorang doktor Parsi yang ahli, yang khabarnya sangat menguasai ilmu perubatan, dan ahli perbintangan. Al-Rabi' mengundangnya, dan ketika dia datang, dia menyuruh duduk di sampingnya, melayannya dengan sopan, dan berkata padanya, “Periksalah puteraku.”

Doktor itu berkata kepada Ni'ma, “Hulurkan tanganmu.” Ni'ma menghulurkan tangannya, dan dia meraba sendi-sendinya, menatap wajahnya dan tertawa, sambil berpaling pada Al-Rabi', dia berkata, “Satu-satunya ubat bagi puteramu ada di dalam hatinya.”

Al-Rabi' berkata, “Engkau benar, doktor. Kerahkan seluruh kemampuanmu pada semua segi dalam kes ini dan katakan padaku, tanpa menyembunyikan apa pun dariku.”

Orang Parsi itu berkata, “Dia jatuh cinta pada seorang gadis yang mungkin di Basrah atau Damsyik, dan satu-satunya ubat baginya hanyalah bertemu lagi dengan gadis itu.”

Al-Rabi' berkata, “Jika engkau boleh menyatukan mereka, aku akan memberimu sesuatu yang akan membuatmu sangat senang, dan engkau akan menjalani sepanjang hidupmu dalam kemakmuran dan kebahagiaan.”

Orang Parsi itu berkata, “Ini mudah dan dapat diselesaikan dengan cepat.” Lalu dia kembali pada Ni'ma dan berkata, “Engkau akan sembuh, maka bergembiralah dan rehatlah.” Lalu dia berkata kepada Al-Rabi', “Berikan padaku wang empat ribu dinar,” dan Al-Rabi' mengeluarkan wang itu dan memberikannya pada doktor Parsi itu, yang berkata padanya:
“Aku ingin mengajak puteramu mengadakan perjalanan bersamaku ke Damsyik, dan insya Allah, aku tidak akan kembali dari sana tanpa gadis itu.” Lalu dia berpaling pada Ni'ma dan bertanya padanya, “Siapa namamu?"

Ni'ma menjawab, “Ni'ma.”

Doktor Parsi berkata padanya, “Teguhkan hatimu, dan bergembiralah, dan makan dan minumlah untuk memperkuat dirimu dalam menempuh perjalanan, sebab kita akan berangkat menuju Damsyik hari ini juga.”

Lalu orang Parsi itu mulai mempersiapkan perbekalan yang diperlukan untuk perjalanan, setelah mendapatkan dari ayah Ni'ma wang sebanyak sepuluh ribu dinar, serta kuda-kuda dan unta-unta serta binatang-binatang pembawa beban lain untuk membawa barang-barang.

Ni'ma mengucapkan selamat tinggal pada ayah dan ibunya dan pergi bersama doktor itu menuju Aleppo, tapi mereka tidak mendengar berita tentang Nu'am di sana. Mereka meneruskan perjalanan hingga mereka tiba di Damsyik.

Orang Parsi itu menyewa sebuah kedai, dan setelah menghiasi rak-raknya dengan hiasan-hiasan yang indah dan mahal, dia memenuhinya dengan barang-barang kaca dan kain-kain penutup. Selain itu, dia meletakkan di depannya botol-botol kaca berisi segala macam dan ubat yang dikelilingi cangkir-cangkir kristal dan dengan mengenakan pakaian doktor dia duduk di kedainya dengan alat peneropong bintang di depannya.

Lalu dia mendandani Ni'ma dengan kemeja sutera dan mengikat pinggangnya dengan tali sutera, yang disulam dengan benang emas. Dia menyuruh Ni'ma duduk di hadapannya dan berkata padanya, “Ni'ma, sejak hari ini dan seterusnya, engkau menjadi anak lelakiku. Maka jangan memanggilku dengan nama lain kecuali ayah, dan aku akan memanggilmu anak.”

Ni'ma menjawab, “Aku mendengar dan patuh.”

----------------------------------------------------------------------------------------------

Ubat Yang Diberkati

Orang-orang Damsyik mula berkumpul di depan kedai orang Parsi itu, menatap keelokan wajah Ni'ma dan keindahan kedai tersebut beserta barang-barang yang dipamerkan di sana, sementara sang doktor berbicara dalam bahasa Parsi dengan Ni'ma, yang juga menjawabnya dengan bahasa Parsi, sebab dia telah mempelajarinya, seperti yang biasanya dilakukan oleh laki-laki dari keluarga-keluarga terkemuka.

Orang Parsi itu menjadi terkenal di kalangan masyarakat Damsyik yang ramai berdatangan kepadanya dan mengubati penyakit-penyakit mereka. Selain itu, mereka membawakan padanya air kencing dari orang yang sakit, dan dia akan memeriksanya dan berkata, “Orang yang air kencingnya seperti ini menderita penyakit ini,” dan orang yang sakit akan berkata, “Ini benar.”

Dia meneruskan praktiknya di kalangan masyarakat Damsyik, yang beramai-ramai mendatanginya hingga kemasyhurannya tersebar ke seluruh kota dan memasuki rumah-rumah kalangan terkemuka. Suatu hari, ketika dia duduk di kedainya, seorang wanita tua mendekatinya, dengan mengenderai seekor keldai, dengan pelana terbuat dari kulit yang dihiasi permata.

Dia berhenti di kedai, dan setelah menarik tali keldainya, berjalan mendekatinya, sambil berkata, “Peganglah tanganku.” Dia memegang tangan wanita tua itu, sementara si wanita turun dari keldainya dan berkata, “Apakah engkau doktor Parsi yang datang dari Irak?”

Dia berkata, “Ya.”

Wanita tua itu berkata, “Aku mempunyai seorang puteri yang sedang sakit,” sambil mengeluarkan sebotol air kencing. Setelah memeriksanya, orang Parsi itu bertanya, “Katakan padaku siapa namanya, agar aku dapat memperhitungkan dan mengetahui saat yang paling tepat untuk memberinya ubat.”

Wanita itu menjawab, “Wahai orang Parsi, namanya adalah Nu'am.”

Ketika dia mendengar nama itu, dia terus menghitung dan menulis di tangannya dan seterusnya berkata padanya, “Aku tidak dapat memberinya ubat apa-apa kecuali jika aku tahu di negeri mana dia dibesarkan, kerana adanya perbezaan iklim, dan berapa umurnya.”

Wanita tua itu berkata, “Dia berumur empat belas tahun, dan dia dibesarkan di kota Kufah.”

Dia bertanya, “Sudah berapa bulan dia berada di negeri ini?"

Wanita itu berkata, “Dia baru beberapa bulan di sini.”

Ketika Ni'ma mendengarnya dan nama gadis itu disebut-sebut, jantungnya berdetak kencang. Orang Parsi itu berkata kepada si wanita tua itu, “Ubat ini dan ini akan sesuai untuknya.”

Wanita tua itu berkata padanya, “Maka berikanlah ubat itu padaku dengan berkah dari Tuhan yang Maha Kuasa,” sambil menyerahkan padanya sepuluh dinar.

Doktor Parsi itu berpaling pada Ni'ma dan memerintahkannya untuk mempersiapkan ubat, sementara wanita tua itu memandangnya dan berseru, “Wahai anak lelaki, engkau kelihatan serupa seperti puteriku. Semoga Tuhan melindungimu!” Lalu dia bertanya pada orang Parsi itu, “Apakah pemuda ini hamba Mamluk atau anak lekakimu?”

Orang Parsi menyahut, “Dia anak lelakiku.” Ni'ma memasukkan ubat kedalam kotak, dan setelah mengambil kertas, menuliskan baris-baris berikut ini: Jika Nu'am memberiku sekilas pandangan,
aku akan tersentuh
Jika ada yang berkata, “Lupakan dia dan kau akan
mendapatkan dua puluh orang yang seperti dia.”
Tapi aku tidak akan pernah melupakannya,
tak akan pernah menemukan yang seperti dia. Lalu Ni'ma menyelipkan kertas itu ke dalam kotak, dan setelah melekatkannya, menuliskan di atas tutupnya tulisan, “Aku Ni'ma Ibn Al-Rabi' dari Kufah”. Lalu dia meletakkan kotak itu di depan si wanita tua yang mengambilnya, dan setelah mengucapkan selamat tinggal pada mereka, pergi ke istana khalifah.

Wanita tua itu terus menjumpai Nu'am, dan setelah meletakkan kotak itu di depannya, berkata, “Wahai Tuan Puteri, telah datang ke kota kita seorang doktor Parsi, dan aku belum pernah bertemu dengan orang yang lebih pandai daripada dia dalam ilmu perubatan.

Ketika aku tunjukkan padanya botol itu dan menyebutkan namamu, dia segera mengetahui penyakitmu dan memberikan ubatnya. Lalu dia memerintahkan puteranya untuk menyiapkan ubat untukmu. Di Damsyik ini tidak ada pemuda yang lebih tampan, lebih menawan, atau lebih indah pakaiannya daripada putera doktor itu, juga tidak ada kedai lain yang menyerupai kedainya.”

Nu'am mengambil kotak itu, dan ketika mendapati nama-nama dari tuan dan ayahnya yang tertulis pada tutupnya, warna kulitnya berubah dan dia berkata pada dirinya sendiri, “Tak diragukan lagi, pemilik kedai ini telah datang untuk mencariku.” Lalu dia berkata kepada si wanita tua, “Gambarkan padaku pemuda ini.”

Wanita tua itu menyahut, “Namanya Ni'ma, dia mengenakan pakaian yang bagus, sangat tampan, dan mempunyai tanda di alis mata kanannya.”

Nu'am berkata, “Berikan ubat itu, dengan rahmat dan bantuan Tuhan yang Maha Kuasa.” Dia mengambil ubat itu dan menelannya, sambil tertawa, seraya berkata, “Ini adalah ubat yang diberkati.”

Lalu dia mencari-cari di dalam kotak, dan menemukan kertas itu. Maka dia membukanya dan membacanya, dan ketika dia memahami maknanya, dia yakin bahawa ianya ditulis oleh tuannya, dan dia merasa sangat senang dan menjadi riang gembira.

Ketika wanita tua itu melihatnya tertawa, dia berkata padanya, “Ini hari yang diberkati,” dan Nu'am menyahut, “Ya. Kini aku ingin makan dan minum.” Maka wanita itu berkata kepada para pelayan istana, “Bawa hidangan dengan makanan-makanan yang lazat untuk tuan puterimu.” Mereka membawakan makanan, dan dia duduk untuk makan.

Pada saat itu, Abd-al-Malik Ibn Marwan masuk, dan ketika dia memandang Nu'am dan melihatnya duduk dan makan, dia merasa senang. Wanita tua itu berkata padanya:
“Wahai Amirul Mukminin, selamat atas kesembuhan hamba paduka. Seorang doktor telah datang ke kota ini dan hamba belum pernah bertemu dengan orang yang lebih pandai dalam ilmu perubatan di banding dirinya. Hamba membawakan Nu'am ubat darinya, dan dia hanya meminumnya sekali dan terus sembuh.”

Khalifah berkata padanya, “Ambil seribu dinar dan gunakan itu untuk menyembuhkannya sepenuhnya.” Lalu dia keluar, merasa gembira melihat kesembuhan Nu'am. Wanita tua itu kembali mendatangi kedai sang doktor dengan wang seribu dinar dan memberikannya padanya, sambil mengatakan bahawa dia adalah wanita utusan khalifah dan menyerahkan padanya kertas yang telah ditulis oleh Nu'am.

Sang doktor menerimanya dan memberikannya kepada Ni'ma, yang ketika dia melihatnya, mengenali tulisan tangan itu dan jatuh pengsan. Ketika dia sedar, dia membuka kertas itu dengan mendapati tulisan di dalamnya yang berbunyi: “Dari gadis hamba korban penipuan yang telah terampas kebahagiaannya, dan dipisahkan dari kekasih hatinya. Suratmu telah sampai paduka, dan telah membuatku gembira dan menyenangkan hatiku.”

---------------------------------------------------------------------------------------------

Menyamar Sebagai Wanita

Ketika Ni'ma membaca surat dari kekasihnya, dari matanya mengalir air mata, dan wanita tua itu bertanya padanya, “Nak, mengapa kamu menangis? Semoga Tuhan melindungi matamu dari tangisan!"

Orang Parsi itu berkata: “Bagaimana dia tidak akan menangis, sedangkan gadis itu adalah gadis hambanya, dan dia adalah pemilik gadis itu, iaitu Ni'ma Ibn Al-Rabi' dari Kufah. Sesungguhnya, kesembuhan gadis itu tergantung pada kesempatan untuk bertemu dengannya, sebab satu-satunya ubat baginya adalah kecintaannya kepadanya.
“Simpanlah wang seribu dinar itu (dan engkau akan menerima dariku lebih banyak dari ini), dan kasihanilah kami, sebab kami tidak mempunyai cara lain untuk mengatasi keadaan ini kecuali melalui bantuanmu.”

Wanita tua itu bertanya pada Ni'ma, “Apakah engkau benar-benar tuannya?"

Ni'ma menjawab, “Ya.”

Wanita tua itu berkata, “Engkau berkata jujur, sebab dia tak henti-hentinya menyebut-nyebutmu.”

Lalu Ni'ma menceritakan padanya apa yang terjadi dari awal hingga akhir, dan wanita tua itu berkata padanya, “Anak muda, engkau tidak akan bertemu kembali dengannya kecuali melalui pertolonganku.”

Lalu dia menaiki keldainya dan segera kembali ke istana, dan ketika mememui gadis itu, dia memandang wajahnya, tertawa, seraya berkata, “Wahai Puteriku, engkau berhak menangis dan jatuh sakit kerana berpisah dari tuanmu Ni'ma Ibn Al-Rabi' dari Kufah.”

Nu'am berkata, “Selubung telah dibuka, dan kebenaran telah dibukakan kepadamu.”

Wanita tua itu berkata, “Bergembira dan rehatlah, sebab demi Tuhan, aku akan menyatukan kalian, bahkan jika itu harus kutebus dengan nyawaku.” Lalu dia kembali menjumpai Ni'ma dan berkata padanya, “Aku menemui gadis kekasihmu dan mendapati bahawa dia merindukanmu lebih dari pada engkau merindukannya, sebab Amirul Mukminin ingin mengunjunginya, tapi dia menolak bertemu dengannya.”

“Jika engkau mempunyai keteguhan hati dan keberanian, aku akan mengambil risiko dan mempertemukan kalian, dengan menyusun strategi untuk memasukkanmu ke istana khalifah, tempat engkau akan bertemu dengannya, sebab dia tidak boleh keluar.”

Ni'ma berkata, “Semoga Tuhan memberikan pahala kepadamu.” Lalu wanita itu mengucapkan selamat tinggal padanya, “Tuanmu hampir mati kerana cintanya padamu, dan dia ingin bertemu denganmu. Bagaimana pendapatmu?"

Nu'am menjawab, “Aku pun hampir mati kerana cinta dan ingin bertemu dengannya.”

Maka wanita tua itu memasukkan pakaian wanita dan beberapa hiasan serta permata ke dalam sebuah bungkusan, dan ketika menemui Ni'ma dia berkata padanya, “Mari kita ke suatu tempat agar tidak dilihat orang.”

Ni'ma membawanya ke sebuah bilik di belakang kedai, lalu mendandani Ni'ma sebagai seorang gadis, menghiasi wajahnya bedak wangi, menyikat rambutnya, memasang gelang di pergelangan tangannya, dan melengkapinya dengan hiasan-hiasan paling indah yang biasa dikenakan gadis-gadis hingga dia nampak seperti salah seorang perawan syurga.

Ketika dia memandang penampilan pemuda itu, dia berseru:
“Terpujilah Tuhan, Pencipta yang paling baik. Demi Tuhan, engkau adalah gadis yang paling cantik!” Lalu dia berkata padanya, “Berjalanlah dengan bahu kirimu ke depan, dan goyangkan pinggulmu.”

Pemuda itu berjalan di depan wanita tua itu memberikan petunjuk-petunjuk, dan ketika dia menyaksikan bagaimana pemuda itu berjalan layaknya seorang wanita, dia berkata:
“Tunggu sampai aku kembali esok malam dan, insya Allah, aku akan membawamu ke istana. Jika engkau melihat para pangeran dan pelayan, jangan takut, tapi tundukkan kepalamu dan jangan bicara dengan sesiapa pun, sebab akulah yang berbicara untukmu, dan semoga Tuhan memberi kita kemenangan.”

Keesokan harinya, wanita itu datang kepadanya dan membawanya ke istana. Dia masuk ke istana mendahului pemuda itu, dan Ni'ma mengikutinya. Para pengawal hampir sahaja akan menghentikannya tapi wanita tua itu berkata:
“Wahai yang mulia, ini adalah gadis hamba untuk Nu'am, kesayangan khalifah. Berani sekali engkau menghalangnya untuk masuk?” Lalu dia berkata pada Ni'ma, “Masuklah.”

Ni'ma berjalan bersamanya sampai mereka tiba di dekat pintu menuju halaman dalam istana. Wanita tua itu berkata padanya,
“Ni'ma kumpulkan kebulatan tekadmu dan keberanianmu, dan masuklah ke istana.”
“Berbeloklah ke kiri, hitung lima pintu, dan masukilah pintu yang keenam, sebab itulah pintu istana yang dipersiapkan untukmu. Jangan takut, dan jika ada yang mengajakmu berbicara, jangan layani.”

Lalu dia berjalan bersamanya hingga mereka tiba di pintu-pintu itu, tapi pelayan yang ditugaskan untuk mengawal tempat itu bertanya padanya, “Siapakah gadis ini?”

Wanita tua itu menjawab, “Junjungan kita ingin membelinya.” Pelayan itu berkata, “Tak seorang pun boleh masuk tanpa izin Amirul Mukminin. Kembalilah bersamanya, sebab aku tidak membiarkannya masuk. Ini perintahku.”

Wanita tua itu berkata, “Wahai ketua pengawal, pakailah otakmu. Nu'am adalah gadis khalifah, yang menyayanginya dan sangat bahagia melihat kesembuhannya, dan gadis itu ingin membeli hamba ini. Jangan halangi dia untuk masuk, sebab Nu'am mungkin akan mendengarnya dan menjadi marah terhadapmu dan membuatmu kehilangan kepala.”

Lalu dia berkata pada Ni'ma, “Masuklah, jangan peduli pelayan itu, dan jangan katakan pada junjunganmu bahawa dia berusaha menghalangimu masuk.” Ni'ma menundukkan kepalanya dan masuk, tapi bukannya membelok ke kiri, dia membelok ke kanan tanpa sengaja, dan bukannya menghitung lima pintu dan memasuki pintu keenam, dia menghitung enam pintu memasuki pintu ketujuh.

Ketika sudah berada di dalam, dia mendapati dirinya di sebuah tempat yang lantainya dilapisi kain merah dengan tirai-tirai sutera yang dihiasi emas tergantung di dinding. Ada beberapa kayu gaharu, kasturi yang wangi, dan pada hujung ruangan yang ada sebuah sofa yang dilapisi kain merah.

Ni'ma duduk di atas sofa, sambil memikirkan keadaannya, tanpa menyedari apa yang telah ditakdirkan Tuhan untuknya, ketika tiba-tiba saudara perempuan khalifah masuk, diikuti oleh pelayannya.

Ketika dia melihat pemuda itu, dia mengiranya sebagai seorang gadis hamba, dan sambil mendekatinya, dia bertanya, “Siapakah engkau, dan mengapa engkau di sini?"

Ni'ma tidak menjawab, dan wanita itu berkata kepada pelayannya, “Berdirilah di pintu, dan jangan biarkan siapa pun masuk.” Lalu dia mendatangi Ni'ma dan menatap keelokan wajahnya dan berkata, “Gadis muda, katakan padaku siapa dirimu, siapa namamu, dan mengapa engkau ada di sini, sebab aku tidak pernah melihatmu di istana sebelum ini.”

Ketika Ni'ma tidak menjawab, dia menjadi marah, dan ketika meletakkan tangannya di dada Ni'ma, dia mendapatinya tidak ada payudara, dan bemaksud akan melepaskan pakaian luarnya, untuk mengetahui siapa dirinya, tapi Ni'ma itu berkata padanya, “Wahai Tuan Puteri, aku adalah hambamu, dan hamba bergantung pada belas kasihmu; belilah hamba dan lindungi hamba.”

Wanita itu berkata, “Engkau tidak akan dizalimi, tapi siapakah engkau, dan siapa yang membawamu ke dalam bilikku?"

Ni'ma menjawab, “Wahai Puteri, nama hamba Ni'ma Ibn Al-Rabi' dari Kufah, dan hamba telah mempertaruhkan nyawa hamba demi gadis hamba yang bernama Nu'am yang diculik Al-Hajjaj melalui tipu daya dan dibawa ke sini.”

Wanita itu berkata kepadanya lagi, “Engkau tidak akan dizalimi.” Lalu dia memanggil pelayannya dan berkata padanya, “Pergilah ke bilik Nu'am.”

Wanita pelayan tua itu pergi ke bilik Nu'am dan bertanya padanya, “Sudahkah tuanmu mendatangimu?"

Nu'am menjawab, “Belum, demi Tuhan.”

Dia berkata, “Dia mungkin keliru jalan dan memasuki bilik lain.”

Nu'am menjerit, “Tidak ada kekuatan dan kekuasaan kecuali di tangan Tuhan yang Maha Kuasa, Maha Besar! Waktu untuk kami telah ditentukan, dan kami akan binasa.”

Ketika mereka sedang duduk sambil berfikir, pelayan sang puteri masuk, dan setelah memberi hormat pada Nu'am, dia berkata padanya, “Junjungan hamba mengundangmu ke biliknya.”

Nu'am menjawab, “Aku mendengar dan patuh.”

Wanita tua itu berkata kepada Nu'am, “Mungkin tuanmu ada bersama saudara perempuan khalifah, yang berkata padanya, “Inilah tuanmu, sedang duduk bersamaku. Nampaknya dia telah memasuki bilikku tanpa sengaja, tapi insya Allah, kalian tidak akan dizalimi.”

Ketika Nu'am mendengar kata-kata saudara perempuan khalifah, rasa takut hilang, dan dia mendekati tuannya Ni'ma, dan ketika pemuda itu melihatnya, dia bangkit, dan mereka masing-masing saling berpelukan dan jatuh pengsan.
Ketika mereka sedar, saudara perempuan khalifah berkata kepada mereka, “Duduklah di sini sampai aku menemukan jalan keluar dari masalah ini.”

Mereka menyahut, “Kami mendengar dan patuh. Nasib kami ada di tanganmu.”

Wanita itu berkata, “Demi Tuhan, aku tidak ada niat apa-apa kecuali niat baik terhadap kalian.” Lalu dia berkata kepada pelayannya, “Bawakan makanan dan minuman,” dan ketika pelayan itu membawakan makanan dan minuman, mereka makan sampai kenyang. Lalu mereka duduk untuk minum, sambil menggilirkan cangkir keliling, sampai mereka melupakan segala kesedihan. Tapi Ni'ma berkata, “Aku ingin tahu apa yang akan terjadi seterusnya.”

Saudara khalifah bertanya padanya, “Ni'ma apakah engkau mencintai Nu'am?"

Ni'ma menjawab, “Wahai Tuan Puteri, cinta hamba kepadanyalah yang telah mendorong hamba mempertaruhkan nyawa hamba.”

Lalu dia bertanya kepada Nu'am, “Nu'am, apakah engkau mencintai tuanmu Ni'ma?"

Nu'am menjawab, “Wahai Tuan Puteri, cinta hamba kepadanyalah yang membuat jatuh sakit dan menyia-nyiakan tubuh hamba.”

Lalu sang puteri berkata, “Demi Tuhan, kalian saling mencintai, dan semoga tidak ada seorang pun yang memisahkan kalian. Bergembira dan bersenang-senanglah.”

Mereka sangat senang mendengarnya, dan Nu'am meminta sebuah kecapi, dan ketika kecapi dibawakan untuknya, dia memainkannya dan menyanyikan syair-syair yang indah dan menyenangkan.

Lalu dia menyerahkan kecapi kepada tuannya Ni'ma dan berkata, “Bernyanyilah untuk kami,” dan Ni'ma memainkannya dan menyanyikan syair-syair yang indah dan menghibur.

Ketika dia selesai menyanyikan beberapa syair, Nu'am mengisi cangkir dan memberikannya kepada Ni'ma, dan dia meminumnya. Lalu dia mengisi cangkir yang lain dan menyerahkannya kepada saudara perempuan khalifah, yang meminumnya dan menunjukkan kesenangannya.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Pertemuan dengan Khalifah

Mereka terus bernyanyi dan minum bersama dengan alunan merdu suara kecapi, penuh kegembiraan dan keriangan, ketika tiba-tiba Amirul Mukminin masuk. Begitu mereka melihatnya, mereka berdiri dan mencium tanah di depannya.

Ketika lelaki itu memandang Nu'am dan melihatnya memegang kecapi di tangan, dia berkata padanya, “Wahai Nu'am, alhamdulillah, Tuhan telah menyembuhkanmu dari penyakitmu.” Lalu, ketika menatap Ni'ma, yang masih berpakaian wanita, dia bertanya, “Adik, siapakah gadis yang duduk di samping Ni'ma ini?"

Saudara perempuannya menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, dia adalah salah seorang selirmu, sahabat dekat Nu'am yang tidak mahu makan atau minum tanpa dia.”

Khalifah berkata, “Demi Tuhan yang Maha Besar, dia sama cantiknya dengan Nu'am. Esok, aku akan memberinya bilik Nu'am dan mengirimkan perabot ke sana dan juga pakaian dan segala sesuatu yang sesuai, sebagai penghormatan kepada Nu'am.”

Lalu saudara perempuan khalifah menyuruh mengambilkan makanan dan meletakkannya di depan khalifah, yang makan dan tetap duduk bersama mereka. Lalu dia mengisi cangkir dan memberi isyarat pada Nu'am agar menyanyi untuknya, Nu'am mengambil kecapi, setelah dia minum dua cangkir, dia menyanyikan syair-syair yang menyentuh perasaan.

Amirul Mukminin sangat senang, dan dia mengisi cangkir yang lain dan setelah memberikannya pada Nu'am, memintanya agar menyanyi lagi. Nu'am meminumnya hingga habis dan menyanyikan syair-syair yang menggembirakan.
Ketika khalifah mendengar syair Nu'am ini, dia berkata padanya, “Nu'am! Betapa indahnya bahasa yang kau ucapkan dan betapa fasihnya engkau!"

Mereka terus bersenang-senang sampai tengah malam, ketika saudara perempuan khalifah berkata, “Wahai Amirul Mukminin, aku ingin menceritakan padamu kisah yang pernah kudengar dari seorang tokoh terkemuka.”

Khalifah bertanya, “Seperti apakah kisah itu?"

Adiknya berkata, “Wahai Amirul Mukminin, konon hiduplah di kota Kufah seorang pemuda bernama Ni'ma Ibn Al-Rabi', dan dia mempunyai seorang gadis hamba yang dicintainya dan yang mencintainya pula.”

“Mereka telah dibesarkan bersama-sama di buaian yang sama, dan ketika mereka mencapai usia remaja, mereka jatuh cinta satu sama lain, tapi kehidupan mendatangkan kemalangan dan memperlakukan mereka dengan tidak adil dan menetapkan mereka untuk berpisah.”

“Sebab beberapa orang yang berhati busuk menipunya agar pergi dari rumah itu dan mencurinya dari sang pemuda, dan orang yang mencuri gadis itu menjualnya pada seorang raja seharga sepuluh ribu dinar. Gadis itu mencintai tuannya sebagaimana tuannya mencintainya.”

“Maka sang pemuda meninggalkan rumahnya dan keluarganya dan pergi mencari kekasihnya. Dia berusaha mencari jalan untuk mendapatkannya kembali, dan mencurahkan seluruh kekuatan dan mempertaruhkan nyawanya, sampai akhirnya dia berhasil.”

“Tapi tidak lama setelah mereka duduk berdua, datanglah raja yang telah membeli gadis itu dari orang yang telah mencurinya, dan dengan tergopoh-gapah raja memerintahkan agar mereka dihukum mati, tanpa mereka diberi kesempatan untuk diadili. Wahai Amirul Mukminin, bagaimana pendapatmu tentang tindakan raja yang tidak adil itu?”

Khalifah menjawab, “Ini adalah kisah yang aneh! Sepatutnya raja boleh mengampuni kerana dia juga boleh menghukum, sebab dia harus mempertimbangkan tiga faktor dalam kes mereka:
“Pertama, bahawa mereka saling mencintai; kedua, bahawa mereka ada di rumahnya dan tergantung pada belas kasihnya; ketiga, bahawa seorang raja harus adil dalam menangani perkara rakyatnya, terutama dalam masalah-masalah ketika dia secara peribadi terlibat. Raja tersebut seharusnya tidak bertindak sebagaimana layaknya seorang raja.”

Saudara perempuannya berkata, “Demi Tuhan di langit dan di bumi, mintalah Nu'am agar bernyanyi, dan dengarkan kata-katanya.”

Dia berkata pada Nu'am, “bernyanyilah untuk kami,” dan gadis itu menyanyikan syair ini dengan irama yang menyentuh hati: Nasib telah berkhianat,
seperti yang biasa dilakukannya,
Menyakiti hati, menghidupkan kesengsaraan
yang mengganggu,
Dan memisahkan sepasang kekasih
setelah mereka
Bersama-sama, dan menyebabkan
air mata mereka mengalir.
Kita bersama, dan hidupku sangat bahagia,
Sebab keberuntungan membuat kita boleh
saling memandang.
Maka kita akan meratapimu dalam kedukaan
kerana kehilanganmu
Dan memerah darah dan air mata,
menangis siang dan malam.

Ketika Amirul Mukminin mendengar ini, dia menjadi sangat senang, dan saudara perempuannya berkata padanya, “Wahai Amirul Mukminin, barangsiapa yang menetapkan hukuman bagi dirinya sendiri, harus melaksanakan dan membuktikan kata-katanya dengan perbuatan, dan engkau telah menetapkan hukuman bagi dirimu sendiri.”

Lalu dia berkata kepada Ni'ma, “Berdirilah, Ni'ma, dan engkau juga Nu'am.” Mereka berdua berdiri, dan saudara perempuan khalifah berkata, “Gadis ini, yang berdiri di hadapanmu, adalah Nu'am yang diculik, yang dicuri oleh Al-Hajjaj Ibn Yusuf Al-Tsaqafi dan diserahkan kepadamu, dengan berbohong dalam surat yang ditulisnya kepadamu, iaitu dengan mengatakan bahawa dia telah membelinya seharga sepuluh ribu dinar.

Pemuda ini pula adalah tuannya, Ni'ma Ibn Al-Rabi'. Aku mohon kepadamu atas nama yang terpuji dari nenek moyangmu yang mulia, supaya mengampuni mereka dan memberikan yang satu pada yang lain sebagai hadiah, agar Tuhan memberimu pahala atas perbuatanmu terhadap mereka, sebab mereka bergantung pada belas kasihmu, dan mereka telah makan dari makananmu dan minum dari minumanmu, dan aku jadi saksi bagi mereka dan memohon kepadamu untuk mengampuni nyawa mereka.”

Khalifah berkata, “Engkau benar; aku telah menetapkan hukuman dan aku tidak pernah menetapkan hukuman tapi kemudian mencabutnya kembali.” Lalu dia bertanya pada Nu'am, “Nu'am, inikah tuanmu?"

Gadis itu menjawab, “Benar, Amirul Mukminin.”

Dia berkata, “Jangan takut apa-apa, sebab aku memberikanmu kepadanya sebagai hadiah dan aku memberikannya kepadamu sebagai hadiah pula.” Lalu dia berkata, “Ni'ma, bagaimana engkau tahu di mana dia berada dan siapa yang membawamu ke tempat ini?"

Ni'ma menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, dengarkan cerita hamba, sebab demi nenek moyang paduka, hamba tidak menyembunyikan sesuatu pada diri paduka.” Lalu dia menceritakan pada khalifah semua peristiwa yang telah terjadi padanya, apa yang telah dilakukan doktor Parsi dan wanita pelayan itu dan bagaimana wanita tua itu membawanya masuk ke dalam istananya dan bagaimana dia sindiri salah memasuki pintu.

Khalifah kehairan-hairanan mendengar kisah itu dan berkata, “Bawa menghadapku doktor Parsi itu.” Maka mereka memanggilnya, dan khalifah menjadikannya salah seorang pegawai tinggi, memberinya jubah kehormatan, dan memberinya hadiah yang menarik, sambil berkata, “Barangsiapa datang berkerja dengan baik harus dilantik menjadi pegawai tinggi kami.”

Khalifah juga melayani Ni'ma dan Nu'am dengan ramah, memberi mereka hadiah-hadiah, dan juga pada wanita pelayan itu. Mereka tinggal bersamanya dalam kegembiraan dan kesenangan selama tujuh hari. Lalu Ni'ma meminta izin untuk kembali bersama Nu'am ke Kufah, dan khalifah mengizinkannya. Maka mereka menyiapkan perjalanan mereka, dan Ni'ma bertemu kembali dengan ayah dan ibunya. Mereka bersama-sama menempuh kehidupan yang paling bahagia hingga mereka harus menyerah pada pemisah kerabat dan penghapus kebahagiaan, iaitu maut.

------------------------------------------------------------------------------------------

Mereka yang Disimbahi Nur Hidayah

Williem Michael Machillin


Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Dengan mengingati mati cukuplah bagi seseorang untuk tidak menyukai dunia, dan menyukai akhirat.”

(HR. Ibn Abi Syaibah dan Ahmad)

At-Tabari pula meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; “cukuplah kematian itu sebagai nasihat untukmu.” Justeru itulah, maka Rasulullah SAW menyuruh kita supaya memperbanyak mengingat kepada hancurnya semua kenikmatan dunia, iaitu mati, sebagaimana baginda menyuruh kita untuk memperbanyak menziarahi kubur. Hanya kerana dengan demikian akan mengingatkan kita kepada akhirat dan sesungguhnya dengan menyaksikan kematian itu juga telah ramai orang yang bertaubat dan kembali kepada jalan yang benar.

Adapun saudara baru kita ini bernama Khalid Markin yang sebelum Islamnya bernama Williem Michael Machillin, dia masuk Islam disebabkan menyaksikan kematian. Kematianlah yang mendorong ia untuk berfikir tentang perkara-perkara sesudah kematian itu dan hikmah dari kehidupan ini. Kemudian kematian pula yang mendorongnya berfikir tentang yang menghidupkan dan yang mematikan, lalu ia menemukan bahawa sesungguhnya Bonda Perawan (Maryam) dan Al-Masih keduanya, mati seperti kematian manusia lainnya.

Maka di hatinya terlintas suatu pendapat bahawa keduanya tidak berhak dikatakan Tuhan, sebab sifat ketuhanan tidak layak bagi orang yang mengalami kematian. Itulah di antara penyebabnya ia lalu masuk Islam.

Khalid Marklin (nama Islamnya) adalah seorang sarjana bangsa Amerika. Untuk memeluk ke dalam agama Islam, ia melalui jalan yang berbelit-belit dan sukar, serta melalui proses pemikiran yang jernih dan hati yang benar.
Dalam menempuh perjalanannya, ia banyak menganalisa pemikiran para tokoh-tokoh falsafah seperti Jane Jack Rousseua, Voltaire dan Bernard Schu. Namun pemikiran para tokoh-tokoh falsafah itu tidaklah menenangkan jiwanya dan menemukan jawapan dari seribu satu pertanyaan yang berkecamuk dalam pemikirannya selama ini.

Sehingga pada suatu hari ia bertemu dengan maksud ayat Al-Quran yang mengatakan, bahawa Allah tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mengabdi kepada-Nya.

Tentang perjalanannya menyambut hidayah Allah itu ia bercerita:
“Di masa kecilku aku tidak mengenal sedikitpun tentang Islam, aku tumbuh dan berkembang dalam keluarga yang beragama Kristian Katolik yang terdiri dari ayahku, ibuku dan seorang saudara perempuanku. Sebelum aku menjelang dewasa, ibuku meninggal dunia dengan meninggalkan aku dalam keadaan haus kasih sayang seorang ibu.
Kematian ibuku yang terlalu cepat meninggalkan diriku itu sangat meninggalkan kesan dalam fikiranku.”

“Seribu satu pertanyaan yang datang, pertanyaan itu di antaranya; apa ertinya kehidupan dan apa ertinya kematian, kemudian kemanakah perginya orang yang mati itu? Apakah erti akhirat? Bagaimanakah hisab itu dilaksanakan? Di mana letaknya syurga dan neraka. Di manakah Allah berada? Siapakah Bonda Maryam itu? dan siapakah sebenarnya Al-Masih (Nabi Isa) itu? ”

“Untuk mengetahui jawapan dari semuanya itu, maka mulailah aku berjinak-jinak dengan gereja, aku pergi ke gereja setiap hari Ahad bersama ayahku. Di gereja aku mendapat jawapan dari semua pertanyaan itu, namun jawapan yang diberikan itu tambah membingungkanku. Aku cuba juga bertahan untuk tetap pergi ke gereja namun hasilnya hanya mengecewakanku, jawapan yang diberikan tetap tidak memuaskan.”

“Lalu aku memutuskan tidak mahu lagi mengunjungi gereja, kerana apa yang dilakukan oleh gereja sudah jelas bagiku. Pengetahuanku tidak bertambah, kerana apa yang dilakukan oleh gereja hanya itu saja berulang kali. Akhirnya aku mulai mengarahkan pandanganku untuk membaca dan menyelidiki di perpustakaan kepunyaan ayahku demi menemukan jawapan dari semua pertanyaanku di antara lembaran-lembaran dan huraian kalimat dalam beberapa buah buku.”

“Pada mulanya aku mempelajari tentang falsafah, aku menghabiskan beberapa tahun dalam kebingungan di antara beberapa istilah dan susunan falsafah yang ada serta pandangan-pandangannya yang rumit, walaupun demikian aku masih tidak menemukan sesuatu. Lalu aku membaca tentang ajaran Marxisme, tapi sejak mula lagi aku sudah tidak menyukainya. Lalu aku baca pula buku tulisan Jane Jack Rousseau, Voltaire, Bernard Schu, Immanuel Kant, Sigmound Freud dan lain-lain sebagainya, akan tetapi hasilnya tidak ada sama sekali. Keadaan itu berlanjut terus hingga aku menamatkan pengajianku tentang perkembangan teknologi di Universiti Luciani dan selepas itu aku pergi ke Somalia untuk bekerja di sana.”

“Di negara Afrika yang kecil inilah aku sempat berkenalan dengan beberapa orang teman yang beragama Islam. Dari pembicaraan antara aku dengan teman-temanku itu, aku mulai menemukan kecondongan diriku dan aku sangat tertarik apabila pembicaraan kami itu berkisar tentang masalah agama.”

“Sebagaimana permasalahan yang aku hadapi selama ini, maka persoalan yang selama ini membingungkanku, aku tanyakan kepada mereka, dan aku sungguh merasa kagum dengan jawapan-jawapan yang mereka berikan. Dari merekalah aku menemukan semua jawapan dari segala permasalahanku itu yang selama ini tidak aku temukan dalam beberapa agama dan aliran falsafah.”

“Barulah aku mengetahui bahawa kematian di dalam pengertian Islam adalah merupakan perpindahan dalam alam yang fana ini menuju alam yang kekal abadi, dan di sanalah nanti tempat manusia mempertanggungjawabkan segala amal perbuatan yang dilakukannya selama ini, serta akan menerima balasan dari semuanya itu. Bagi yang amal kebaikannya lebih banyak akan dimasukkan ke dalam syurga sedangkan bagi mereka yang berdosa akan dimasukkan ke dalam neraka.”

“Bahawa sesungguhnya Allah SWT menciptakan kita tujuannya adalah supaya kita memakmurkan bumi dan menyembah hanya kepada-Nya sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya yang maksudnya: “Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada-Ku.” “Sebab itulah aku tahu, bahawa sesungguhnya Islam adalah agama yang mengEsakan Allah. Di dalam ajaran Islam juga diterangkan bahawa tidak ada yang sanggup mewujudkan semuanya ini kecuali hanya Allah sendiri selaku Zat Maha Pencipta, memerintahkan dan mencukupi seluruh keperluan alam. Di tangan-Nyalah segala perbendaharaan langit dan bumi juga makhluk-makhluk yang berada di antara keduanya. Dia tidak mempunyai anak dan tidak memerlukan isteri, tidak ada sesuatu apa pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

“Tentang Siti Maryam Islam juga menjelaskan bahawa dia adalah manusia yang jujur, sedangkan anaknya Nabi Isa as. adalah seorang Nabi dari Nabi-nabi Allah dan seorang Rasul dari Rasul-rasul-Nya yang diciptakan dengan kekuasaan Allah SWT.”

Khalid Marklin melengkapi ceritanya dengan mengatakan merasakan ketenangan jiwa yang sangat mendalam, “setelah roh dan akalku tenggelam bertahun-tahun dalam kebingungan dan kegelisahan. Bacaanku mulai aku arahkan kepada buku-buku yang membicarakan tentang Islam dalam bahasa Inggeris. Aku memerlukan beberapa tahun dalam membaca, menghuraikan dan membandingkan sesuatu yang ada dalam Islam. Tentu saja aku mendapatkan semuanya ini lebih bercahaya daripada sinaran matahari. Aku yakin, apa yang aku dapati ini akan dialami pula bagi orang-orang yang menyelidiki tentang ajaran Islam dengan penuh keikhlasan dan melepaskan segala perasaan yang kurang senang terhadapnya.”

“Sebab itulah aku memeluk Islam, dengan cara menempuh perjalanan yang sangat panjang dan setelah melalui penganalisaan baik menganalisa berbagai macam aliran falsafah dan perbandingan agama.”

Tentang sikap keluarganya setelah mengetahui keislamannya Khalid Marklin berkata: “Ayahku sungguh membantuku di saat aku akan memeluk Islam, walaupun ia tetap bertahan dengan agama Kristian Katolik, kerana sesungguhnya ia banyak mengetahui tentang Islam, dan aku telah lama berusaha supaya ia masuk Islam, akan tetapi ia sentiasa berada dalam kebingungan.”

Hampir setiap kali aku mengerjakan solat, aku berdoa kepada Allah SWT agar memberikan hidayah-Nya kepada ayahku, demikian pula dengan saudara kandungku yang perempuan, dan sahabat-sahabatku yang lainnya yang banyak menanyakan tentang agama baruku.

Kepada mereka aku sentiasa menerangkan tentang ketinggian ajaran Islam, sehingga ramai di antara mereka yang tertarik. Harapanku mudah-mudahan Allah akan menunjukkan mereka kepada jalan yang lurus sebagaimana yang sedang aku jalani.”

Dari kisah di atas maka dapatlah kita ambil kesimpulan di sini, bahawa sesungguhnya kematian ibunya di satu segi telah membuatkan ia merasa sedih, namun di segi lain ia telah memperoleh nikmat Islam. Kini ia telah keluar dari segala kebingungan menuju keredhaan Tuhan.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Johnter Walldritch

Para propaganda Zionis di Eropah dan Amerika menanamkan pengertian pada fikiran rakyatnya bahawa umat Islam itu adalah golongan teroris yang suka membunuh dan senang menumpahkan darah. Tujuan mereka menyebarkan berita tersebut adalah untuk merubah pengertian jihad di dalam Islam, sehingga dengan cara demikian, mereka berhasrat menghasut rakyat mereka untuk sentiasa membenci Islam.

Kerana inilah Sayid Ahmad Ali (Johnter Walldritch) berkata: “Atas dasar itulah pada mulanya aku menganggap Islam sangat jahat, juga telah tertanam dalam akalku bahawa Islam adalah agama kebodohon dan terkebelakang. Umat Islam tidak lain hanyalah sekumpulan teroris yang tidak ada pekerjaan lain kecuali membunuh, merampas dan merompak hak orang lain.”

Keluarganya yang beragama Kristian bersungguh-sungguh mempersiapkan agar dia bergabung dalam pasukan Nasrani untuk menyerang benteng umat Islam di Timur Tengah. Akan tetapi Tuhan berkehendak lain, petunjuk Allah datang kepadanya, akhirnya dia berpaling dari agama kemusyrikan tersebut menuju agama yang diredhai Tuhan iaitu Islam.

Johnter Walldritch setelah masuk Islam memilih nama untuk dirinya sendiri dengan nama “Ahmad Ali”, tujuannya adalah ingin mengambil berkah dari nama salah seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Ali bin Abi Talib karamullahu wajhah.

Ahmad Ali, seperti yang ia ceritakan dilahirkan pada bulan November,1940 M. di“Vienne” dari sebuah keluarga penganut agam Kristian. Keluarganya serta pihak gereja sepakat untuk mempersiapkannya menjadi seorang penyebar Kristian di wilayah Timur Tengah.

Ahmad Ali mengulangi ceritanya: “Pada mulanya anggapanku tentang Islam adalah sangat jahat, mereka menanamkan dalam fikiranku bahawa Islam itu bersahabat dengan kebodohan dan terbelakang dan sesungguhnya umat Islam tidak lain hanyalah sekumpulan teroris yang tidak ada pekerjaan lain kecuali membunuh merampas dan merompak.

Pemikiranku ini telah menyesatkanku tentang pandanganku terhadap Islam dan umat Islam. Hingga akhirnya aku mengunjungi Mesir sebagai persiapan untuk mulai menjalankan tugas kristian, dan di sanalah beberapa kebenaran mulai kelihatan di depan mataku sedikit demi sedikit.

Di tengah-tengah kesibukanku untuk mempersiapkan dan merencanakan program dan tugasku, aku bertemu dengan teman-teman Muslim, inilah merupakan kali yang pertama aku hidup bersama orang Islam secara dekat. Aku melihat ketika mereka menunaikan solat, sungguh membangkitkan kesedaranku ketika aku saksikan betapa khusyuknya mereka, kekhusyukan yang tidak ada bandingannya.

Sebelum aku berangkat ke Timur Tengah, rakan-rakan sesama Kristian memberikan aku sebuah terjemahan Al-Quran, yang tujuannya supaya dengan terjemahan itu, dapat aku pergunakan untuk menyerang keyakinan Islam. Akan tetapi rupanya Allah menghendaki lain untuk diriku, maka aku pun membaca kitab terjemahan itu dan pengaruhnya sampai kepada batas yang menjadikan aku mundur dalam menjalankan tugas menyebarkan agama Kristian itu.

Aku banyak membaca buku-buku tentang perbezaan bermacam-macam agama dan perbandingannya, pada saat itulah menjadi jelas bagiku, bahawa sesungguhnya hakikat dalam agama, Nabi Isa adalah seorang Rasul yang meng-Esakan Allah dengan sifat ketuhanan-Nya dan Nabi Isa adalah seorang manusia yang diangkat sebagai Rasul. Ia sama sekali bukan Tuhan atau anak Tuhan, bahkan penjelasan ini juga ada dalam kitab Injil Barnabas, cuma kitab Injil tersebut mereka sembunyikan.

Ketika aku membaca Al-Quran, di dalamnya aku temukan ayat yang bermaksud, bahawa Nabi Isa juga mengkhabarkan akan datang seorang Rasul sesudahnya bernama Ahmad.

Demikian juga hakikat dari semua ajaran agama, aku dapatkan kesesuaian yang sempurna dari kesemua ajaran agama tersebut iaitu meng-Esakan atau mentauhidkan Allah SWT sedangkan agama yang benar adalah satu iaitu Islam, dan Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Di samping itu juga dijelaskan semua Nabi adalah manusia yang diutus oleh Allah, setiap satu dari mereka datang untuk menyempurnakan Risalah yang lainnya dan memperbaikinya hingga berakhir mata rantai Risalah dengan datangnya Nabi Muhammad SAW.

Adapun perjalanan yang aku lalui sungguh sangat panjang dan memakan waktu lebih kurang sepuluh tahun. Dalam waktu yang panjang itu, aku berusaha untuk mengkaji selidik serta membandingkan antara agama yang satu dengan yang lainnya, hingga akhirnya aku memilih Islam sebagai peganganku.

Maka aku umumkan keislamanku di hadapan khalayak ramai di Universiti Azhar dengan mengucapkan; “Sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah.”

Di samping itu juga aku mengakui bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah dan Rasul-Nya, dan sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah penutup dari segala Nabi dan Rasul.

Kemudian Allah SWT lalu mentakdirkan aku memperolehi jodoh seorang gadis Muslimah Mesir, isteriku itu sentiasa mendorongku supaya aku giat mendalami Islam. Alhamdulillah kini aku telah banyak menghafal ayat Al-Quran serta menambah pengatahuanku tentang Islam, dan aku bertekad untuk ikut serta dengan para pendakwah lainnya dalam menyiarkan agama Allah di seluruh pelosok dunia ini.

Hal ini akan aku lakukan sebagai jalan untuk menutupi kesilapanku yang dahulunya ditugaskan supaya aku menyiarkan agama Kristian yang hampir saja menjerumuskan diriku itu.”

----------------------------------------------------------------------------------------------------

Wong Kim Hock

Setiap kali melaksanakan penyembahan mengikut agamanya, selalu timbul pertanyaan dalam hatinya. “Tuhan yang mana satu yang mesti disembah dengan sebenarnya?”

Wong Kim Hock warganegara Malaysia keturunan Cina dilahirkan di Pahang pada tahun1948 dalam lingkungan yang menganut agama Budha. Oleh kerana kedua-dua ibu bapanya penganut setia agama Budha, Kim Hock juga menganut agama tersebut secara tradisi turun temurun, iaitu secara warisan dan ikut-ikutan saja.

Setelah umurnya menginjak dewasa, Kim Hock merasa tidak puas hati dengan agama Budha yang dipeluknya dan menganggap bahawa agama itu tidak sesuai dengan pemikirannya. Lalu dia mencari cari pegangan hidup yang lebih masuk akal dan bertemu dengan agama Kristian.

Setelah berfikir beberapa lama, dia tertarik dengan agama itu kerana dianggap lebih baik dari agama yang diwarisi dari ibu bapanya. Sebagai pengikut gereja, diapun menerima pengajaran tentang Tuhan Bapa, Tuhan anak dan Ruhul Qudus. Doktrin dan ajaran dalam Kristian diterimanya dari pendita yang disampaikannya di dalam gereja.

Setelah beberapa lama memeluk agama Kristian, Kim Hock mulai pula berfikir tentang dasar ketuhanan yang dianutinya. Bagaimana seseorang akan menyembah kepada Tuhan yang tiga itu? Kalau sekiranya dia khusyuk kepada Tuhan Bapa, apakah Tuhan yang lain tidak cemburu? Demikian juga jika sekiranya dia lebih cinta kepada Tuhan anak, sudah tentu Tuhan Bapa akan marah, kerana merasa dipersekutukan. Bagaimana pula Tuhan Ibu (Ruhul Qudus), pasti akan bersaing dalam merebut kekuasaan. Tentu perkara ini akan membingungkan.
Walaupun fikirannya sudah mulai ragu dengan agama Kristian namun dia masih tetap memeganginya dengan perasaan yang kurang yakin.

Pada tahun1983 Kim Hock pergi ke Jordan untuk suatu kunjungan peribadi. Ketika sedang berada di Kota Amman, Kim Hock terbaca terjemahan Al-Quran pegangan umat Islam. Dari terjemahan Kitab Suci itulah ia mendapat pengetahuan tentang Tuhan yang sebenarnya. Tuhan itu satu (Maha Esa), tidak beranak dan tidak dilahirkan. Tidak ada Tuhan Bapa dan tidak ada Tuhan Ibu, juga tidak ada Tuhan anak. Kerana Tuhan mempunyai kuasa mutlak dan hanya kepada-Nya segala puji-pujian dan segala permohonan dipersembahkan.

Faham ini sangat sesuai dengan keyakinannya, dan dia merasakan mendapat jawapan yang dicari-carinya selama ini. Kalau Tuhan hanya satu, barulah dikatakan punya kekuasaan, kerana tidak ada yang menandingi kekuasaan-Nya. Dia yang menghidupkan dan Dia pula yang mematikan. Dia yang memberi kebaikan dan Dia pula yang menurunkan cubaan. Dia yang menciptakan hamba, maka dia pula yang berhak disembah. Kalau begitu, maka barulah manusia akan beribadah dan berdoa dengan khusyuk, kerana yang disembah dan tempat meminta hanya Tuhan Yang Satu.

Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan hidayah pada hati Kim Hock, sehingga ia mengakui kebenaran Islam dan Al-Quran. Sesampainya di Malaysia, dia menceritakan keyakinannya kepada isterinya yang dikahwininya pada tahun1979, dan dikatakannya pula akan memeluk agama Islam. Si isteri pula dapat menerima apa-apa yang diterangkan oleh suaminya. Allah telah membuka hatinya untuk meninggalkan agama lamanya dan bersedia memeluk Islam.

Maka dengan tidak menunggu masa lagi, kedua orang suami isteri yang masih belum dikurniakan anak itu pergi ke pejabat Perkim dan di sana diterima oleh Ustaz Isa’ Mah dan menceritakan maksudnya untuk memeluk agama Islam.

Pada tahun 1984 yang sangat bersejarah itu, Wong Kim Hock dan isterinya membaca Syahadah dengan disaksikan oleh Ustaz Isa’ Mah dan pegawai Perkim lainnya. Untuk menyesuaikan identiti sebagai Muslim, nama Kim Hock ditukar dengan nama “Muhammad bin Abdullah” dan isterinya menggunakan nama Fatimah binti Abdullah.

Setelah menjadi seorang Islam, Muhammad bin Abdullah dengan isterinya sangat rajin mempelajari Islam. Dia banyak mendapat bimbingan dari beberapa orang Ustaz di Perkim, terutama Ustaz Husein Abdullah Yee yang juga asalnya seorang turunan Cina yang beragama Budha, kemudian masuk Islam.

Dari hari ke hari hatinya bertambah senang dengan Islam. Semakin banyak ilmu tentang Islam yang dipelajarinya, semakin bertambah pula ketenangan dan keyakinanya. Ilmu Islam sangat luas, tidak ada batasnya. Semakin banyak dipelajari, semakin banyak yang kelihatan bagaikan mutiara.

Bermacam-macam ilmu dalam Islam sangat menarik perhatian saudara baru kita ini. Akhirnya dia sampai pada kesimpulan yang disedarinya sendiri bahawa Islam itu memang agama Universal, mencakupi segala peraturan kehidupan dan alam setelah mati. Berbagai ilmu untuk menempuh kehidupan terdapat di dalamnya, dan kesemua peraturan hidup di dunia ini tujuannya untuk mencapai keselamatan dalam kehidupan di akhirat nanti.

Sebagaimana biasa risiko yang dialami oleh orang-orang Cina yang masuk Islam. Kim Hock dan isterinya juga menghadapinya, yakni tidak diakui oleh kaum keluarganya. Bagi Muhammad bin Abdullah perkara itu tidak menjadi soal, dia siap sedia menempuh kehidupan baru sebagai orang Islam sambil berdoa semoga keluarganya juga mendapat hidayah dari Allah dan mahu masuk Islam.

Untuk menyara hidup, suami isteri yang masih muallaf itu berusaha sekuat tenaga untuk mencukupi keperluannya tanpa mengharapkan bantuan dari pihak lain, selain kepada Allah semata. Dia berusaha memadukan kepakarannya sebagai keturunan Cina dalam berniaga dengan prinsip-prinsip Islam.

Bagi Muhammad, segala sesuatu jika diusahakan dengan tekun, istiqamah dan sabar ia akan mendapatkan hasil dan insya Allah akan berjaya. Begitulah ajaran Islam, dan seperti itu pula yang dipegang teguh oleh kaum cina dalam berusaha sehingga meraih kejayaan besar.

Muhammad bin Abdullah bekerja sebagai pembekal beberapa peralatan pejabat, sementara isterinya yang terbiasa dengan kehidupan seorang petani, berternak kambing untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika kambingnya baru berjumlah 12 ekor, datang seorang Muslim membeli kambingnya untuk aqiqah. Kedua-dua saudara baru yang belum tahu apa itu aqiqah dan korban lalu bertanya mengenainya kepada seorang ustaz.

Setelah memahami perkara yang sebenar, terlintaslah dalam fikirannya, alangkah baiknya kalau dia menceburi bidang ternakan kambing dan lembu secara komersial. Dengan usahanya itu, nanti dapat memudahkan dan menggalakkan umat Islam dalam melaksanakan ibadah aqiqah dan korban yang sebahagian mereka menganggap perkara itu tidak penting.

Untuk mencapai maksudnya, puan Fatimah membesarkan usaha ternaknya di sebuah kawasan Sungai Buloh Selangor Darul Ehsan. Pada mulanya dia sendiri yang bertukang membuat kandang dan mengembala kambing-kambingnya dengan dibantu oleh suaminya.

Sehari ke sehari usahanya semakin berkembang dan ternaknya semakin banyak, maka puan Fatimah menubuhkan Syarikat The Best Farm yang bergerak di bidang ternakan kambing dan lembu dan dia sendiri sebagai pengurusnya sedangkan suaminya bertindak sebagai penasihat. Orang ramai mulai berdatangan ke situ untuk membeli kambing dan lembu untuk keperluan aqiqah dan kurban atau untuk keperluan lainnya.

The Best Farm menyediakan berbagai kemudahan di antaranya menyediakan ustaz yang faham untuk penyembelihan. Di samping itu dia juga menerbitkan buku panduan aqiqah dan kurban, yang mengandungi pengertian, kepentingan, dalil-dalil dan cara-cara melaksanakan aqiqah dan kurban. Buku yang disusun oleh seorang ustaz yang pakar itu diberikan secara percuma kepada orang ramai dengan demikian saudara baru kita ini telah turut berdakwah mengenai kepentingan aqiqah dan kurban.

Muhammad bin Abdullah mencari harta bukan untuk bermewah dalam kehidupan, tapi semuanya adalah untuk mencari keredhaan Allah. Beliau tetap mengamalkan gaya hidup sederhana, walaupun berkemampuan untuk membeli dan menggunakan barang-barang yang mewah. Selain digunakannya untuk mengerjakan ibadah di Tanah Suci Makkah, rezeki yang tidak seberapa itu juga digunakannya untuk berdakwah.

Beliau memberikan bantuan kepada sekolah agama rakyat, memberikan biasiswa kepada beberapa pelajar yang mempunyai minat belajar tapi tidak mampu di segi kewangan.

Baginya, berdakwah Bil Hal dan Bil Mal tidak kalah pentingnya dengan dakwah Bil Lisan. Di samping itu, dia sendiri dengan isterinya tidak henti-hentinya menuntut ilmu. Sekurang-kurangnya dua kali seminggu pasangan suami isteri itu pergi ke tempat-tempat ustaz untuk menimba ilmu. Mereka berazam untuk tetap hidup mengikut sunnah dan menuntut ilmu hingga ke liang kubur sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Selain berjaya di dalam usahanya setelah masuk Islam, Muhammad bin Abdullah juga telah dikurniakan oleh Allah dengan dua orang anak yang kesemuanya lahir dalam keluarga Islam. Di samping itu juga, hubungan dengan ibu bapa dan adik-beradiknya yang masih belum mendapat hidayah, telah pulih semula. Setiap tahun mereka balik ke Pahang untuk menziarahi mereka.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Zulaiha, Isteir Al-Aziz

Dan wanita-wanita di kota berkata: “Isteri al-Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya (kepadanya): sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata”. (Yusuf: 30)

Berat sungguh malam yang panas itu dirasakan oleh Ra’il, wanita cantik yang biasa dipanggil dengan nama Zulaiha. Ia senantiasa mempercantik paras, menghias diri, dan memakai wangi-wangian. Kemudian berdiri, pagi dan petang, di beranda istananya di atas Sungai Nil, dalam kegelisahan yang tak jelas penyebabnya.

Angin sepoi bertiup tenang dan halus, seakan enggan mengusik ranting-ranting pohon bunga yang mengelilingi beranda istana itu, Zulaiha memandangi sungai dan airnya yang tenang, dan sesekali wajahnya menoleh ke atas, melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit nan tinggi, mengelilingi bulan yang sebahagian sinarnya terhalang oleh awan.

Sesaat kemudian, seorang pelayan menghampiri dengan segelas sari buah dingin untuknya, tetapi sang puteri menolak dan malah memerintahkan pelayan itu untuk kembali. Nafasnya semakin menyesakkan, serasa hampir-hampir mencekik lehernya. Dia sendiri tidak tahu apa yang digelisahkannya. Kecantikan? Bukan! Dia wanita tercantik di seluruh Mesir. Anak? Mungkin itu benar, sebab sampai saat ini ia belum dikurniai seorang anak pun.

Sebenarnya ia dapat saja mengambil anak angkat yang disukainya, sebab ia orang terkaya di negeri itu. Tapi naluri keibuannya ternyata menentang niatnya. Dia ingin mengandung dan melahirkan puteranya sendiri, sebagaimana wanita-wanita lain. Tapi suratan takdir menghendaki lain, suaminya tidak kuasa mengubah impiannya menjadi kenyataan.

Berkecamuklah semua fikiran itu di kepalanya. Ia terlena dalam lamunannya, sampai suara halus suaminya tiba-tiba mengejutkan hatinya.

“Ra’il, isteriku yang cantik, bergembiralah!” Kata suaminya sambil menunjukkan sesuatu.

Zulaiha menoleh kepada suaminya, dan betapa terkejut ketika ia lihat suaminya datang bersama seorang anak kecil.

“Siapa namamu?” tanya Zulaiha.
Dengan suara yang hampir-hampir tidak terdengar, anak itu menjawab, “Yusuf”.

Al-Aziz, suami Zulaiha, kemudian mengikutinya dari belakang serta berkata, “Telah kubeli ia dari kafilah yang didapati disebuah telaga di padang pasir. Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi ia bermanfaat bagi kita, atau kita pungut ia sebagai anak”.

Isteri al-Aziz tidak mengetahui takdir apa yang bakal terjadi antara dia dan anak itu di hari-hari yang akan datang. Yang jelas ia merasa senang atas kedatangan anak itu, dan hilanglah kesedihan yang selama ini menghimpit dadanya.
Hari-hari berlalu. Yusuf semakin besar dan menjadi dewasa. Wajahnya tampak semakin tampan. Isteri Aziz tidak mengerti kebahagiaan apa yang meresap di hatinya setiap kali ia memandang Yusuf, dan kesedihan yang menghantuinya ketika Yusuf hilang dari pandangannya.

Setiap kali malam tiba, dan Yusuf pergi ke kamar tidurnya, Zulaiha merasa ada sesuatu yang mengusik lubuk jiwanya, sehingga kadang kala ia bangun meninggalkan suaminya yang sedang tidur, kemudian pergi ke pintu kamar Yusuf. Zulaiha berdiri di pintu kamar Yusuf beberapa saat. Dalam hatinya timbul keraguan: apakah sebaiknya ia masuk menemui Yusuf seperti yang diinginkannya, ataukah ia kembali ke tempatnya sendiri di samping suaminya.

Fikiran seperti itu selalu mengganggu hatinya semalaman, sampai cahaya matahari pagi terlihat masuk melalui jendela-jendela kamarnya. Jika sudah demikian, ia kembali ke kamar suaminya.

Setiap kali pandangannya bertemu dengan pandangan Yusuf, ia merasakan keinginan yang kuat untuk selalu berada dekat pemuda itu, dan tak ingin rasanya berpisah untuk selama-lamanya. Namun, hati kecilnya berkata bahawa Yusuf tidak memendam perasaan yang sama seperti perasaannya. Pertanyaan yang selalu mengusik kalbunya adalah: Apakah Yusuf mencintainya sebagaimana ia mencintai Yusuf? Apakah Yusuf memendam perasaan seperti yang dipendamnya? Meskipun hati kecilnya berkata bahawa Yusuf tidak menampakkan sikap seperti itu, ia tidak mahu mendengar jawapan itu.

Pada suatu petang, isteri Aziz merasa tidak kuasa lagi hanya berdiri di ambang cinta yang disimpannya kepada Yusuf. Ia kemudian berdiri dimuka cermin, mengagumi kecantikan parasnya, seraya berkata kepada dirinya sendiri, “Adakah, di seluruh Mesir ini, wanita yang kecantikannya melebihi kecantikanku, sehingga Yusuf menghindar dariku? Tidak boleh tidak, wahai, Yusuf, hari ini aku akan menjumpaimu dengan segala macam bujukan dan rayuan, sampai engkau tunduk kepadaku”.

Kemudian ia membuka lemari, dan matanya mengamati setumpuk pakaian di dalamnya. Dipilihnya salah satu gaunnya yang paling indah, berwarna merah dengan model yang membangkitkan ghairah laki-laki. Manakala gaun itu dikenakan, maka sebahagian auratnya yang seharusnya tersembunyi akan tampak. Itulah yang justeru dikehendakinya. Kemudian ia memakai wangi wangian di sekujur tubuhnya, yang menyebabkan seorang lelaki akan berghairah kerana baunya.

Setelah itu, ia atur rambutnya seindah-indahnya di malam yang sunyi itu. Setelah menyelesaikan dan menyempurnakan dandanannya, Zulaiha mengamati sekelilingnya, hingga ia benar-benar yakin bahawa tidak ada seorang pun pelayannya yang masih menunggunya di situ; semuanya sudah lelap di kamarnya masing-masing di kegelapan malam itu. Ia pun tahu bahawa suaminya sedang memenuhi panggilan seorang hakim Mesir dan sibuk dengan urusan-urusannya, sehingga tidak mungkin ia akan kembali sebelum fajar pagi tiba.

Setelah segalanya beres, pergilah ia menuju kamar Yusuf. Didapatinya pintu kamar itu tertutup dan lampunya sudah dimatikan. Dengan perlahan ia mengetuk; satu kali, dua kali ... dan tiga kali. Tak lama kemudian, Yusuf pun bangun menyalakan lampu dan membukakan pintu. Alangkah terkejutnya Yusuf ketika ia melihat isteri al-Aziz sudah berada di hadapannya. Tapi ia tidak berkata apa-apa kecuali hanya diam menunduk.

Tiba-tiba Zulaiha masuk ke dalam, mendekatinya dengan ramah, dan memegang tangannya sambil menutup pintu kamar. Zulaiha merasakan kegelisahan, ketakutan, dan tak boleh menjawab pandangan kedua mata Yusuf. Ia lalu berpaling ke arah Yusuf, sedangkan Yusuf selalu berusaha menjauh darinya.

Isteri al-Aziz kemudian berkata, “Apakah maksud semua ini, hai, Yusuf? Janganlah engkau menjauh dariku, sehingga aku binasa kerana rindu kepadamu”.

Yusuf diam tanpa jawapan.

Isteri al-Aziz mendekatinya lagi seraya berkata, “Aduhai, Yusuf, betapa indahnya rambutmu!”

Yusuf menjawab, “Inilah sesuatu yang pertama kali akan berhamburan dari tubuhku setelah aku mati”.

“Aduhai, Yusuf, betapa indahnya kedua matamu!” Bujuk isteri al-Aziz lagi.

“Keduanya ini adalah benda yang pertama kali akan lepas dari kepalaku dan akan mengalir di muka bumi!”

Isteri al-Aziz berkata lagi, “Betapa tampannya wajahmu, hai, Yusuf”.

“Tanah kelak akan melumatnya,” Jawab Yusuf.

Kemudian Zulaiha berkata kepadanya, “Telah terbuka tubuhku kerana ketampanan wajahmu”.

“Syaitan menolongmu untuk berbuat hal itu!” Kata Yusuf.

“Yusuf! Bagaimanapun aku harus mendapatkan apa yang selama ini kudambakan, dan kini aku datang kerananya”. Kata Zulaiha.

Yusuf menjawab: “Ke manakah aku akan lari dari murka Allah jika aku menderhakaiNya?”

Sedarlah isteri al-Aziz bahawa Yusuf benar-benar tidak mahu memenuhi apa yang ia inginkan. Maka, ia pun lebih mendekat lagi, dan meletakkan badan Yusuf di atas dadanya. Ia berharap Yusuf akan tertarik kepadanya dan mahu memenuhi keinginannya. Akan tetapi, di luar dugaannya, Yusuf malah menghindar darinya dan segera berlari hendak keluar dari kamar itu.

Isteri al-Aziz tak habis berfikir mengapa Yusuf sedemikian keras mempertahankan kesuciannya di hadapan wanita cantik yang telah siap melayaninya, bahkan lari menjauh darinya. Ia lalu mengejar Yusuf dari belakang untuk memaksanya. Ketika sudah sangat dekat, dipegangnyalah bahagian belakang baju Yusuf dan ditariknya kuat-kuat. Dengan penuh kemarahan, ia melarang Yusuf keluar dari kamar. Akhirnya, koyaklah bahagian belakang baju Yusuf.

Pada saat yang sama, tiba-tiba al-Aziz sudah berada di hadapan mereka berdua, bersama saudara sepupu Zulaiha. Dengan serta merta isteri al-Aziz berkata: “Apakah hukuman bagi orang yang akan berbuat serong kepada isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan seksaan yang pedih?” Dengan perkataan itu, Zulaiha bermaksud menyatakan bahawa Yusuf telah berbuat yang melampaui batas atas dirinya.

Al-Aziz sangat marah atas terjadinya peristiwa memalukan itu. Kerana tidak menduga hal itu dilakukan oleh Yusuf, seorang anak terlantar yang telah dibelinya, dipeliharanya, dan dikasihinya seperti kasih sayang seorang ayah kepada puteranya sendiri. Tidak mungkin hal itu boleh terjadi?

Yusuf sedar bahawa isteri al-Aziz telah berkata dusta tentang dirinya dan menuduhnya dengan tuduhan palsu. Maka, segeralah Zulaiha berkata kepada al-Aziz: “Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)”.
Allah ternyata menghendaki bebasnya Yusuf dari tuduhan wanita itu. Seorang bayi yang masih menyusu, anak salah seorang keluarga Zulaiha yang ketika itu datang ke istana, tiba-tiba berkata, “Jika bajunya koyak di bahagian muka, maka wanita itulah yang benar dan Yusuf termasuk orang-orang dusta. Dan jika bajunya koyak di bahagian belakang, maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar”.

Mendengar itu, segeralah al-Aziz menghampiri Yusuf untuk melihat bajunya. Demi didapatinya baju Yusuf koyak di bahagian belakang (kerana tarikan isterinya), mengertilah al-Aziz akan pengkhianatan isterinya dan bersihnya Yusuf dari tuduhan itu. Kemudian ia berkata: “Sungguh, inilah tipu muslihatmu. Sungguh dahsyat tipu muslihatmu!”

Kemudian ia memandang Yusuf seraya berkata: “Hai, Yusuf, berpalinglah dari ini!” Maksud perkataan itu adalah agar Yusuf tidak memberitakan aib yang terjadi atas diri isterinya itu, sehingga tidak terdengar oleh orang ramai. Sedangkan kepada isterinya ia berkata: “Dan (kamu, hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu itu, kerana sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang berbuat salah”.

“Celakalah kamu, Yusuf!” Kata isteri al-Aziz dengan kemarahan yang memuncak, kerana Yusuf menolak kecantikan dan kebesarannya. “Tidak! aku tak akan membiarkanmu, Yusuf. Bagaimana pun akan kucari jalan lain yang dapat mempedayakanmu, hingga kamu memenuhi apa yang kukehendaki...”

Hari-hari pun berlalu, dan al-Aziz yang kalah dalam urusan itu berusaha memohon kerelaan isterinya menghadapi kenyataan itu, sementara sang isteri menyanggahnya dengan dalih bahawa suaminya telah menjatuhkan martabat dan kemuliaannya. Zulaiha tahu benar bahawa setiap kali ia menampakkan kebenciannya kepada suaminya, sang suami benar-benar berusaha mendekati dan membujuknya kerana ia sangat mencintainya dan merasa lemah di hadapan kecantikan wajahnya dan ketinggian peribadinya, yang sebenarnya bersifat mulia.

Yusuf sendiri akhirnya berdiam sepanjang hari di dalam kamarnya, kerana peristiwa aib itu terjadi di situ. Ia tidak keluar dari kamarnya kecuali ada suatu pekerjaan penting yang ditugaskan oleh tuannya, al-Aziz.

Hari-hari yang berat dan keras selalu menghantui isteri al-Aziz. Ia menanti datang suatu peluang untuk kembali melakukan tipu dayanya atas diri Yusuf, sebab apa yang baru terjadi itu justeru menambah rasa cinta dan keinginan untuk berhubungan dengan Yusuf, meskipun secara terang-terang ia telah berdusta atas diri Yusuf untuk menghilangkan keraguan suaminya terhadapnya.

Hari demi hari dirasakan oleh isteri al-Aziz dengan berat dan terasa lambat berjalan. Di kota, beberapa peristiwa yang tak terduga telah terjadi. Wanita-wanita di Mesir, ketika itu, tidak berkeinginan bicara lain kecuali tentang peristiwa aib antara isteri al-Aziz dan Yusuf. Yang sungguh menghairankan, bagaimana peristiwa itu dapat tersebar di seluruh kota, padahal semua pihak di istana al-Aziz berusaha merahsiakannya.

Dugaan sementara dialamatkan kepada pelayan laki-laki istana dan sebahagian pelayan wanita yang masih ada hubungan keluarga dengannya. Besar kemungkinan, merekalah yang membocorkan rahsia itu.

Langit ibu kota Mesir penuh dengan gema kisah sekitar kejadian itu. Dalam setiap kelompok wanita, tidak ada masalah lain yang dibicarakan kecuali tentang isteri al-Aziz dan Yusuf, semuanya dicurahkan tanpa segan silu.
Akhirnya, sampailah berita yang menyakitkan itu ke telinga isteri al-Aziz. Dan tentu saja hal itu menimbulkan kemarahannya yang luar biasa.

Akan tetapi, apa hendak dikata, ia tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menerima kenyataan itu dengan hati yang semakin pedih. “Betapa perjalanan hidupku menjadi sepotong roti dalam mulut wanita-wanita kota yang dipenuhi cemuhan dan ejekan.” Keluhnya dalam hati, “padahal, di hari-hari kemarin, tak seorangpun dari mereka berani menyebut namaku kecuali dengan segala penghormatan dan kemuliaan”.

Kemudian ketenangan mulai meresap di hati isteri al-Aziz, setelah jiwanya tergoncang kerana kemarahan. Mulailah ia berbicara kepada dirinya sendiri:“ Aku wanita, dan mereka pun wanita. Harus mereka terima hinaan sebagaimana hinaan yang mereka tujukan kepadaku. Jika mereka memperolok-olokku dengan lidahnya, maka sesungguhnya olok-olokku nanti lebih keras atas diri mereka...” Maka, keluarlah dia dari kamarnya menuju beranda istananya yang menghadap Sungai Nil.

Di tepian sungai itu, ia mulai berfikir, sementara angin lembut menerpa pepohonan bunga yang mengelilingi istana, membuat harum udara di sekitarnya. Isteri al-Aziz mulai merenung; fikirannya berputar ke sana kemari, mengikuti alunan ombak sungai yang tenang.

Tak lama kemudian, wajahnya tampak sedikit berseri, kemudian mulutnya tersenyum. Telah ditemukan satu cara untuk membereskan masalah itu. Ya, mengapa ia tidak menghentikan cemuhan wanita-wanita itu tentang dirinya dan Yusuf dalam suatu pertemuan terbuka? Mengapa ia tidak memanggil wanita-wanita itu untuk duduk bercakap-cakap seperti biasa ia lakukan sebelum ini, lalu ia perintahkan Yusuf keluar (menampakkan diri di hadapan mereka)? Nanti mereka akan sedar dan mengerti mengapa isteri al-Aziz jatuh hati kepada anak angkatnya.

Kemudian dipanggilnya semua wanita itu ke istana untuk bersukaria. Kepada mereka dipersembahkan berbagai macam buah-buahan, dan masing-masing diberi sebilah pisau sebagai alat pemotongnya. Akan dilihat oleh isteri Al-Aziz apa yang nanti bakal terjadi ketika Yusuf muncul secara tiba-tiba di tengah-tengah mereka.

Hairanlah kebanyakan wanita bangsawan terhadap panggilan isteri al-Aziz itu. Mereka menyaksikan suasana yang lain dari biasanya. Ruangan istana, ketika itu, dihiasi dengan penuh kemegahan. Wanita-wanita yang hadir duduk di kerusi yang indah. Di hadapan mereka masing-masing terdapat sepinggan buah segar dan sebilah pisau pemotongnya.

Semua pandangan hadirin ditujukan kepada barang-barang yang ada dalam ruangan istana itu. Semuanya diam membisu, tak ada yang berani berbicara dengan jelas tentang apa yang tersimpan di dada dan mulailah isteri Aziz membuka acara. Pembicaraan hanya berkisar tentang buah dan masalah-masalah pesta ria itu, sama sekali jauh dari masalah peristiwa dirinya dengan Yusuf. Ia berkata bahawa segala yang disediakannya kali ini dimaksudkan sebagai kejutan bagi wanita-wanita itu.

Di antara wanita-wanita yang hadir dalam jamuan itu, ada salah seorang yang menyindir. Dengan cara yang cerdik, ia berkisah kepada hadirin tentang seorang pemudi yang jatuh cinta, dan mati dalam kesedihan kerana laki-laki yang meminangnya tewas di medan perang melawan musuh-musuh negerinya. Tetapi isteri al-Aziz, dengan lebih cerdik, mengalihkan pembicaraan ke masalah-masalah lain.

Kemudian ia berkata kepada Yusuf, “Keluarlah (tampakkanlah dirimu) kepada mereka.”

Maka, keluarlah Yusuf dari tempatnya menuju jamuan wanita-wanita itu. Betapa terkejutnya wanita-wanita itu demi melihat ketampanan Yusuf. Mereka sama tercengang dan kehairanan. Dan tanpa disedari, mereka memotong jari-jari mereka sendiri dengan pisau. Mereka mengira sedang memotong buah, padahal tidak dirasakan darah mengalir dari tangan mereka. Lama-kelamaan mereka baru ingat dan menyedari apa yang telah mereka lakukan, kemudian berkata, “Maha Besar Allah. Ini bukanlah manusia. Ia tiada lain dari malaikat yang mulia”.

Ketika itu wajah isteri al-Aziz menahan sedih dan duka. Berubahlah wajah nan cantik itu menjadi marah. Ia berkata seraya menunjuk kepada Yusuf: “Itulah orang yang menyebabkan aku di cela kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menginginkan dirinya, tetapi ia menolak. Dan (sekarang) jika dia tidak mentaati apa yang kuperintahkan, nescaya ia akan dipenjarakan dan dia akan menjadi orang yang hina”.

Yusuf mendengar apa yang dikatakan oleh isteri Aziz dengan sikap yang tenang dan tabah, di hadapan wanita-wanita kota. Ia pun mendengar keinginan setiap wanita yang hadir, sebagaimana keinginan isteri al-Aziz terhadapnya. Sambil berlindung kepada Allah, Yusuf berkata, “Tuhanku! Penjara lebih kusukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Allah hindarkan aku dari tipu daya mereka, tentulah aku tertarik kepada mereka. Dan tentulah aku termasuk orang yang jahil”. Allah meneguhkan hamba-hamba-Nya yang mukmin serta berlindung dan berpegang dengan kebenaran yang diperintahkan oleh-Nya ...” Maka, Tuhan memperkenankan doa Yusuf, dan Dia menghindarkan Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, Yang Maha Mengetahui”.

Pulanglah wanita-wanita kota itu dengan tangan mereka berlumuran darah. Mereka semua akhirnya sedar bahawa Zulaiha, isteri al-Aziz, terhalang cintanya kepada Yusuf. Yusuf, kemudian meninggalkan ruangan itu dan pergi ke kamarnya. Isteri al-Aziz tampak duduk sambil berfikir. Ia memang menghendaki kehinaan atas wanita-wanita yang menghina dirinya dengan Yusuf, dan hal itu telah selesai ia lakukan. Menanglah ia dengan suatu kemenangan yang dapat menyembuhkan sakit hatinya.

Akan tetapi, setelah ia lebih dalam berfikir, ia sedari bahawa perasaan yang ditanggungnya selama ini adalah suatu sebab yang berat baginya. Ia berbicara dengan dirinya sendiri: “Yusuf telah menghindar dariku dua kali; sekali dikamarnya dan sekali di hadapan wanita-wanita kota. Sesungguhnya wanita-wanita kota itu pun mencintai Yusuf sebagaimana aku, tetapi semuanya tidak memperoleh sesuatu darinya. Ancamanku kepadanya tidak ditakutinya. Celakalah kamu meskipun aku mencintaimu.”

Pergilah isteri al-Aziz menemui suaminya. Al-Aziz kemudian bertanya tentang jamuan yang diadakannya. Isterinya menjelaskan bahawa jamuan itu hanya menambah keburukan baginya.

“Bagaimana hal itu boleh terjadi?” Tanya Al-Aziz.

“Jika Yusuf tidak disembunyikan dari seisi istana dan kota, dia akan selalu berbicara tentang apa yang memburukkanku...” Jawabnya.

Maka, mendekatlah al-Aziz kepada isterinya seraya berkata. “Bagaimana engkau boleh rela dengan apa yang memburukkanmu?”

Gementarlah badan wanita itu, dan kemudian berkata: “Kalau begitu, masukkanlah Yusuf ke dalam penjara, sehingga semua orang akan melupakannya”.

Al-Aziz menyetujui usul isterinya itu. Tak lama kemudian, beberapa pengawal istana membawa Yusuf ke penjara. Tatkala Yusuf keluar dari pintu istana, isteri al-Aziz berdiri di belakang jendela kamarya sambil memandanginya. Ia merasa seolah-olah sebahagian dari hatinya tercabut, meskipun dialah yang mendesak suaminya agar memasukkan Yusuf ke dalam penjara.

Saban hari berlalu, dan kesedihan selalu mewarnai wajah isteri al-Aziz, sementara suaminya hanya boleh melihat hal itu dengan sikap diam dan tidak kuasa berbuat sesuatu. Wanita itu bertanya kepada dirinya sendiri: “Salahkah aku tatkala menyuruh al-Aziz memasukkan Yusuf ke dalam penjara? Ya, kuharamkan diriku melihat Yusuf... “Sekali lagi ia berfikir dalam kegelisahannya: “Tetapi, apakah aku bersalah dalam urusan itu?” Ia menyanggah dirinya sendiri untuk lepas dari azab, seperti seorang dermawan yang haus, tetapi tidak sanggup menjangkau air yang dipikul di bahunya sendiri.

Hari demi hari, bulan demi bulan, dan tahun demi tahun berjalan tanpa sunyi dari cerita isteri al-Aziz dengan Yusuf. Pada suatu hari, datanglah utusan raja, memerintahkannya untuk datang keistana. Isteri al-Aziz sangat hairan, sebab hal itu belum terjadi sebelumnya. Ia bertanya kepada suaminya apa kira-kira yang menyebabkan sang raja memanggilnya ke istana.

Al-Aziz menjawab, “Mungkin ada urusan yang berhubungan dengan Yusuf.”

Mendengar nama Yusuf disebut lagi, lenyaplah segala dugaan. Tetapi, benarkah raja hanya berkehendak untuk berbicara dengannya tentang Yusuf?

Dengan penuh pertanyaan di benaknya, pergilah isteri al-Aziz menuju istana raja. Di sana didapatinya wanita-wanita yang telah memotong tangannya beberapa waktu yang lalu, semuanya menghadap Raja Mesir. Sementara itu, sang raja memandangi wajah para wanita itu satu persatu, kemudian mengajukan pertanyaan singkat kepada wanita-wanita itu: “Bagaimana keadaanmu ketika kamu menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadamu)?”
Mereka menjawab serentak: “Kami tiada mendapati suatu keburukan padanya (Yusuf)”.

Tiba-tiba, tanpa diminta oleh Raja, isteri al-Aziz berbicara. Ia merasa telah tiba saatnya untuk berbicara terus terang perihal itu, agar hilang semua beban dosa kerana tindakan aniayanya terhadap Yusuf. Di hadapan Raja, wanita-wanita kota, dan seluruh yang hadir di situ, ia menerangkan: “Sekarang jelaslah kebenaran itu. Akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku), dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar”.
(Yusuf berkata), “Yang demikian itu agar dia (al-Aziz) mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak berkhianat kepadanya di belakangnya, dan bahawasanya Allah tidak merelai tipudaya orang-orang yang berkhianat. Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang”.

Terjadi perbedaan pendapat tentang kehidupan perempuan itu selanjutnya. Sebahagian orang berpendapat bahawa sejak itu isteri al-Aziz hidup bersama kesedihan dan putus asa kerana ingatannya kepada Yusuf. Sebahagian yang lain berpendapat bahawa isteri al-Aziz itu akhirnya pindah ke suatu tempat yang jauh, dan tiada khabar beritanya sama sekali. Yang jelas, kehidupan wanita itu menjadi terganggu, kerana cinta kepada Yusuf.

Namun ada yang mengisahkan setelah peristiwa itu Zulaiha bertaubat kepada Allah SWT. Ketika Yusuf diutus menjadi Rasul dan menjadi penguasa menggantikan Al-Aziz, Nabi Yusuf berjumpa dengan Zulaiha yang ketika itu keadaannya sudah tua. Akhirnya Allah menjadikan Zulaiha muda remaja dan berkahwin dengan Nabi Yusuf. Maka jadilah Zulaiha sebagai seorang wanita yang solehah yang sentiasa beramal kepada Allah SWT.
(Kisah Zulaiha ini dapat di baca dalam Al-Quran surah Yusuf ayat 21-53)

---------------------------------------------------------------------------------------------

Kepiluan Hati Seorang Gadis

Rithah Al- Hamqa

Di antara rumah-rumah penduduk Makkah, terdapat sebuah rumah di kawasan Bani Makhzum. Salah seorang penghuninya adalah seorang gadis. Ia dilahirkan dan membesar di Makkah. Gadis itu bernama Rithah Al-Hamqa.

Setelah usianya mencecah remaja, hatinya mula terbuka untuk menjalani kehidupan seperti lazimnya para wanita, iaitu mempunyai suami dan anak-anak. Dia sering melamun dan mengkhayalkan perkahwinan. Ia tidak ingin menjadi anak dara tua.

“Ah, betapa bahagianya... Orang akan beramai-ramai menghantarkan aku menuju rumah calon suamiku...,” begitulah yang kerap terlintas dalam lamunannya.

Dengan tidak sabar Rithah menanti hari yang dibayangkannya penuh keindahan dan kenikmatan itu. Di saat fikirannya penuh dengan segala khayalan dan lamunan, ayahnya yang bernama Umar membangkitkan harapan yang hampir hilang dari hatinya.

Kata ayahnya:
“Rithah, puteriku... aku akan mengunjungi berhala-berhala kita. Akan kuberikan dirham yang banyak kepada pengawalnya, dan akan kulumuri kedua kakinya dengan darah kambing yang gemuk, agar dia menjadi senang kepadamu, kemudian mengirimkan dua orang pemuda yang terhormat kepada kita untuk meminangmu.”

Kata-kata itu membangkitkan harapan baru dalam hati Rithah. Hari demi hari pun berlalu.

Selama itu pula Rithah selalu berdiri di depan cermin memandang dirinya sambil terus bertanya-tanya:
“Mengapakah sampai hari ini tidak seorang pun datang meminangku? Mengapa? Padahal, ayahku, mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di tengah kaumnya, Bani Makhzum. Sedang aku sendiri... inilah wajahku, di sebalik kaca... Mengapa para pemuda tidak tergerak untuk mengahwiniku? Apakah aku kurang cantik?”
Soalan-solan itu selalu menghantui fikirannya. Hanya air mata yang mengalir dari kedua matanya, yang meringankan kesedihan dan beban yang dirasakannya.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Di saat bulan purnama

Tiba-tiba terdengar suara langkah yang berjalan mendekati biliknya. Dia segera mengusap air matanya. Orang yang datang itu ternyata ibunya sendiri. Selama ini pertemuannya dengan sang ibu sering kali justeru menambah kesedihan dan duka dalam hatinya. Ibunya mendekati Rithah. Dia menghulurkan tangan memeluk leher puterinya kemudian mendakapkannya ke atas pangkuan seraya berkata:
“ Tenanglah engkau, hai puteriku... seorang ahli nujum dari Thaif telah memberitahukan kepadaku bahawa kamu akan dibawa ke rumah pengantin pada saat bulan purnama.”

Rithah tersenyum. Di wajahnya terlukis harapan dan kegembiraan sekaligus, dan dia bertanya, “Benarkah apa yang ibu katakan itu?”

Ibunya menjawab, “Demi Tuhan, aku tidak memberitahukan kepadamu melainkan yang sebenarnya.”

Rithah menarik nafas, kemudian berkata, “Tetapi ibu tidak pergi bersamaku ke Thaif agar aku dapat bertemu dengan ahli nujum itu. Jangan-jangan ibu hanya bermaksud membangkitkan harapan dalam hatiku...”

Sambil mengusap wajah puterinya, sang ibu menjawab dengan meyakinkan agar puterinya merasa tenang dan percaya, “Aku telah menemuinya kelmarin di biaranya. Beberapa orang telah memikulnya untuk melakukan tawaf di Kaabah. Ketika selesai, dia merasa sangat haus, lalu pergi ke sumur zamzam untuk minum.

Ketika itulah aku cepat-cepat menyelipkan sekerat emas ke tangannya. Kutanyakan kepadanya tentang perkahwinanmu. Setelah mendongak ke langit dan mengamati bulan, dengan suaranya yang lemah ahli nujum itu berkata, “Perkahwinan akan terjadi di saat bulan purnama seperti ini!”

Belum selesai si ibu bercerita, wajah Rithah sudah berseri-seri penuh kebahagiaan. “Tuhan telah rela kepadaku. Tuhan akan mengirimkan orang yang akan mengahwiniku,” katanya dalam hati. Rithah berputar-putar dalam biliknya, menari penuh kegembiraan, sementara ibunya hairan melihat perbuatan puterinya itu. Tak lama, Rithah berhenti kemudian berkata, “Terima kasih, Tuhan, terima kasih...”

Tetapi, tepat disaat Rithah selesai mengucapkan terima kasihnya kepada Tuhan, dia mendengar ayahnya berkata, “Apakah yang terjadi, Rithah?”

Melihat itu ibunya cepat-cepat menuju ke pintu bilik dan berkata, “Rithah akan diiringkan ke rumah suaminya beberapa hari lagi!”

Kedua mata Umar merah dan kemarahan nampak jelas di wajahnya. Baginya, ucapan isterinya itu justeru merupakan serangan yang menyakitkan.

“Bagaimana mungkin Rithah akan diiringkan beberapa hari lagi tanpa dipinang dulu dariku?” katanya dengan nada keras.

Isterinya menjawab, “Tak apa-apa, wahai Umar!”

Mendengar jawapan itu, tiba-tiba Umar menampar isterinya hingga jatuh ke lantai. Melihat ibunya terjatuh, Rithah merasa seperti disambar petir yang menggelegar. Dia mendekati ibunya sambil menjerit, “Ibu, ibu...”

Masih dalam keadaan duduk sambil menahan rasa sakit, sang isteri berkata kepada suaminya, ”Apa yang engkau anggap salah itu, pada pendapatku, benar.”

Mendengar itu, semakin bertambahlah kemarahan Umar. Dia berkata, “Aku mengerti apa yang kamu katakan kepadanya. Kamu bermaksud membeli seorang suami untuk puteriku tanpa bermesyuarat denganku!”

Ucapan ayahnya itu menghunjam hati Rithah. Dia merasa seakan-akan hatinya ditusuk dengan sebuah pisau yang tajam. Hatinya resah, seolah-olah kehidupan telah tercabut dari dirinya. Di pihak lain, mendengar ucapan suaminya, dan melihat diri puterinya yang cemas, sang ibu menjadi bertambah bingung, tapi kemudian dia berkata, ”Suamiku, sesungguhnya apa yang aku katakan kepadamu sesuai dengan apa yang dikatakan kepadaku oleh seorang ahli nujum dari Thaif.”

Umar menarik nafasnya dalam-dalam dan berjalan ke arah puterinya yang tertekan perasaan sedih. Dia memeluk puterinya, dan berkata, “Tidak! Aku tidak percaya hal itu akan terjadi. Tidak, tidak!”

“Percayalah, hai anakku, ahli nujum Thaif itu tidak berdusta dan tidak mungkin salah!” ujar ibunya.

Demikianlah kedua orang tua itu bersahut-sahutan, hingga sedikit demi sedikit jiwanya yang sedang goncang dan bingung itu beransur tenang kembali.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Mengintip dari balik pintu

Matahari terbit, kemudian tenggelam. Rithah memasang kedua telinganya sepanjang hari. Dia memerhatikan setiap langkah yang mendekati rumahnya. Fikirnya, jangan-jangan itu langkah calon suaminya yang telah dijanjikan ahli nujum dari Thaif itu. Hari-hari berlalu, dan terasa begitu lama bagi Rithah. Dia merasa seakan-akan lehernya diikat dengan tali yang sangat kuat.

Malam pun tiba. Rithah naik ke atas rumah untuk memandang sudut Kaabah dan melihat orang yang sedang mengelilingi bangunan hitam itu. Mereka yang mengelilingi Kaabah itu terdiri dari lelaki dan perempuan. Mereka bergerak tiada hentinya.

Musim haji telah dekat, dan tamu-tamu datang ke Makkah dari setiap penjuru, sehingga jumlahnya menjadi sangat ramai. Orang-orang itu membawa hadiah-hadiah yang akan dipersembahkan kepada berhala-berhala yang di sekeliling Kaabah. Juga hadiah untuk penjaganya.

Melihat semua itu, timbullah pertanyaan dalam hati Rithah, “Apakah yang dikatakan oleh ahli nujum itu akan jadi kenyataan? Bukankah takdir dapat menarik salah seorang diantara para pemuda ke rumahku untuk meminang diriku?”

Rithah mendongakkan wajahnya ke langit. Bulan telah berubah mendekati kesempurnaannya. Beberapa malam lagi bulan akan sempurna menjadi purnama. Apakah harapan akan menjadi kenyataan? Apakah benar dia akan diiringkan beberapa hari lagi? Pertanyaan-pertanyaan itu selalu datang dan tidak diperolehinya jawapan selain keraguan dan kegelisahan.

Kini, bulan purnama telah sempurna, tetapi tidak sebuah “bintang” pun datang meminangnya. Tanpa diketahuinya, sang ibu mendekatinya. Saat itu Rithah sedang menenggelamkan wajahnya ke atas pangkuannya sendiri kerana sedih. Kemudian Rithah mengangkat kepalanya dengan berat untuk mendengar ibunya berkata, ”Ahli nujum Thaif itu tidak berdusta, anakku.”

Rithah balik bertanya, ”Bila tidak berdusta, mengapa tidak datang juga orang yang akan mengahwiniku? Tidak ada orang yang seumurku ini belum kahwin!”

Sambil memegang kepala puterinya, sang ibu berkata, “Nanti kamu akan kahwin juga, anakku, ketika bulan purnama telah sempurna.”

Mendengar itu Rithah berteriak, “Bulan purnama telah sempurna, ibu!”

Ibunya menjawab,”Perkahwinanmu tidak harus terlaksana pada bulan ini, boleh terjadi pada bulan mendatang atau bulan yang seterusnya lagi.”

Rithah segera berkata, “Aku tidak percaya! Aku tidak percaya!” Dan dia mengulang-ulangi perkataan itu. Ketika telah habis suaranya kerana berteriak, barulah dia merasakan ketenangan yang mendalam, seperti ketenangan orang yang telah mati.

Selama berlangsungnya “drama” kesedihan Rithah itu, sang ayah dengan setia mengintip dari balik pintu. Hatinya sedih melihat penderitaan anak dan isterinya. Dia tidak sampai hati melihat apa yang menimpa diri puterinya itu.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Dipinang pemuda kacak

Matahari terbit, kemudian tenggelam. Siang dan malam berlalu, sedang Rithah tidak juga berubah. Satu-satunya perubahan, ayahnya kini telah tiada, meninggal dunia setelah menderita sakit beberapa hari, dan ayahnya meninggalkan harta warisan yang banyak untuk dia dan ibunya. Akan tetapi, apakah ertinya harta jika keinginannya untuk bersuami tidak terlaksana? Hari demi hari berlalu, dia tetap merasa sedih dan wajahnya selalu nampak gelisah.

Ahli nujum dari Thaif itu telah berdusta, begitu juga ahli nujum lain yang dia datangi bersama ibunya yang selalu menyelipkan wang ke tangan mereka, kemudian mereka memberitahukan dengan kata-kata yang manis dan menyampaikan harapan-harapan kosong, fikir Rithah.

Rithah bertanya kepada dirinya sendiri, “Berapakah usiaku sekarang? Empat puluh tahun? Tidak! Bahkan lebih dua tahun! Tidak! Sebenarnya kurang dari itu...,” begitulah hatinya bergejolak.

Selama ini, ibunya selalu berusaha meringankan beban penderitaannya, dan bersamaan dengan pertanyaan-pertanyaan yang menusuk hatinya itu, seolah-olah pisau yang tajam, ibunya berkata, ”Betapa banyak wanita yang lebih tua darimu, akhirnya kahwin juga, Rithah.”

Suatu pagi, ketika matahari telah menyinari pergunungan dan bukit bakau di Makkah, pintu rumah Rithah diketuk orang. Ibunya, yang usianya sudah lebih dari tujuh puluh tahun, segera bangun untuk membukakan pintu. Betapa terkejutnya dia, kerana yang datang adalah saudara perempuannya sendiri. Telah lama tidak pernah dilihatnya, kerana saudaranya ini tinggal di perkampungan Bani Tamim. Dan di sebelah saudara perempuannya itu, dia melihat seorang pemuda yang usianya mendekati dua puluh tahun. Ibu Rithah segera memeluk saudara perempuannya. Saudara perempuannya menyuruh puteranya masuk sambil berkata kepada ibu Rithah, “Ini anakku, Sukhr.”

Mendengar nama Sukhr, Rithah segera bangkit, dan hilanglah rasa malas dari dirinya. Dia tak sabar ingin mengetahui, siapakah Sukhr, yang datang ke rumahnya itu.

“Ini adalah Sukhr, putera ibu saudaramu, Rithah.”

Melihat semua itu, mulalah muncul berbagai pertanyaan di hati Rithah: Mungkinkah pemuda kacak yang jauh lebih muda dari dia itu datang untuk meminangnya? Apakah semua yang dikatakan oleh ahli nujum dari Thaif dan ahli-ahli nujum yang lain itu akan menjadi kenyataan? Namun, lamunan Rithah segera hilang ketika dia mendengar suara Sukhr berkata, “Selamat saudaraku.”

Rithah menjawab terbata-bata, ”Selamat datang untukmu.”

Perempuan itu bersama puteranya tinggal di rumah Rithah hanya sebentar. Mereka datang untuk meminang Rithah. Dan menurut rancangan, perkahwinan akan dilaksanakan sebulan lagi.

Meskipun demikian, hati Rithah masih saja selalu bertanya-tanya. Mengapa sebelum ini tidak datang seorang pun untuk mengahwininya? Kini, ibu saudaranya, yang sebelum ini tak pernah dilihatnya, datang bersama puteranya yang kacak dan mengatakan akan menetap ke Makkah bersama Rithah setelah perkahwinannya nanti.

Di perjalanan pulang menuju perumahan Bani Tamim, ibu Sukhr sentiasa berbicara untuk meneguhkan tekad anaknya agar melangsungkan perkahwinan dengan Rithah. Dia berkata, ”Memang Rithah tidak cantik, tetapi hartanya banyak.”

“Apakah yang mengharuskan aku mengahwininya, ibu?”

“Hartanya yang banyak akan membuat kamu menjadi kaya raya. Kamu dapat menjadi seorang saudagar besar. Setelah itu, dengan kekayaanmu, engkau boleh kahwin lagi dengan wanita lain. Kamu bebas melakukan apa saja kehendakmu. Tetapi yang penting, jangan engkau biarkan kekayaan Rithah itu terlepas dari tanganmu!” jawab ibunya dengan penuh semangat.

Waktu terus berjalan. Ibu Rithah meninggal dunia sebelum melihat putera saudaranya itu melangsungkan perkahwinannya dengan Rithah. Kini Rithah hidup seorang diri di rumahnya dengan penuh kesedihan. Hatinya bertanya-tanya, apakah putera ibu saudaranya akan datang mengahwininya sesuai dengan janjinya dahulu. Ataukah itu hanya tipu muslihat belaka?

Tetapi, tidak lama setelah itu, datanglah perempuan itu bersama puteranya, Sukhr, untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Rithah. Mereka sebenarnya berbahagia atas kematian ibu Rithah, kerana mereka merasa akan lebih mudah untuk menguasai harta Rithah.

Hari demi hari berganti, tetapi Rithah tak kunjung merasakan kebahagiaan hidup bersuami, padahal dia telah menjadi seorang isteri. Tidak ada orang lain yang tinggal di rumah itu selain dia dan suaminya, Sukhr. Mereka tinggal berdua.

Rithah pergi menemui berhala-berhala di Kaabah untuk mempersembahkan korbannya, kerana harapannya telah jadi kenyataan. Sepulangnya dari Kaabah, dilihatnya wajah Sukhr, suaminya nampak bersedih. Rithah menghampirinya dan berkata, ”Apa yang membuatmu sedih, Sukhr?”

Sukhr menjawab, “Tidak ada apa-apa, tidak ada apa-apa...”

Tetapi Rithah makin mendekat, dan dengan penuh kasih sayang dia berkata, ”Tidak mungkin! Tentu ada sesuatu yang kamu sembunyikan. Seminggu sejak perkahwinan kita hingga hari ini, belum pernah kulihat wajahmu bersedih seperti sekarang.”

“Aku merasa bosan!” jawab Sukhr.

Ucapan Sukhr dirasakan Rithah laksana petir yang menyambar.

“Begitu cepatnya, Sukhr, kamu merasa bosan kepadaku?” Kata Rithah tanpa sedar.

Tetapi Sukhr dengan tenang menjawab, “Bagaimana aku akan memiliki sesuatu, sedang kamu adalah isteriku dan anak saudara ibuku?”

Rithah berkata kepadanya, “Kalau begitu, kamu harus mengatakan, apakah yang menyusahkanmu?”

Sukhr berkata, “Aku ingin pergi ke Syam untuk berdagang agar kita mendapat keuntungan yang banyak.”

“Apakah yang mendorongmu untuk itu, padahal ayahku meninggalkan untuk kita berdua harta yang begini banyak?” Tanya Rithah.

“Aku tak mahu menjadi beban bagi seseorang,” Jawab Sukhr.

“Tetapi kamu tidak menjadi beban bagiku, kerana kamu adalah suamiku. Hartaku adalah hartamu juga..,” Kata Rithah.

Tetapi Sukhr berkata, “Kalau begitu, berilah aku wang untuk mempersiapkan kafilah ke Syam.”

Rithah memandangi suaminya. Dengan nada sedih, lalu dia berkata, “Kamu akan meninggalkan aku, Sukhr?”

“Aku akan meninggalkanmu sebulan atau dua bulan, kemudian kembali ke sisimu untuk selama-lamanya,” Jawab Sukhr.

“Bila berangkat?” Tanya Rithah.

“Beberapa hari lagi,” Jawab Sukhr.

^ Kembali ke atas ^



Menangis siang dan malam

Sudah cukup lama Sukhr berangkat, tapi tak kunjung pulang. Sebulan, dua bulan bahkan tiga bulan berlalu. Rithah kemudian mencari Sukhr. Dia bertanya kepada setiap penduduk Makkah yang datang dari Syam, dan mereka menjawab,”Sukhr tidak pergi dengan kafilah mana pun.”

Rithah mula merasa khuatir: apakah yang telah menimpa Sukhr? Matikah dia atau terbunuh? “Tidak!... Tidak!” demikian Rithah berteriak untuk menjauhkan perasaan yang bukan-bukan dari dirinya. Setelah berfikir sejenak, dia memutuskan akan pergi ke perkampungan Bani Tamim untuk mencari maklumat tentang suaminya yang telah lama menghilang.

Namun, betapa kecewanya hati Rithah ketika berjumpa dengan Sukhr yang dengan tergagap-gagap menyatakan kepadanya bahawa wangnya telah dicuri orang.

Rithah bertanya, “Mengapa kamu tidak kembali untuk memberitahukan hal itu kepadaku?”

Sukhr menjawab,”Untuk apa aku harus memberitahukannya kepadamu, sedang kamu tak mungkin lagi menjadi isteriku. Lagi pula, bagaimana jiwa mudaku dapat tumbuh subur dengan wanita tua seumpama kamu...!” Lalu Sukhr pergi meninggalkan Rithah seorang diri.

Saat itu Rithah merasa seakan bumi telah menggoncangkannya dan menjadi kiamat. Segala sesuatu menjadi gelap dalam pandangan kedua matanya. Akan tetapi dia tetap mencari Sukhr. Dia terus bertanya tentang Sukhr kepada kaumnya. Dia mendapatkan jawapan bahawa Sukhr kini diasingkan oleh teman-temannya dan diusir, kerana telah melakukan sesuatu yang tidak disenangi. Meski demikian, Rithah masih bertanya,”Di mana dia sekarang?” Seseorang memberitahunya bahawa Sukhr kini hidup bersama orang-orang miskin yang diasingkan kaumnya kerana kejahatan yang telah mereka lakukan.

Rithah kemudian kembali ke Makkah dengan membawa kesedihan. Ketika sampai di rumahnya, dia menutup pintu kemudian menangis. Dia terus menangis siang dan malam memerah air matanya sendiri. Sejak itu dia tak mahu makan dan minum.

Namun, tiba-tiba tangannya meraih sepotong roti yang sudah kering. Rupa-rupanya, keinginannya untuk hidup masih lebih kuat daripada keinginannya untuk mati. Tetapi, kenikmatan hidup apakah yang dirasakannya? Sebatang kara, dan sedih kerana harapannya yang musnah ...

Suatu hari, tangannya meraih alat pemintal yang biasa digunakan oleh ibunya untuk memintal sutera. Dengan jari-jarinya dia mula memutar alat itu. Dia memintal sepotong bulu domba dan setelah selesai menyusunnya kembali. Kemudian memintalnya lagi dan begitu terus-menerus. Tiga kali, empat kali dan... tanpa disedarinya malam telah menjadi larut.

Rithah berdiri, berjalan dengan malas menuju lampu minyak dan kemudian menyalakannya. Kedua matanya terpaku memandang bulu domba yang telah dipintalnya sambil bertanya-tanya dalam hati, ”Untuk siapakah dia memintal? Apakah dia kekurangan harta, padahal Sukhr telah banyak mencuri hartanya tetapi hartanya masih banyak juga. Apakah dia menenunnya untuk membuat pakaian? Untuk siapa pakaian itu? Untuk dirinya, agar dia dapat berhias diri? Tetapi untuk siapa dia berdandan? Untuk suaminya? Bukankah suaminya telah menipu? Untuk anaknya? Bukankah dia tak mempunyai anak? Kalau begitu, untuk siapa?”

Pertanyaan-pertanyaan itu seolah-olah petir yang memekakkan kedua telinganya. Tanpa disedari, dia menjulurkan kedua tangannya meraih benang-benang yang telah dipintalnya sepanjang hari itu, kemudian menceraikannya kembali satu persatu... Kemudian dia tidur di atas permaidani.

Pagi harinya, dia kembali berkeinginan untuk memintal. Dia meraih alat pemintal dan mula memintal. Jika telah selesai, dia memandang hasil pintalannya seperti orang gila. Dia diam sejenak, kemudian dia mengangkat kepalanya, bangun dan keluar dari rumah dengan membawa sekantung wang untuk membeli benang sebanyak-banyaknya. Tetapi, apakah gunanya memintal benang sebanyak itu?

Dia juga menemui gadis-gadis untuk disuruhnya memintal, dan mereka diberi upah masing-masing satu dirham. Setiap pagi gadis-gadis itu datang ke rumah Rithah, sementara Rithah duduk di tengah-tengah mereka, kemudian memintal bersama-sama.

Apabila telah selesai, sebelum matahari terbenam, Rithah membayar upah mereka. Sesudah gadis-gadis itu pulang, mulalah dia meraih hasil tenunan tadi, kemudian menceraikannya kembali dalam kegelapan. Rithah merasa bahawa dunia telah menghancurkan segala harapan dan keinginannya.

Itulah akhir kisah Rithah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Para Pembela Agama Allah

Panglima Muslim Arab Pertama Menghadapi Farsi

Semasa remajanya beliau masuk Islam bersama utusan Bani Syaiban yang menjumpai Nabi SAW pada tahun utusan (Am al-Wufud). Beliau bersemangat sekali untuk menaklukkan kerajaan Farsi yang berdekatan dengan daerahnya, iaitu di perbatasan desanya.

Sayangnya cita-citanya tidak terlaksana pada masa Rasulullah SAW hidup. Setelah Nabi wafat, barulah Matsna membulatkan tekad, membuktikan angan-angannya yang ia fikirkan sejak dulu. Ia berangkat menuju ke Madinah Al-Munawwarah menemui Abu Bakar Ash-Shiddiq ra. Beliau menjelaskan gagasannya menaklukkan kerajaan Farsi.

Waktu itu merupakan saat pertama kalinya tentera muslim berangkat ke tanah Irak untuk menguasai Farsi. Farsi pada saat itu merupakan simbol salah satu dari dua negara super power di dunia. Sedang negara super power kedua adalah Rom.

Orang Farsi merasa terkejut dengan keberadaan orang Arab Badui yang memimpin pasukan ini dan menentang negaranya serta mengangkat bendera Islam di dalam negerinya. Terjadilah pertempuran hebat antara kaum muslimin dengan tentera Farsi, di mana pihak Farsi memakai gajah sebagai kendaraan perang untuk menakut-nakuti tentera muslimin. Tetapi kaum muslimin sudah membulatkan tekad dan pemberani.

Dalam beberapa pertempuran, kaum muslimin dapat mengalahkan tentera Farsi, meskipun pada saat mereka menyerang masuk ke negeri Farsi tersebut jumlahnya sedikit, dan masih memerlukan bala bantuan pasukan dari pusat.

Matsna mengirim surat kepada Abu Bakar Ash-Shiddiq dengan menggambarkan posisi tentera muslim terlebih dahulu, kemudian memohon bantuan pasukan agar usaha penaklukannya berjalan sebagaimana yang telah direncanakan. Spontan Abu Bakar Ash-Shiddiq mengirim pasukan di bawah pimpinan Khalid Ibn al-Walid. Maka goncanglah kerajaan Farsi kerana ketakutan saat mengetahui kedatangan Khalid. Sebab kepahlawanannya telah popular sebagai ahli perang. Dan benarlah apa yang mereka perkirakan.

Tentera muslim bergerak di bawah pimpinan Khalid dan Matsna dari satu kemenangan menuju kemenangan yang lain. Tentera Farsi tidak mampu bertahan dalam satu pertempuran. Hal itu memungkinkan tentera muslimin menaklukkan daerah Al-Hairah dan mengibarkan bendera Islam di sana. Namun demikian ada perkara yang tidak terduga sebelumnya oleh Khalid Ibn al-Walid. Posisi tentera muslimin dalam keadaan kritikal di Syam. Oleh kerana itu mereka memerlukan bantuan dan perhimpunan kekuatan baru dengan segera.

Setelah itu datang pemberitahuan dari Abu Bakar Ash-Shiddiq kepada Khalid Ibn al-Walid di Iraq untuk berangkat dengan separuh tenteranya ke Syam, bergabung dengan tentera muslimin dalam memerangi Rom. Di sini nampak kecerdasan siasah peperangan Matsna. Saat itu perhatiannya adalah untuk menjaga harta rampasan perang dan menjaga tenteranya. Kemudian apa yang harus ia lakukan? Beliau tidak keluar dari kota Al-Hairah tapi terus menyelesaikan pertempuran melawan tentera Farsi. Ia berperang dengan dahsyat sementara pihak Farsi makin lemah, takut dan pasrah.

Ternyata Allah menghendaki agar Matsna menjaga harta rampasan perang di sana. Ia tetap melawan tentera Farsi dengan tekad yang bulat. Pada saat yang sama, tentera muslimin menang atas tentera Rom. Hal ini menimbulkan ketakutan dalam hati tentera Farsi menanti akibat yang dialami oleh tentera Rom.

Sejarah mencatat Matsna sebagai panglima muslim Arab pertama yang melawan tentera Farsi dan mulai berusaha menaklukkan kerajaan yang besar itu. Hasilnya adalah menggantikan kepercayaan penduduk setempat yang semula menyembah api menjadi menyembah Allah. Jadilah Baghdad sebagai salah satu ibu kota Islam yang kemudian menjadi tempat para pemuka ahli Fiqih dan pakar di bidang lain. Kemudian dari sanalah ilmu berkembang ke seluruh dunia.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Ahli Ibadah Mati Syahid Bersama Ayahnya Dalam Satu Hari

Muhammad Ibn Thalhah Ibn Ubaidillah dilahirkan di salah satu rumah yang termulia bagi para pejuang di masa Rasulullah SAW. Ia hidup dan tumbuh dalam naungan perjuangan. Di bawah asuhan ayah yang pemberani dan beriman. Rasulullah SAW bersabda berkenaan dengan dirinya: “Barangsiapa ingin melihat seorang syahid yang berjalan di muka bumi, lihatlah Thalhah Ubaidillah.”

Yang pertama kali terlihat oleh si bayi (Muhammad Ibn Thalhah) setelah kelahirannya ke dunia ini adalah wajah Nabi SAW. Waktu itu ia dibawa ke hadapan Rasul lalu Nabi bertanya: “Nama apa yang engkau berikan padanya?” Mereka menjawab, “Muhammad.” Kata Nabi: “Itu namaku.” Julukannya Abu Al-Qasim. Kemudian baginda SAW mendoakan bayi tersebut dengan kebaikan dan berkah.

Menjelang usia mudanya, Muhammad Ibn Thalhah tekun beribadah dan khusyuk dalam sujud. Di bawah asuhan ayahnya mampu menghafal Al-Quran. Ayahnya termasuk salah seorang dari orang-orang yang pertama kali masuk Islam (as-Sabiqun al-Awwalun). Ia juga termasuk salah seorang dari 10 orang yang diberitakan masuk syurga. Juga termasuk salah seorang yang jadikan Umar sebagai calon khalifah dalam dewan permesyuaratan.

Beliau tertimpa musibah di waktu perang Uhud. Rasulullah SAW merawatnya sendiri, ertinya merawat dengan tangan baginda sendiri kepada Thalhah yang terkena anak panah sehingga tangannya terasa kaku. Rasulullah mengangkat Thalhah kepunggungnya dan membawanya sampai jauh dari para pemanah.

Pada waktu itu Rasulullah berkata: “Wajib bagi Thalhah!” Ertinya Thalhah telah melakukan suatu amal yang mewajibkannya masuk syurga.

Thalhah mendidik anaknya, Muhammad, dengan pendidikan yang mulia sehingga Muhammad tekun beribadah kepada Allah. Tidak ada kesenangan duniawi dengan segala perhiasannya, yang dapat menggantikannya dari kesibukan berzikir kepada Allah dan membaca Al-Quran. Jika ia hendak solat, di malam hari ia munajat kepada Allah, sehingga lupa akan segala sesuatu yang ada di sekitarnya. Bahkan ia tidak tahu telah berapa lama waktunya berlalu. Oleh kerana itu ia dijuluki sebagai ahli sujud, kerana banyaknya sujud yang ia lakukan kepada Allah Azzawa Jalla.

Baginya belum merasa cukup jika hanya mendengar nasihat dari ayahnya. Ia sendiri mendengar dari Rasulullah SAW. Muhammad Ibn Thalhah juga mengunjungi ibu saudaranya Zainab binti Jahsy. Ia duduk dan mendengarkan nasihatnya yang ia terima dari Rasul. Dengan demikian ia tahu bagaimana beliau berinteraksi dengan keluarga dan pembantunya. Ia tahu bagaimana Rasulullah menerima wahyu. Hal ini makin memberinya kekuatan iman dan dapat menambah cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia melaksanakan ibadah solat, puasa dan menjauhi gemerlapnya dunia dan nafsu syahwat, bahkan tetap di jalan yang lurus dalam setiap ucapan dan perbuatan.

Di samping Muhammad Ibn Thalhah menghafal Kitabullah ia juga memperhatikan ayat-ayatnya pada saat membacanya. Ia menghafal banyak hadith Nabi dan menjadikannya sebagai pedoman hidup. Oleh kerana itu ia mencapai kedudukan yang tinggi di antara manusia. Beliau merasa cukup dengan keadaan sederhana, merendah, tidak angkuh terhadap yang miskin, meskipun Allah memberinya kesenangan duniawi sehingga menjadikannya termasuk orang-orang yang kaya.

Sebagaimana halnya Muhammad Ibn Thalhah mulia kerana amalan hidupnya yang penuh dengan beribadah kepada Allah tidak condong pada gemerlapan kehidupan duniawi dan kenikmatannya, ia juga terhindar dari terlibatnya kehidupan kaum muslimin yang terjerumus dalam fitnah setelah wafatnya Rasulullah. Kerana itu ketika Amirul Mukminin Utsman Ibn Affan terbunuh di rumahnya dalam keadaan sedang membaca Al-Quran di biliknya, Muhammad Ibn Thalhah bertanya-tanya sambil bercucuran air mata membasahi janggutnya, siapa gerangan yang membunuh Amirul Mukminin?

Apakah Muhammad Ibn Abu Bakar terlibat dalam pembunuhan tersebut ataukah isu itu hanya sengaja memalingkan dari keadaan yang sebenarnya yang dilakukan oleh orang-orang derhaka? Setelah jelas bahawa putera Abu Bakar Ash-Shiddiq tidak terlibat, fikirannya mantap dan semangat cintanya berkobar. Ia amat mengharapkan agar putera Abu Bakar tersebut tidak terlibat dalam pembunuhan Amirul Mukminin.

Wafatnya Utsman merupakan awal terjadinya fitnah yang keji dan kemudian berlanjut dengan terpecahnya barisan umat Islam. Kaum muslimin membaiat Saidina Ali sebagai khalifah. Semuanya membaiat, kecuali Muawiyah dan penduduk Syam. Peristiwanya berlangsung amat cepat. Terjadilah perang unta di mana Ummul Mukminin Aisyah ra. terlibat di dalamnya.

Thalhah termasuk pemerhati atas terbunuhnya Utsman Ibn Affan. Oleh kerana itu sebenarnya ia tidak sepenuhnya terlibat dalam pertempuran ini. Justeru itu Bani Umaiyah memperoleh keuntungan darinya demi melaksanakan balas dendam. Hal ini terbukti ketika Marwan Ibn Al-Hakam mengarahkan panahnya ke Thalhah.

Saat itu Thalhah berseru: “Saya tidak menuntut balas setelah hari ini!” Thalhah menemui ajalnya, ia gugur sebagai syahid.

Adapun Muhammad Ibn Thalhah, ia sebenarnya condong kepada pihak Saidina Ali, tetapi kerana taat pada ayahnya yang terlibat dalam memerangi Saidina Ali maka ia ada di pihak lawan Ali. Meskipun demikian ia tidak berusaha membunuh seseorang. Apabila seseorang mengangkat senjata melawannya, ia berkata: “Aku ingatkan engkau dengan seorang sahabat karib!” Lalu ia menjauhinya.

Begitu seterusnya sampai datang seorang lelaki berhati keras bernama Isham Ibn Muqsyair an-Nashri menurut pendapat yang terkuat, tidak mempedulikan kata-katanya, “Aku ingatkan engkau dengan seorang sahabat karib.” Orang ini langsung mengangkat senjata ke arahnya, menikam dengan tikaman mematikan. Maka Muhammad jatuh, darahnya mengalir, lalu si pembunuh berdiri sambil melagukan beberapa syair berikut ini: Timbullah kekuatan sebagai tanda kekuasaan Tuhan
Sedikit sekali rintangan yang dijumpai oleh seorang muslim
la terpanah di bahagian bawah dadanya
Dua tangan dan mulutnya jatuh terbanting
Saat tertikam ia mengingatkanku sebagai sahabat karib
Mengapa tidak ia ucapkan sahabat karib sebelum maju? Dengan cara itulah ia mati syahid. Ia terbunuh sebagai hamba yang menegakkan ayat-ayat Allah. Ia mengingatkan tentang sahabat karib, tapi tidak terdengar dan tidak terjawab.

Setelah pertempuran selesai, Saidina Ali, puteranya Hasan, Muhammad Ibn Abu Bakar, dan Amar Ibn Yasir memeriksa medan perang, tiba-tiba Hasan melihat mayat yang wajahnya tertelungkup. Kemudian ia membalikkan badannya, dan setelah diperhatikan ia berkata: “Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un (sesungguhnya segala sesuatu itu bagi Allah dan sesungguhnya segala sesuatu itu akan kembali kepada Allah).

Demi Allah, orang ini termasuk bahagian dari orang Quraisy.” Ayahnya bertanya kepadanya: “Siapa ia, wahai anakku?” Jawab Hasan, “Muhammad Ibn Thalhah.” Saidina Ali kemudian berkata: “Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un. Orang ini ahli sujud dan pemelihara Kaabah. Ia adalah pemuda yang soleh.” Setelah itu beliau duduk, nampak sedih dan pilu. Hasan berkata kepadanya: “Wahai ayahku, dulu aku pernah mencegahmu melakukan perjalanan ini, tapi si anu dan si anu mengalahkan pendapatmu.” Jawab Saidina Ali: “Dulunya begitu (sekarang sudah terjadi), wahai anakku. Aku berharap seandainya 20 tahun yang lalu aku sudah meninggal.”

Allah menghendaki agar Thalhah dan puteranya dimakamkan dalam satu kubur. Langit membukakan pintu rahmat dan keredaan bagi kedua pahlawan syahid ini.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Orang Pertama Mengumandangkan Al-Quran di Hadapan Bangsa Quraisy

Beliau termasuk di antara orang-orang yang pertama masuk Islam, bahkan termasuk dalam deretan keenam dari orang-orang yang memeluk agama Islam. Waktu itu usianya belum mencapai 15 tahun. Ia menyaksikan salah satu mukjizat Nabi SAW lalu mengujinya dan masuk Islam tanpa ragu. Sepanjang hayatnya beliau setia terhadap Rasul hingga akhir hayat beliau.

Abdullah Ibn Mas’ud merupakan orang yang kuat menghafal Al-Quran. Ia mendengar ayat-ayat Al-Quran dari Nabi sendiri lalu menghafalnya sesuai dengan yang ia dengar. Nabi SAW pernah berkata: “Barangsiapa ingin membaca Al-Quran seperti keadaan/bacaan ketika diturunkannya, hendaklah ia membaca sebagaimana bacaan Ibn Ummi Abd (Abdullah Ibn Mas’ud).”

Mengenai kisah masuk Islamnya adalah kerana ia menyaksikan sesuatu mukjizat Nabi sebagaimana diriwayatkannya: “Saat itu aku masih muda. Aku menggembala ternak milik Uqbah Ibn Mu’ith. Lalu datanglah Rasulullah SAW bersama Abu Bakar yang sedang menjauhkan diri dari orang-orang musyrik.

Nabi bertanya: “Hai pemuda, adakah engkau memiliki air susu yang boleh kami minum?”

Jawabku: “Tidak ada.”

Sabda Nabi: “Adakah kamu mempunyai seekor kambing betina usia empat tahun yang belum digauli oleh kambing jantan?”

Jawabku: “Ada.”

Kemudian aku membawa kambing tersebut kepada baginda. Nabi memegang kambing itu sambil mengusap-usap tetek kambing seraya berdoa. Tiba-tiba susu kambing itu membesar, lalu Abu Bakar datang menuju baginda sambil membawa sebuah bekas, dan baginda memerah susu ke dalam bekas tadi. Setelah itu Rasulullah meminum susu tersebut lalu sisanya diberikan kepada Abu Bakar, kemudian diberikan kepadaku.

Sesudah itu Nabi SAW bersabda yang ditujukan kepada susu kambing: “Menyusutlah.” Seketika itu juga susunya mengempis. Aku berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, ajarilah aku ucapan tersebut!” Baginda menjawab: “Engkau adalah pemuda yang pandai!” Setelah aku masuk Islam, aku hafal 70 surat dari lisan baginda sendiri. Dan tiada seorangpun yang dapat menandingi aku dalam hal ini.”

Sejak pertemuan pertama dengan Rasulullah dan kesaksiannya terhadap mukjizat tersebut, Abdullah Ibn Mas’ud mencapai darjat yang tinggi dalam iman. Dirinya dipenuhi dengan cahaya kebenaran dan setia kepada Nabi. Beliau menghafal wahyu satu demi satu dan membaca Al-Quran sebagaimana ia mendengarkannya dari Nabi. Beliau termasuk orang pertama yang mengumandangkan Al-Quran di hadapan kaum Quraisy tanpa rasa takut akan kemarahan dan balas dendam mereka kepadanya.

Dia adalah seorang pemuda berbadan kurus, tidak memiliki suatu kesenangan duniawi. Ia merasa cukup kuat dengan kurnia Tuhan-Nya, sehingga menjadikannya pemberani dalam menghadapi peristiwa yang berbahaya. Waktu itu para sahabat Nabi berharap agar kaum Quraisy mahu mendengarkan Al-Quran, akan tetapi siapa yang berani mengumandangkan bacaannya di hadapan mereka? Hal ini merupakan peristiwa yang memerlukan keberanian dan pengorbanan teristimewa sekali kerana kaum Quraisy bersikap memusuhi terhadap agama baru (Islam).

Tentu saja siapa pun yang berani mengumandangkan Al-Quran, yang merupakan seruan untuk memeluk agama itu, akan menemukan gangguan kaum Quraisy. Yahya Ibn Umayyah meriwayatkan peristiwa tersebut dengan ucapannya:
“Abdullah Ibn Mas’ud merupakan orang yang pertama mengumandangkan Al-Quran setelah Rasulullah SAW.

Suatu ketika para sahabat Nabi berkumpul, lalu mereka berkata: “Demi Allah, kaum kafir Quraisy tidak mendengar Al-Quran ini dikumandangkan sama sekali. Siapakah gerangan orang yang berani membuat mereka mendengarkannya?”

Spontan Abdullah Ibn Mas’ud berkata: “Saya!”

Para sahabat Nabi berkata: “Kami mengkhuatirkan keadaanmu. Kami menghendaki adanya seorang lelaki yang memiliki kabilah tersendiri yang boleh mencegah mereka darinya, jika mereka mahu.”

Jawab Abdullah Ibn Mas’ud: “Setelah itu, sesungguhnya Allah akan membelaku.”

Kemudian berangkatlah Ibn Mas’ud hingga sampai pada tempat yang tinggi sedangkan kaum Quraisy ada di bawahnya. Ia berdiri lalu membaca: “Bismilla hirrahma nirrahim (dengan suara keras), ar-rahma ‘allamal Quran.” Setelah itu ia membaca di hadapan kaum kafir Quraisy.

Timbullah dua ucapan dari mereka: “Apa yang diucapkan oleh Ibn Ummi Abd? Ia membaca sebahagian dari yang dibaca/dibawa oleh Muhammad. Lantas mereka berdiri menuju kepadanya. Terjadilah apa yang dikehendaki oleh Allah. Setelah itu ia pulang menuju para sahabatnya dengan penuh derita di wajah dan badannya.

Para sahabat berkata: “Inilah yang aku takutkan terjadi padamu.”

Maka jawabnya: “Musuh-musuh Allah itu hanya perkara kecil bagiku sekarang. Andaikata engkau inginkan lagi, tentu aku akan berangkat seperti ini lagi besok.”

Jawab mereka: “Cukup bagimu.” Mereka telah mendengarkan apa yang mereka benci.”

Peristiwa hebat ini menjelaskan sejauh mana Abdullah Ibn Mas’ud mengalami pengorbanan demi memperoleh keredhaan Allah dan Rasul-Nya. Pemuda miskin ini berani menghadapi mereka tanpa dukungan kabilah yang ia miliki, menghadap (kaum) Quraisy yang memiliki harta yang berupa kekuasaan. Ia memikul beban gangguan dengan redha asal mereka dapat mendengarkan apa yang mereka benci.

Ketika Nabi mengizinkan sebahagian sahabatnya berhijrah, Abdullah Ibn Mas’ud berhijrah dua kali. Saat itu ia mencapai usia dewasa lalu kembali ke Makkah setelah jumlah kaum muslimin bertambah, dan Islam bertambah kekuatan, kemuliaan dan pertahanan.

Ketika Rasulullah mengizinkan hijrah ke Madinah, Abdulah Ibn Mas’ud ikut hijrah dan menjumpai Mu’adz Ibn Jabal. Di situlah Nabi mempersaudarakan antara umat Islam. Beliau mempersaudarakan antara Abdullah Ibn Mas’ud dengan Zubair Ibn al-Awwam dari kalangan Muhajirin, dan antara Abdullah Ibn Mas’ud dengan Mu’adz Ibn Jabal dari kalangan al-Ansar. Ia memperoleh keuntungan yang banyak kerana dekatnya dengan Nabi. Ia mendirikan rumahnya berdekatan dengan masjid Rasul.

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada Abdullah Ibn Mas’ud ini menjadikan para sahabat berharap seandainya mereka juga boleh memperoleh seperti itu. Mereka berkata: “Sesungguhnya ia boleh masuk saat kita terhalang, dan dapat menyaksikan saat kita hadir.” Mereka menganggap hal tersebut sebagai kurnia yang melimpah kerana dekatnya dengan tempat Rasul.

Sebahagian dari perkara yang menunjukkan amat cintanya Nabi SAW kepada Ibn Mas’ud adalah beliau memintanya membaca beberapa ayat Al-Quran al-Karim. Suatu ketika Rasulullah bersabda kepadanya: “Bacalah untukku, hai Abdullah.” Jawab Ibn Mas’ud: “Aku membaca untukmu? Padahal wahyu diturunkan kepadamu?”

Jawab Nabi, “Sebenarnya aku ingin mendengarkan Al-Quran dari selain diriku.”

--------------------------------------------------------------------------------------------

Al-Quran, Solat & Jihad
Matanya Buta Kerana Tangisan Makrifat Allah


Disebabkan rasa takutnya kepada Allah membuatnya dapat menangis setiap kali ia membaca Al-Quran dan setiap kali solat. Oleh sebab itu, bumi tempat sujudnya basah oleh air mata. Ia juga menangis saat ia sedang menyendiri berfikir tentang hari kiamat, kesengsaraan di padang Mahsyar, menunggu hisab dan lain sebagainya. Ia adalah seorang miskin yang hanya memiliki pakaian yang dipakainya saja dan sebuah tempat tidur usang.

Ia berpendapat bahawa dunia dan semua isinya telah datang kepadanya. Kerana kesihatannya banyak menolongnya untuk beribadah kepada Allah, dan banyak membantunya untuk berjaga malam dalam melaksanakan solat dan berzikir kepada Allah. Muhammad Ibn Al-Munkadir masih membujang meskipun ia telah mencapai usia dewasa. Perkara itu dikeranakan ia tidak memiliki harta untuk membayar mahar pernikahan dan ia juga tidak mempunyai perabot rumah tangga.

Muhammad IbnAl-Munkadir mempunyai hubungan darah dengan Abu Bakar Shiddiq. Hubungan darah keduanya bertemu pada datuk yang bernama Sa’ad Ibn Tamim. Pada suatu hari, hubungan kekeluargaan ini mendorongnya datang ke rumah Aisyah binti Abu Bakar untuk mengadukan keperluannya pada Aisyah dengan harapan barangkali Aisyah dapat membantunya menutup pedihnya kelaparan dan pahitnya kemiskinan.

Setelah ia mengutarakan penderitaannya kepada Aisyah, Aisyah berkata: “Andaikata aku mempunyai wang 10,000 dirham nescaya akan kuberikan kepadamu. Pada hari itu juga, tiba-tiba Muawiyah Ibn Abu Sufyan mengirim wang 10,000 dinar kepada Aisyah. Hingga Aisyah berkata pada dirinya sendiri: Alangkah cepatnya apa yang kamu angan-angankan wahai Aisyah.”

Akhirnya Aisyah segera mengutus seseorang untuk mencari Muhammad Ibn Al-Munkadir, kemudian ia memberikan wang 10.000 dirham dimaksud. Wang itu dipergunakan Muhammad Ibn Al-Munkadir untuk membeli seorang hamba wanita untuk dijadikan isterinya. Maka dia kemudian mengakhiri masa bujangnya dan menempuh hidup baru sehingga Allah memberi kurnia kepadanya 3 anak. Ketiganya bernama: Muhammad, Abu Bakar dan Umar. Ia memberi nama mereka seperti nama Rasulullah dan dua sahabat baginda.

Pada suatu hari, salah seorang tetangga Muhammad Ibn Al-Munkadir menderita sakit keras. Setiap malam si sakit itu tidak boleh tidur dan menjerit-jerit kerana kesakitan. Sementara itu Muhammad juga mengeraskan suaranya dalam memanjatkan syukur kepada Allah. Ketika ia ditanya mengenai hal itu, ia menjawab: “Tetanggaku yang sakit itu mengeraskan suaranya kerana sakit, sedangkan aku mengeraskan suara kerana mendapat nikmat.”

Pada suatu malam, Muhammad solat dan menangis sangat lama sehingga keluarganya merasa cemas. Mereka bertanya kepadanya mengapa ia menangis? Tetapi ia tidak menjawab pertanyaan itu bahkan terus menangis sehingga mereka menyangka ia sedang mendapat suatu musibah. Maka mereka memanggil seorang sahabatnya yang bernama Abu Hazim. Mereka memberitahukan pada Abu Hazim tentang masalahnya.

Maka Abu Hazim datang kepadanya dan bertanya, Apa yang menyebabkan ia menangis, sebab keluarganya mencemaskan dirinya. Ia menjawab bahawasanya ia merasa takut setelah membaca Al-Quran yang ertinya: “Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan.” Mendengar hal itu Abu Hazim ikut menangis bersamanya sehingga keluarganya menegur Abu Hazim mengapa ia menangis padahal ia dipanggil mereka untuk menenteramkan hatinya. Maka Abu Hazim memberitahu mereka tentang sesuatu yang menyebabkan mereka menangis.

Muhammad Ibn Al-Munkadir berkata: “Sesungguhnya Allah selalu menjaga orang mukmin dalam anaknya, cucunya dalam rumahnya, dan rumah yang ada di sekitarnya. Mereka sentiasa dalam lindungan Allah selagi mereka masih di tengah mereka.” Muhammad tidak pernah melihat jenazah orang mukmin melainkan ia ikut menyembahyangkannya, meskipun orang yang meninggal itu orang jahat.

Pada suatu hari ia ditanya, “Mengapa kamu mahu solat atas jenazah si fulan?” Jawabnya, “Kerana aku malu kepada Allah jika aku melihat diriku, bahawa rahmat-Nya tidak sampai pada salah seorang dari hamba-Nya.”
Di rumah yang selalu dinaungi ketakwaan, dihiasi sikap wara’ dan disinari cahaya Al-Quran, di situlah anak-anak Muhammad Al-Munkadir berkembang. Oleh kerana itu mereka pun seperti bapanya, baik dalam segi keimanan, tingkah laku mahupun ketakwaan mereka kepada Allah, hingga rumah mereka berubah menjadi tempat ibadah.

Di dalam rumah itu mereka membaca Al-Quran dan mempelajari ilmu pengetahuan. Umar Ibn Muhammad Al-Munkadir tidak pernah tidur pada malam hari dan ia banyak menangis kerana takut kepada Allah. Ketika ibunya merasa cemas padanya, maka ibunya meminta bantuan saudaranya Muhammad Ibn Muhammad Al-Munkadir, ia berkata: “Sungguh aku sangat kasihan kepada saudaramu Muhammad kerana apa yang dilakukannya, jika kamu yang menasihatinya dalam hal ini, barangkali ia akan kasihan pada dirinya sendiri.”

Maka Muhammad berbicara empat mata dengan Umar, saudaranya, ia berkata pada Umar. “Sungguh apa yang kamu lakukan itu membuatku sedih kerana memikirkan keadaanmu.” Jawab Umar. “Sungguh, bila malam tiba aku merasa takut, kerana itu aku membaca Al-Quran, dalam membaca Al-Quran aku mendapat kenikmatan yang tidak dapat dibandingkan dengan dunia seisinya. Adapun yang menyebabkan aku menangis, kerana aku takut Allah tidak menerima amalku. Demikian itu, kerana aku telah mendengar sebuah hadith Rasulullah SAW yang dimaksudnya begini. “Sungguh ada seseorang yang selalu mengerjakan amalan ahli syurga sehingga jarak antara ia dan syurga tinggal satu dzira’ (lengan), kerana takdir telah mencatat ia sebagai ahli neraka, maka tiba-tiba ia melakukan amalan ahli neraka hingga ia masuk neraka.”

Setelah itu, Umar diam sejenak, kemudian ia berkata lagi: “Wahai Muhammad, tidakkah kamu tahu, bahawa ayah kita juga sering menangis kerana takut kepada Allah hingga kedua matanya buta? Sungguh aku akan menghabiskan hidupku hanya untuk beribadah kepada Allah dan mengabdi kepada-Nya. Wahai saudaraku, orang-orang yang dahulu beriman berkata: “Di antara tanda-tanda diterimanya suatu amalan ialah, bila air matamu keluar sedangkan kamu tidak merasa. Dan tiada yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.”

Demikian itulah kehidupan Muhammad Ibnu Al-Munkadir dan anak-anaknya. Suatu keluarga mukmin yang selalu mengingat Allah setiap saat. Masing-masing selalu menghisab dirinya dalam setiap tingkah lakunya. Semoga keluarga Muhammad termasuk keluarga yang bahagia pada hari kiamat dan termasuk keluarga yang dinaungi Allah pada hari di mana tiada naungan kecuali naungan-Nya.

Menjelang hari wafatnya, wajah Muhammad Ibnu Al-Munkadir tampak gelisah. Ketika ia ditanya, “Mengapa kamu kelihatan gelisah?” Jawabnya: “Aku takut pada ayat Al-Quran yang berbunyi: “Dan jelaslah azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan. Aku takut aku akan melihat siksa Allah yang tidak pernah aku perkirakan sebelumnya.”

Salah seorang yang duduk di sampingnya di saat ia hampir meninggal dunia berkata padanya: “Wahai Muhammad, aku melihat sepertinya ajalmu telah dekat.” Tetapi Muhammad masih kelihatan tenang hingga tiba-tiba sahabatnya melihat wajah Muhammad bersinar seperti bulan. Maka Muhammad Ibnu Al-Munkadir berkata pada sahabatnya: “Andaikan kamu melihat tempatku nanti, nescaya kamu akan senang.” Kemudian ia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Peristiwa itu terjadi di tahun 131 H.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Insan yang Solat 1,000 Rakaat Sehari

Siang dan malam tiada yang dilakukan kecuali hanya rukuk dan sujud kepada Allah. Setiap sehari semalam ia solat tidak kurang dari 1,000 rakaat. Dirinya hanya untuk beribadah kepada Allah. Ia selalu berusaha agar dirinya setingkat dengan para malaikat yang sentiasa bertasbih siang dan malam yang tidak pernah lupa berzikir kepada Allah walau sesaat pun. Setiap hari ia hanya makan beberapa suap saja, sekadar ia dapat hidup; kerana itu badannya sangat kurus. Tetapi dalam badan yang kurus itu terdapat kekuatan rohani yang mengagumkan yang menyebabkan ia dapat melaksanakan solat yang ia tekankan atas dirinya.

Ia hidup membujang; meskipun khalifah Muawiyah Ibnu Sufyan telah menawarkan padanya untuk melamar wanita yang ia senangi; dan mas kahwinnya akan diambilkan dari Baitul Mal, tapi Amir Ibnu Abdullah hanya ingin mengabdikan dirinya kepada Allah, ia bertekad tidak akan ada sesuatu yang dapat melalaikannya dari beribadah kepada Allah.

Ia adalah seorang tabi’in yang mencapai puncak zuhud. Ia berkata: “Kenikmatan dunia itu ada empat, harta, wanita, tidur dan makanan. Adapun harta dan makan, aku tidak dapat meninggalkannya. Tetapi demi Allah, dengan tidur dan makan aku memeras tenagaku.”

Keperluannya pada tidur dan makan menyerupai keperluannya pada solat malam dan puasa di siang harinya. Setiap syaitan berusaha mendekati tempat sujudnya, maka ia mencium bau syaitan yang busuk; dan jika ia mendapatkan bau syaitan, maka ia menyingkirkan dengan tangan dan berkata: “Andaikan bukan kerana bau busukmu, nescaya aku sujud di atasmu.”

Pada suatu ketika syaitan datang padanya dengan menjelma menjadi ular, ketika ia menyingkirkannya dengan tangan, syaitan berkata: “Apakah kamu tidak takut digigit ular?” Jawabnya: “Sungguh aku malu kepada Allah jika aku takut kepada selain Dia.”

Amir terus meneruskan solat sepanjang siang dan malam, hingga betis dan telapak kakinya bengkak. Ia selalu berkata: “Wahai jiwa yang selalu mengajak kepada kejahatan, sesungguhnya kamu diciptakan untuk beribadah. Demi Allah, aku akan memaksamu melakukan ibadah tanpa ada kesempatan untuk tidur. Setiap hari ia pergi ke suatu bukit untuk menjauhkan diri dari keramaian orang, dan mengisinya dengan beribadah di sana.

Pada suatu hari, ia keluar rumah dan terus berjalan hingga sampai di lembah “Buas,” dinamakan lembah buas kerana di situ banyak terdapat binatang buas. Tiada seorang pun yang berani memasuki lembah itu kecuali orang-orang sufi yang berhati tulus, yang hati dan jiwa mereka hanya takut kepada Allah, mereka tidak takut pada apa pun kecuali Allah; meskipun binatang buas atau ular berbisa.

Ketika Amir menuruni lembah itu, ia dapatkan di lembah itu ada ahli sufi lain seperti dirinya, ia bernama “Humamah” solat di suatu sudut. Keduanya berada di lembah selama empat puluh hari tanpa saling berbicara, kerana masing-masing sedang tekun beribadah dan solat.

Suatu ketika Amir Ibnu Abdullah ingin mengenal orang yang tinggal di lembah itu dan giat dalam beribadah, maka ia datang pada orang itu dan bertanya: “Siapakah kamu, hai hamba Allah?” Orang itu berkata: “Tinggalkan aku.” Kata Amir, “Aku bersumpah tidak akan meninggalkan kamu sebelum aku tahu dirimu.” Kata orang itu, “Aku Humamah Al-Habsyi.”

Kata Amir, “Jika kamu Humamah Al-Habsyi seperti yang pernah aku dengar, kamu pasti orang yang paling banyak beribadah di dunia ini. Beritahukan padaku perkara yang paling utama.” Kata Humamah. “.. Andaikan bukan kerana beberapa ketentuan solat yang mengharuskan berdiri dan sujud, nescaya aku lebih senang menghabiskan umurku untuk terus rukuk dan membiarkan wajahku bersujud kepada Allah hingga aku bertemu dengan-Nya. Akan tetapi solat-solat fardhu tidak membolehkan aku melakukan itu. Dan siapakah kamu?” Jawab Amir. “Aku Amir Ibnu Abdu Qais.”

Kata Humamah, “Jika kamu Amir seperti yang pernah aku dengar, pasti kamu seorang yang paling banyak beribadah. Maka beritahukan padaku perkara yang paling utama.” Kata Amir. “Sungguh rasa takutku kepada Allah membuat aku tidak takut kepada apa pun kecuali pada-Nya.”

Di saat Amir dan Humamah sedang berbicara tentang ibadah dan taat kepada Allah, tiba-tiba datang seekor binatang buas di belakang Amir dan meloncat ke atasnya, maka Amir menyapu binatang itu dengan tenang sambil membaca ayat Al-Quran, “Dzaalika yaumu majmuu’ul lahunnasu wa dzaalika yaumun masyhud.” “Hari kiamat itu adalah hari yang mana manusia dikumpulkan untuk (menghadap)Nya, dan hari itu adalah hari yang disaksikan (oleh semua makhluk).”

Tiba-tiba binatang buas itu duduk mengibaskan ekornya seperti kucing yang jinak. Ketika Humamah menyaksikan hal itu, ia bertanya pada Amir: “Demi Allah, wahai Amir, bagaimana kamu boleh berbuat demikian?” Jawab Amir: “Bukankah sudah kukatakan padamu, sungguh aku malu kepada Allah jika aku takut selain Dia.”

Ia adalah seorang ahli zuhud, bujangan yang mempunyai rumah. Ia mempunyai saudara perempuan wanita yang bernama Ubadah yang setiap hari membuatkannya roti dan mengirimkan roti itu kepadanya. Tapi setiap ia menerima kiriman roti, ia segera keluar mengundang anak-anak yatim untuk makan roti tersebut. Ia berkata pada saudara sepupunya: “Wahai Ubadah, sabarlah atas apa yang menimpamu di dunia ini dengan membaca Al-Quran, kerana barangsiapa yang tidak senang membaca Al-Quran, maka ia akan meninggalkan dunia dalam keadaan menyesal.”

Pada hari-hari tertentu, Amir Ibnu Abdu Qais mengadakan majlis di masjid. Di antara kata yang pernah disampaikan kepada majlisnya; Aku pernah bertemu dengan beberapa sahabat Rasulullah dan bergaul dengan mereka; mereka memberitahu aku, bahawasanya pada hari kiamat, orang yang paling suci dari dosa ialah orang yang paling memperhitungkan dirinya dalam setiap langkahnya; orang yang paling senang di dunia, akan menjadi orang yang paling sedih di hari kiamat; dan orang yang paling banyak tertawa di dunia, ia akan menjadi orang yang paling banyak menangis di hari kiamat.”

Walaupun Amir seorang yang zuhud, ia tidak membiarkan seseorang yang berbuat zalim, meskipun orang yang dizalimi itu bukan orang Islam. Pada suatu hari, ia menyaksikan orang kafir dzimmi ditarik oleh beberapa orang yang menjadi kaki tangan penguasa Basrah. Orang dzimmi itu minta tolong padanya, maka ia melepaskannya dari seksaan mereka dan berkata kepada mereka. “Jangan menyeksa seorang dzimmi yang telah dijamin oleh Rasulullah SAW selagi aku masih hidup.” Setelah gabenor Basrah mengetahui apa yang diperbuat oleh Amir, maka ia memerintahkan supaya Amir dibuang ke Syam, agar Amir tidak akan kembali padanya atau melakukan sesuatu yang bukan haknya.

Tatkala Amir akan berangkat ke Syam, ia mengumpulkan kawannya untuk mengantarkan ke perbatasan kota, ia berkata pada mereka: “Aku hendak berdoa kepada Allah, maka ucapkanlah ‘amin’.” Kawan-kawannya mengira akan berdoa kerana pembuangannya. Mereka berkata: “Sebenarnya kami telah menginginkan kamu berdoa.” Maka ia mengangkat kedua tangan dan berdoa: “Ya Allah, siapa yang memfitnah aku, mendustakan aku, mengeluarkan aku dari kota ini dan memisahkan aku dari kawan-kawanku; Ya Allah, perbanyaklah harta dan anaknya, sihatkanlah badannya dan panjangkanlah umurnya.”

Demikian itulah sifat Amir Ibnu Qais, ia mendoakan orang-orang yang telah berbuat zalim padanya dan mengusirnya dari Basrah tempat ia tinggal bersama keluarganya dan tempat berguru kepada Abu Musa Al-Asyari agar mereka diberi harta dan anak yang banyak, disihatkan badannya dan dipanjangkan umurnya.

Amir meninggal dunia dalam keadaan tidak memiliki apa-apa sebagaimana ia lahir di dunia dengan tangan kosong. Ia hanya membawa bekal amal soleh yang menghantarkan ia sampai mencapai tingkat orang-orang soleh yang berbakti kepada Allah.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Insan Dermawan dan Menegakkan Jihad

Bila disebutkan nama orang-orang soleh, maka nama pahlawan yang satu ini pasti berada pada deretan pertama; demikian itu kerana amalan kebaikannya, keteguhan akidahnya, kedermawanannya yang sempurna, kecemerlangan fikirannya dan keberaniannya yang luar biasa. Ia adalah salah satu sahabat Rasulullah yang terkemuka, dermawan dan berfikiran tajam. Dalam berbagai medan peperangan la banyak mempunyai idea dan pandai bersiasat; dalam hal kedermawanan, ia seorang yang banyak memberi.

Dulu ayahnya, Sa’ad Ibnu Ubadah, menyerahkannya kepada Rasulullah SAW untuk menjadi pembantu baginda SAW. Kerana dekatnya ia dengan Rasulullah SAW, maka ia memperoleh kehormatan dan mendapat kemuliaan; bahkan ia sering juga menyaksikan jika Rasulullah SAW saat menerima wahyu dari malaikat Jibril. Hati dan jiwa Qais dipenuhi rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia berkembang di bawah asuhan ayahnya yang berjiwa besar, kedua tangannya terbuka untuk menghulurkan kebaikan, jiwanya sentiasa mencurahkan kebajikan dan tabiatnya diharumi oleh kemurahan hati.

Dalam kedermawanan ia bagai angin yang bertiup, dalam memimpin pasukan ia bagai tombak yang menderu, dalam memberi ia bagai gunung yang menurunkan hujan, di medan peperangan ia bagai angin kencang. Ia rela mengorbankan jiwanya seperti ia rela mengorbankan hartanya. Kerana itu sejarah memberinya tempat dan kedudukan terhormat serta menulis namanya dengan tinta emas.

Qais Ibnu Sa’ad dari keturunan keluarga mukmin. Ayahnya adalah salah seorang sahabat yang berbaiat pada malam Aqabah, setiap malam ia memberi makan 80 orang ahlu shuffah dan mengirim roti dan daging ke rumah Rasulullah SAW. Qais berkembang di lingkungan kedermawanan dan tumbuh dengan sifat-sifat itu. Awal kedermawanannya mulai nampak sejak tahun 8 H. iaitu ketika ia bersama pasukan Abu Ubadah Ibn Al-Jarrah menuju ke daerah Hayy di Juhainah yang terletak di hampiran laut. Tujuan pasukan ini hendak mengintai kafilah Quraisy. Pasukan muslimin itu tidak membawa banyak bekalan, kecuali hanya cukup dimakan beberapa hari saja.

Setelah bekal habis, Abu Ubadah masih mempunyai satu karung kurma dari Rasulullah; pasukan yang berjumlah 300 orang, setiap orang diberi satu kurma setiap hari; dan ketika persediaan kurma tinggal sedikit, maka setiap sebuah kurma untuk dua orang hingga mereka makan daun-daunan untuk menahan perut mereka yang sangat lapar.
Akhirnya Qais berdiri dan mengumumkan: “Barangsiapa yang mahu menjual padaku seekor unta dengan harga dan syarat bahawa unta itu diberikan di sini, maka aku akan menyerahkan kurma itu di Madinah nanti.” Ketika Umar mendengar itu, ia berkata: “Aku kagum dengan anak ini.” Ia tidak memiliki kekayaan apa-apa tetapi ia berani berhutang harta orang lain.”

Setelah Qais mengulangi pengumumannya, seorang dari penduduk Juhainah berkata: “Siapakah kamu? Demi Allah, jika aku kenal denganmu aku akan memberi apa yang kamu perlukan.” Jawab Qais: “Namaku Qais Ibn Sa’ad Ibn Ubadah.” Orang itu berkata: “Sungguh orang tuamu adalah orang yang terpandang dan salah satu dari tokoh bangsa Arab, kerana itu aku mahu menghutangi kamu 5 ekor unta dengan syarat seekor harga unta itu dibayar dengan kurma seharga 2 punggung unta. Selain itu aku ingin seorang saksi.”

Kata Qais. “Carilah saksi siapa saja yang kamu suka.” Maka orang itu meminta Umar Ibn Khatthab untuk menjadi saksi atas hutangnya. Lelaki penduduk Al-Juhani tidak mencari saksi lain, ia berkata: “Tidak mungkin pemuda seperti ini akan ditelantarkan oleh orang tuanya, apalagi ia seorang yang terhormat di kalangan bangsa Arab. Kemudian orang itu membawa 5 ekor unta kepada Qais dan diserahkannya kepada Qais. Setiap hari disembelih seekor sehingga tinggal seekor.

Pada hari kelima, Abu Ubadah melarang Qais menyembelih unta yang tinggal seekor itu. Ia berkata: “Wahai Qais, apakah kamu ingin menghancurkan jaminanmu, sedangkan kamu tidak memiliki harta?” Qais berkata: “Wahai Abu Ubadah, mungkinkah orang tuaku akan menelantarkanku dalam membayar hutang, sementara itu ia sering membayar hutang-hutang orang lain, menanggung segalanya dan ia suka memberi makan orang-orang lapar. Aku berbuat ini untuk para Mujahidin fi sabilillah?”

Setelah tugas pasukan selesai dan kembali ke Madinah, Sa’ad ayah Qais telah bertemu dengan anaknya dan bertanya kepadanya tentang apa saja yang dihadapi pasukan Islam selama bertugas. Maka Qais bercerita tentang kelaparan yang menimpa mereka, juga tentang unta-unta yang dihutangnya untuk memberi makan para pejuang. Ayahnya berkata: “Aku memberimu empat bidang kebun kurma, maka bangkitlah kamu dan kumpulkan buah kurmanya, kemudian berikan kepada orang Al-Juhani yang menghutangimu. Demi Allah, andaikata ketika bertugas kamu tidak berbuat demikian, nescaya aku akan marah kepadamu.”

Qais segera pergi ke kebun dan mengumpulkan kurma seharga pembelian unta-unta tersebut. Ketika Qais menyerahkan kurma itu kepada orang-orang Juhani, lelaki itu berkata: “Sungguh tepat dugaanku, ayahmu tidak akan menelantarkanmu.” Demikian itu keluhuran budi yang telah kita lihat dari peribadi Qais. Maka ketika Rasulullah SAW mendengar apa yang telah dilakukan Qais, baginda bersabda: “Sungguh ia adalah anak keluarga dermawan.”

Adapun nasib pasukan Ubadah, setelah unta hanya tinggal satu, tiba-tiba Allah mendamparkan seekor ikan Anbar yang sangat besar di laut. Para pejuang memakan daging dan lemak ikan itu selama 20 hari sehingga kesihatan mereka pulih, badan mereka telah kembali seperti semula dan rasa letih menjadi hilang.

Qais adalah contoh tokoh dalam jihad dan kedermawanan. Begitu murah hati, sehingga jika ada seseorang mengembalikan hutangnya, ia memberikannya lagi kepada orang itu.

Pada suatu hari, seorang muslim datang kepadanya untuk meminjam wang 30,000 dirham untuk membeli sebuah rumah. Ia meminjami wang yang diperlukan itu. Ketika lelaki itu hendak menyerahkan wang pembelian rumah itu, ternyata pemilik rumah menaikkan harganya. Maka lelaki itu kembali kepada Qais dan mengembalikan wang pinjamannya, tetapi Qais tidak mahu menerimanya dan berkata: “Kami tidak akan menarik kembali wang yang telah kami berikan.”

Pada suatu ketika, ada seseorang wanita miskin datang kepadanya dan berkata: “Aku tidak mempunyai apa-apa, sehingga seekor tikus pun tidak ada yang masuk ke rumah kami kerana tidak ada makanan.” Maka Qais berkata: “Demi Allah, nanti rumahmu akan didatangi oleh tikus yang banyak.” Kemudian Qais menghantarkan makanan yang banyak ke rumah wanita itu.

Sebelum meninggal dunia, ayah Qais, Sa’ad Ibn Ubadah telah membagi hartanya kepada anak-anaknya, tetapi kemudian isterinya melahirkan anak lagi setelah Sa’ad meninggal dunia. Maka Abu Bakar dan Umar datang kepada Qais dan bertanya apakah boleh pembahagian yang dahulu telah ditentukan ayahnya itu dibatalkan supaya anak yang baru lahir tersebut memperoleh haknya? Qais berkata kepada mereka bahawa ia tidak akan merubah apa yang telah ditentukan ayahnya, dan ia rela memberikan bahagiannya kepada saudaranya yang baru lahir.

Qais sangat mencintai keluarga Rasulullah dan ia berpendapat bahawa mereka lebih berhak menduduki kerusi kekhalifahan daripada Bani Umaiyah. Kerana itu, ia berperang bersama Ali dalam perang Jamal, perang Shiffin dan perang Nahrawan. Ketika Ali terbunuh, Qais bersama 5,000 orang mencukur rambutnya sebagai tanda duka atas kematian Ali; tetapi tiba-tiba mereka dikejutkan oleh Hasan Ibn Ali yang bersedia membaiat Muawiyah

Maka Qais berkata kepada kawan-kawannya, “Jika kalian mahu, aku akan memberimu perlindungan.” Jawab mereka. “Berilah kami perlindungan.” Maka Qais memberi perlindungan kepada mereka, kemudian ia kembali ke Madinah dan menekuni ibadah sampai ia jatuh sakit yang menyebabkannya meninggal dunia.

Ketika ia sakit, kawannya ramai yang menghindar bertemu dengannya, sampai ia bertanya: “Mengapa orang-orang tidak ada yang datang menjengukku?” Ketika diberitahu bahawa mereka malu datang kepadanya kerana mereka masih mempunyai hutang kepadanya, maka ia menyuruh seseorang mengumumkan: “Barangsiapa yang mempunyai hutang kepada Qais Ibn Sa’ad Ibn Ubadah, maka ia dibebaskan dari hutang itu.” Dalam sekejap saja orang ramai datang kepadanya, sampai tingkat atas rumah Qais roboh disebabkan ramainya manusia yang menjenguk. Qais meninggal dunia pada tahun 66 H. pada akhir kekhalifahan Muawiyah.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pendakwah, Pejuang & Ulama
Memiliki Karamah Sehingga Mengislamkan Kaumnya


Dalam kehidupan para sahabat, sering membuat orang kehairanan kerana karamah Ilahi yang diberikan kepada mereka untuk menolong mereka dalam menyiarkan agama Allah dan menghapus kejahilan yang membelenggu akal manusia. Di antara para sahabat ada yang diberi karamah dapat menyaksikan malaikat yang sedang memukul pasukan kafir di medan peperangan; seperti Abu Thalhah. Di antara mereka ada yang diberi karamah Allah melihat malaikat yang menjelma menjadi payung di atas rumahnya ketika ia membaca Al-Quran, seperti Usaid Ibnu Al-Hudair.

Di antara mereka ada pula yang diberi karamah Allah, ia dapat menurunkan hujan bila ia menadahkan tangannya ke langit dan berdoa kepada Allah agar hujan diturunkan, maka Allah segera mengabulkan doanya, seperti Al-Abbas bapa saudara Rasulullah SAW.

Di antara mereka ada yang diberi karamah Allah, tongkat boleh berubah menjadi lampu yang menyinari jalannya pada malam yang gelap gelita, seperti Thufail Ad-Dausi. Di antara mereka ada yang mendapat kiriman makanan dari Allah, ketika ia dipenjara kaum musyrikin, di dalam bilik yang tertutup, seperti Khabab Ibnu Al-Arat. Di antara mereka ada pula yang setelah mati syahid jenazahnya dimandikan oleh malaikat seperti Handhalan Ibn Abi Amir.

Beraneka ragam karamah dari Allah yang diberikan kepada para sahabat yang disebutkan sejarah Islam di mana kisah-kisahnya dikuatkan oleh sanad-sanad yang tidak dicampuri oleh keraguan. Karamah Allah yang diberikan kepada Abu Umamah Al-Bahili telah menyebabkan kaumnya tercengang kerana takjub. Maka mereka segera memeluk agama Islam yang didakwahkan Abu Umamah, hati mereka terbuka untuk menerima cahaya Ilahi, meskipun sebelum itu hati mereka terbelenggu oleh ajaran jahiliyah yang berisi kesesatan dan dugaan saja.

Adapun sebab-sebab kaum Abu Umamah masuk Islam adalah kerana pada suatu hari Suday Ibn Ajlan yang biasa dipanggil Abu Umamah datang kepada kaumnya dan mengajak mereka menyembah Allah. Abu Umamah mengisahkan peristiwa yang terjadi ketika ia bersama kaumnya yang menggembala. Ia berkata: “Ketika aku datang kepada kaumku, mereka telah memberi minum kambing-kambing mereka, memerah susunya dan meminumnya.

Ketika mereka melihat kedatanganku, mereka berkata: “Selamat datang wahai Suday Ibn Ajlan, kami mendengar bahawa kamu telah cenderung pada Muhammad.” Jawabku: “Tidak, tetapi aku telah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah telah mengutus aku kepada kalian supaya menunjukkan Islam kepadamu.”

Ketika aku sedang bersama dengan mereka, tiba-tiba mereka menghidangkan bekas yang berisi darah, kemudian mereka berkumpul di sekelilingnya. Mereka berkata kepadaku: “Wahai Suday Ibn Ajlan, kemarilah.” Aku berkata kepada mereka: “Celakalah kalian! Aku datang kepadamu sebagai utusan dari orang yang mengharamkan atas kalian makanan semacam ini kecuali yang disembelih sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah.”

Mereka bertanya: “Bagaimana bunyi firman-Nya?”

Jawabku. “Telah diturunkan ayat Al-Quran yang menerangkan tentang makanan yang diharamkan: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, (haiwan) yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, yang diterkam binatang buas kecuali sempat kamu sembelih, dan (diharamkan bagi) yang disembelih untuk berhala.”
(Al-Maidah: 3)
Kemudian aku mengajak mereka kepada Islam, tetapi mereka menolak, ketika aku kehausan aku berkata kepada mereka: “Berilah aku minuman air, sungguh aku sangat haus.” Mereka berkata: “Tidak, kami akan membiarkan kamu mati kehausan.” Setelah itu aku membungkus kepalaku dengan kain serban kemudian aku tidur di bawah terik matahari yang sangat panas, dan aku biarkan mereka makan darah.

Tiba-tiba dalam tidurku aku melihat seseorang datang kepadaku dengan membawa sebuah bekas yang dibuat dari kaca; aku tidak pernah melihat bekas yang sebaik itu. Di dalamnya ada minuman yang menyegarkan yang tak pernah aku dapatkan di dunia. Aku mengambil bekas itu dan segera meminumnya hingga aku merasa kenyang. Setelah selesai minum, aku bangun. Demi Allah sejak saat itu aku tidak pernah haus sama sekali.

Ketika aku kenyang, salah seorang daripada mereka berkata pada mereka: “Telah datang padamu seorang dari keluarga kamu, mengapa kamu tidak memberinya makan.” Maka mereka datang kepadaku dengan membawa segelas susu; maka aku katakan pada mereka: “Aku tidak perlu lagi minuman ini.” Kemudian aku memperlihatkan perutku yang sudah kenyang pada mereka, sehingga mereka akhirnya masuk Islam.” Mereka meninggalkan berhala-berhala mereka dan masuk Islam. Mereka masuk Islam dengan hati yang rindu pada cahaya Ilahi dan kesucian agama Islam.

Abu Umamah adalah salah satu dari sahabat Rasulullah SAW yang dipilih Islam untuk menyampaikan sinar Islam, ia belajar Islam dari Rasulullah SAW dan ia menjalankan apa yang diajarkan padanya dengan penuh ketaatan dan kesungguhan.

Pada suatu ketika, ia mendengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menjadikan ucapan salam kesejahteraan untuk umat kita dan jaminan bagi ahli Dhimmah kita.” Sejak itu Abu Umamah sentiasa memberi salam kepada setiap yang dijumpainya. Tidaklah ia bertemu dengan seorang muslim baik itu muslim kecil atau besar, melainkan ia mengucapkan: “Assalamu’alaikum.”

Tidak seorang pun yang mendahului ia mengucapkan salam, kecuali hanya sekali saja. Iaitu ketika ada seorang Yahudi bersembunyi di balik pohon, kemudian Yahudi itu keluar dengan secara tiba-tiba dan mengucapkan salam padanya.

Maka Abu Umamah berkata padanya: “Celakalah kamu wahai orang Yahudi, apa yang mendorongmu untuk berbuat demikian?”

Jawab Yahudi itu; “Kamu adalah orang yang banyak mengucapkan salam, dan aku tahu itu lebih utama, maka aku ingin mendapatkan keutamaan itu dengan mengucapkan salam lebih dulu.”

Maka jawab Abu Umamah, “Sesungguhnya salam adalah ajaran akhlak Islam yang diajarkan oleh Rasulullah pada kami.”

Hal lain yang didapatkan oleh Abu Umamah dari Rasulullah adalah perintah untuk berbakti kepada kedua orang tuanya. Pada suatu ketika bonda Abu Umamah sedang sakit, maka baginda menyuruh Abu Umamah supaya tetap mendampingi ibunya hingga meninggal pada saat peperangan berlangsung. Setelah Rasulullah SAW memperoleh kemenangan pada peperangan tersebut dan baginda kembali ke Madinah, maka baginda mendatangi kubur bonda Abu Umamah dan meminta rahmat bagi almarhumah.

Abu Umamah salah seorang yang berbaiat kepada Rasulullah pada baiatur Ridwan yang diikrarkan di bawah pohon, hingga akhirnya kaum musyrikin mengajak berdamai dengan kaum muslimin yang terkenal dengan “Perjanjian al-Hudaibiyah.” Peristiwa itu terjadi pada 6 H. Ketika turun firman Allah dalam Al-Quran surah Al-Fath ayat 18 yang ertinya: “Sungguh Allah telah reda terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepada-Mu di bawah pohon, maka Allah telah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kesenangan yang dekat (waktunya).” Abu Umamah berkata: “Wahai Rasulullah SAW, aku termasuk orang yang berbaiat pada-Nya di bawah pohon itu.”

Rasulullah berkata padanya: “Kamu bahagian dari aku dan aku bahagian dari kamu.”

Abu Umamah sangat haus dengan ilmu pengetahuan; ketika ia mendengar suatu kalimat dari Rasulullah SAW maka ia menghafalkan. Ketika ia ditanya tentang rahsia mengapa ia lebih mengutamakan ilmu daripada berbaiat, ia berkata: “Tatkala Rasulullah SAW ditanya tentang dua orang, yang satu orang ahli ibadah dan yang satu seorang ahli ilmu, mana yang lebih utama dari keduanya? Rasulullah SAW bersabda: “Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah itu, bagaikan keutamaan diriku daripada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.” Kemudian baginda membaca ayat (Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama).

Di antara sifat-sifat yang dimiliki oleh Abu Umamah Al-Bahili ialah sabar ketika ditimpa musibah, tidak pernah mengadukan persoalannya kepada orang lain, mensyukuri nikmat meskipun nikmat itu hanya sedikit. Sifatnya yang penyabar dan banyak bersyukur melapangkan hatinya dalam menghadapi berbagai kesusahan, meskipun kesusahan itu lebih berat dari sebuah gunung. Tapi ia mampu menanggungnya dengan iman yang teguh, kerana ia tahu, bahawa semua itu telah ditakdirkan Allah atas dirinya. Harta kekayaan tidak pernah ada ertinya bagi dirinya, oleh kerana itu ia selalu berpaling dari kesenangan duniawi kerana ia tidak menyukainya. Sekalipun ia tidak pernah mengunjungi para penguasa atau gabenor daerah.

Abu Umamah banyak hafal khutbah-khutbah Rasulullah dan ia senang meriwayatkan khutbah itu dengan nasihatnya yang benar dan terang.

Ia hidup sampai usia lanjut, keadaan badannya telah lemah dan kesihatannya telah menurun, meskipun demikian ia tidak pernah meninggalkan solat berjemaah baik ketika musim dingin atau pada musim panas. Lisannya tidak pernah dikotori perbuatan mengumpat atau mengadu domba. Ia tidak pernah membiarkan sesuatu masuk dalam fikirannya kecuali hanya Allah.

Ia berkisah pada suatu hari, ia meminta Rasulullah agar baginda menyuruhnya melakukan sesuatu amalan yang bermanfaat bagi dirinya di sisi Allah. Maka Rasulullah SAW bersabda padanya: “Hendaklah kamu sentiasa berpuasa, kerana pahala puasa tiada bandingan.” Sejak itu Abu Umamah berserta keluarga dan pelayannya selalu berpuasa. Dan mereka hanya memakan roti kering dan garam, mereka tidak menyalakan api kecuali bila ada tamu.

Abu Umamah belum merasa cukup dengan hanya berpuasa setahun, setelah itu ia datang pada Rasulullah SAW dan berkata pada baginda: “Wahai Rasulullah, engkau telah menyuruhku mengerjakan amalan (puasa), kini aku berharap agar Allah memberi manfaat padaku dengan amalan itu.” Rasulullah SAW bersabda padanya: “Ketahuilah, bahawa kamu tidak akan bersujud pada Allah sekalipun melainkan Allah akan mengangkat darjatmu dengan sujud itu atau Dia akan menghapus dosa-dosamu kerana sujud itu.”

Meskipun Abu Umamah orang yang tidak kaya, tetapi ia seorang dermawan, ia sering memberikan apa saja yang ada padanya. Ia tidak peduli apakah ada sesuatu yang untuk dimakan pada hari ini atau tidak, bahkan ia tidak pernah memberikan roti atau bawang jika tidak ada sesuatu yang lain untuk diberikan. Isterinya meriwayatkan: “Pada suatu hari di rumahnya tidak ada apa pun kecuali hanya wang 3 dinar. Tiba-tiba ada seorang pengemis di depan rumah, maka ia memberinya pengemis 1 dinar. Kemudian datang pula pengemis lain maka ia memberikan satu dinar, dan begitu juga untuk pengemis yang ketiga datang.

Akhirnya aku marah dan berkata padanya: “Kita sudah tidak memiliki apa-apa.” Maka kemudian ia berbaring di atas tempat tidur dan menutup pintu sampai azan Zuhur. Aku datang padanya dan membangunkannya, maka ia pergi ke masjid dalam keadaan berpuasa, sehingga aku kasihan padanya, maka aku meminjam wang untuk membeli makanan untuknya berbuka.

Ketika aku menyiapkan lampu dan makan malam, ia berkata: “Hidangan ini lebih enak daripada yang lain.” Setelah ia baru selesai makan malam, tiba-tiba salah seorang sahabatnya datang dan berkata padanya: “Wahai Abu Umamah, ini wang sejumlah 3,000 dinar sebagai keuntungan pinjaman dari wang yang aku pinjam darimu beberapa tahun yang lalu.” Maka ia menatapkan wajahnya ke langit sambil berbisik: “Wang satu dinar dibalas dengan seribu dinar, alangkah besarnya balasan Zat Tuhan Yang Maha Pemurah.”

Pada tahun 86 H. Abu Umamah meninggal dunia menuju kampung akhirat untuk menikmati kehidupan di hadirat Allah, dengan memperoleh balasan sebagai orang mukmin, ahli ibadah, penyabar dan orang yang bersyukur.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Kesalahannya Dimaafkan Rasulullah Kerana Ia Perajurit Badar

Di Makkah ia tidak mempunyai kedudukan yang tinggi kerana ia bukan dari keluarga bangsawan, juga bukan dari keluarga pembesar, bukan hartawan dan bukan pedagang. Tujuan hidupnya yang utama adalah mencintai Allah dan Rasul-Nya, dan itu telah memberinya kemuliaan dan kehormatan. Di antara penghormatan Rasulullah SAW kepada Hatib iaitu baginda SAW telah mengutus ia agar datang kepada Al-Muqauqis, seorang pembesar suku Qibti dari Mesir, untuk menyampaikan surat Rasulullah yang isinya menyeru pada Al-Muqauqis ke dalam Islam.

Setelah Al-Muqauqis membaca surat baginda tersebut dengan cermat, ia memandang Hatib dan bertanya padanya: “Bukankah sahabatmu itu seorang Nabi?” Jawab Hatib. “Benar, baginda adalah utusan Allah.” Mendengar jawapan Hatib, Al-Muqauqis mengirimkan beberapa hadiah kepada Rasulullah SAW di antara hadiah itu seorang hamba wanita bernama Mariyah Al-Qibtiyah.

Hatib Ibnu Balta’ah adalah seorang penduduk Yaman, ia adalah sahabat kepada Zubair Ibnu Awwam. Ketika ia berhijrah ke Madinah, ia meninggalkan anak dan saudara-saudaranya. Pada masa jahiliyah, ia seorang penunggang kuda yang berani dan penyair ulung. Bait-bait syairnya sering disebarkan oleh para perawi dan dilagukan para kafilah dagang Arab. Ia masuk Islam ketika ia masih muda belia. Dan ia sangat tekun mempelajari syariat Islam dan ajarannya ketika ia masih muda. Selain itu pada perang Badar, ia turut bergabung dalam jihad fisabilillah; dan ia juga ikut bersama Rasulullah pergi ke Al-Hudaibiyah dan menyaksikan “Baiatur Ridwan.”

Pada tahun 8 H. di saat Rasulullah SAW sedang sibuk mempersiapkan penaklukan kota Makkah sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah, ketika itu fikiran Hatib gundah gulana. Ia sedih memikirkan anak-anaknya dan keluarganya yang tidak aman daripada penganiayaan kaum Quraisy, kerana di Makkah mereka tidak mempunyai pelindung yang dapat melindungi dan menjaga mereka daripada musuh-musuh Islam. Bisikan-bisikan syaitan selalu menggoda fikirannya hingga ia merasa kalut, dan fikirannya buntu. Maka ia memutuskan akan mendekati kaum musyrikin Quraisy dengan memberitahu pada mereka mengenai rahsia-rahsia kekuatan senjata yang telah dipersiapkan Rasulullah untuk penaklukan besar atas kota Makkah.

Tidak pernah terfikirkan olehnya, bahawa perbuatan itu merupakan pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan bahawa rahsia askar adalah amanat yang ada di bahu para perajurit. Bila salah satu rahsia sampai dibocorkan, maka perajurit tersebut akan mendapat amarah dari Allah, malaikat-Nya dan semua kaum muslimin, kerana ia membocorkan rahsia kekuatan askar yang akan menghadapkan pasukannya pada bahaya dan sekaligus menghadapkan tanah air pada kebinasaan.

Itulah langkah yang terburuk dalam kehidupan Hatib Ibnu Balta’ah. Ia bertekad untuk memberitahu kaum Quraisy tentang askar Islam yang telah dipersiapkan Rasulullah SAW. Cahaya iman telah padam di hatinya. Ia tidak lagi memikirkan keagungan akidah. Maka dengan tangan gementar ia mulai menulis surat kepada pembesar-pembesar Quraisy, membuka rahsia askar Islam yang dipersiapkan secara matang oleh Rasulullah ke Makkah, agar mereka mempunyai gambaran atas keadaan kaum muslimin Madinah.

Surat itu diserahkan kepada seorang wanita. Ia menyuruh wanita tersebut agar merahsiakan surat itu di sanggul rambutnya sehingga jika ada orang yang menghadang kenderaannya, maka surat itu tidak akan diketahui. Ia berjanji pada wanita itu akan memberi hadiah yang mahal bila surat itu telah sampai di tangan pembesar Quraisy.
Baru saja wanita tersebut meninggalkan Madinah, malaikat Jibril segera memberitahu Rasulullah tentang apa yang telah dilakukan Hatib. Maka Rasulullah cepat-cepat memanggil Ali Ibn Abi Thalib dan Zubair Ibn Awwam. Baginda berkata: “Kejarlah wanita itu, ia memberitahu surat Hatib untuk para pembesar Quraisy yang isinya menerangkan mereka tentang persiapan yang telah kita himpun dalam menaklukkan mereka.”

Ali dan Zubair bergegas keluar mencari wanita itu dan keduanya menemukan wanita tersebut di daerah Raudhah Khah, 7 batu dari Madinah. Ketika Ali ra. menyuruh wanita itu supaya mengeluarkan surat Hatib, wanita itu tidak mengaku kalau ia sedang membawa surat. Maka Ali pun berdiri dan memeriksa kenderaannya, tetapi ia tidak menemukan surat itu.

Akhirnya dengan marah Ali memandang wanita itu dan berkata: “Aku bersumpah kepada Allah bahawa Rasulullah tidak pernah berdusta. Sekarang kamu harus pilih apakah kamu mahu menyerahkan surat itu kepadaku, ataukah aku harus menelanjangi kamu!” Setelah Ali bersikap kasar dan memberi dua pilihan, akhirnya wanita itu berkata: “Berpalinglah.” Setelah itu Ali membalikkan badan kemudian wanita itu membuka ikatan rambutnya dan mengeluarkan surat darinya, lalu menyerahkan surat itu kepada Ali.

Ali dan Zubair segera kembali kepada Rasulullah dengan membawa surat Hatib. Rasulullah menghadirkan Hatib Ibn Abu Balta’ah dan bertanya kepadanya, “Wahai Hatib, apa yang mendorong kamu berbuat demikian?” Maka oleh Hatib dijawab dengan nada terputus-putus: “Wahai Rasulullah, janganlah tergesa-gesa menghukum diriku. Semua itu kulakukan kerana aku bukan dari golongan Quraisy, di Makkah aku masih mempunyai sanak saudara.
Maka aku ingin kaum Quraisy menjaga keluargaku di Makkah. Dan sungguh, itu aku lakukan bukan kerana aku telah murtad dari Islam, dan bukan pula aku rela kepada kekufuran sesudah iman.”

Rasulullah memandang semua sahabat yang hadir dengan wajah bersinar, dan baginda berkata kepada mereka: “Bagaimana pun juga, ia telah berkata jujur.”

Suasana majlis menjadi hening sejenak, tiba-tiba Umar berkata: “Wahai Rasulullah, izinkan aku memenggal leher orang munafik ini.”

Umar berpandangan bahawa membocorkan rahsia-rahsia askar Islam merupakan pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya, maka balasannya adalah harus dibunuh. Orang yang mengadakan hubungan dengan musuh, maka balasannya adalah dijatuhi hukuman mati.

Sementara itu Rasulullah telah memaafkan Hatib kerana ia telah mengakui dosanya. Selain itu baginda mengingat perjuangan Hatib di masa lalu kerana ia berjuang di medan perang Badar, sehingga banyak pasukan musyrikin yang mati di bawah tebasan pedangnya. Ia berani menghadapi bahaya dengan menerjah barisan musuh. Rasulullah juga mengingat posisi Hatib pada hari Bai’atur Ridwan di bawah sebuah pohon yang diberkahi, di mana pada saat itu para malaikat menyaksikan orang-orang mukmin yang sedang mengulurkan tangan mereka untuk berbaiat kepada Rasulullah.

Atas tiga dasar itu, maka baginda memandang Umar dan berkata: “Wahai Umar bagaimana pendapatmu, jika Allah telah memberi kelonggaran pada pejuang Badar?” Allah berfirman dalam Al-Ouran surah Al-Mumtahanah ayat 1 yang ertinya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan musuh-Ku dan musuhmu sebagai teman-teman setia, (sehingga) kamu menyampaikan kepada mereka (berita-berita) Muhammad, dikeranakan rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasulullah dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku. Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Barangsiapa di antara kamu yang melakukan, maka sesungguhnya ia telah tersesat dari jalan lurus.” Hal lain yang menguatkan diterimanya taubat Hatib; pada suatu hari salah seorang pelayan Hatib datang kepada Rasulullah untuk mengadukan perlakuan Hatib kepadanya, kemudian pelayan itu berkata: “Wahai Rasulullah, kelak sungguh Hatib akan masuk neraka.” Tetapi Rasulullah berkata: “Tidak, kerana ia ikut berperang pada peristiwa Badar dan juga ikut dalam perjanjian Hudaibiyah.”

Sejak saat itu, Hatib menangis menyesali perbuatannya. Siang dan malam dilakukan dengan selalu memohon ampunan kepada Allah atas kesesatannya hingga ia meninggal dunia pada usia 53 tahun tepatnya pada tahun 30 H. iaitu pada masa pemerintahan Usman Ibn Affan. Ia menghadapi kematian dengan jiwa yang redha kerana ia tahu bahawa Rasulullah telah memaafkannya meskipun ia telah mengkhianati hak Allah, Rasulullah dan kaum mukminin.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Ia Mengetahui Sifat Rasulullah dalam Kitab Taurat

Ketika Abdullah Ibn Salam berhadapan dengan Rasulullah, hati dan fikirannya langsung terbuka menyambut seruan Islam. Ia beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Abdullah Ibn Salam adalah keturunan dari Yusuf Ibn Ya’qub. Pada masa jahiliyah ia bernama Al-Husein. Tetapi setelah Islam, Rasulullah menggantinya dengan nama Abdullah.

Dalam kitab Taurat, ia telah membaca sifat-sifat Rasulullah dan terus mengingatnya dalam fikiran. Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, dan ketika Islam memancarkan sinarnya di rumah-rumah kaum Ansar dan kaum Muhajirin, maka penduduk Madinah yang ramai masuk Islam, di antara mereka adalah Abdullah Ibn Salam. Ia datang pada Rasulullah untuk menyampaikan maksud hatinya. Selain itu ia ingin melihat sifat-sifat baginda.

Baru saja ia duduk di hadapan Rasulullah, ia dapat melihat sifat baginda yang sempurna sebagaimana yang telah diberitakan dalam kitab suci Taurat. Maka tanpa ragu-ragu, ia langsung mengucapkan dua kalimah syahadat. Masuknya Abdullah Ibn Salam ke dalam Islam merupakan awal terbukanya topeng rahsia kejahatan Yahudi terhadap Rasulullah dan Islam.

Abdullah Ibn Salam lebih mengetahui sifat-sifat kaum Yahudi yang pengkhianat, penipu dan pembohong. Abdullah hendak memberitahu Rasulullah mengenai akhlak kaum Yahudi, mereka adalah kaum yang menyimpang dari kebenaran, suka berdebat di atas dasar kebatilan, suka menentang seruan para Rasul. Hati mereka selalu memendam tipu daya dan lisan mereka selalu mengatakan kebohongan. Abdulllah berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kaum Yahudi itu biasa berdusta, maka jika mereka mengetahui aku masuk Islam, nescaya mereka akan memburuk-burukkan aku di hadapanmu. Kerana itu, utuslah seseorang agar memanggil mereka kemudian tanyakan mereka tentang diriku.”

Rasulullah mengutus seseorang sahabat agar mengundang orang-orang Yaduhi. Ketika beberapa orang Yahudi datang, Abdullah Ibn Salam bersembunyi di ruang lain. Kemudian Rasulullah bertanya kepada mereka: “Wahai kaum Yahudi, bagaimana pendapat kalian tentang Abdullah Ibn Salam?” Jawab mereka: “Ia orang terbaik di kalangan kami dan ia anak orang terbaik. Ia ulama kami dan anak ulama kami. Ia orang terpandai di kalangan kami dan ia anak orang terpandai.”

Kemudian Rasulullah berkata lagi: “Bagaimana pendapat kalian jika ia masuk Islam, apakah kamu akan mengikuti ia masuk Islam?” Jawab mereka dengan keras: “Semoga Allah melindungi ia dari agama Islam.”

Sejenak setelah suasana menjadi hening, tiba-tiba Abdullah Ibn Salam keluar sambil membaca dua kalimah syahadat. Orang-orang Yahudi saling memandang satu dengan yang lain, kemudian mereka berkata: “Abdullah itu orang jahat dan ia anak orang jahat. Ia orang bodoh dan anak orang bodoh.” Abdullah berkata kepada Rasulullah: “Inilah yang aku khuatirkan dari mereka.”

Posisi orang Yahudi di hadapan Rasulullah bagaikan telur di hujung tanduk kerana dalam satu majlis mereka telah mengatakan dua pendapat. Apa pun yang dikatakan mereka tentang diri Abdullah Ibn Salam, setelah Abdullah mengucapkan dua kalimat syahadat di hadapan mereka, semua itu tidak menggoyahkan iman Abdullah, bahkan ia semakin teguh beriman dan meyakininya. Ia tetap di jalan Islam.

Sejak saat itu, ia selalu datang ke majlis Rasulullah untuk mendengarkan pengajaran baginda dan menghafal Al-Quran sedikit demi sedikit serta mendalami Islam hingga ia menjadi salah seorang ulama Islam. Ia merupakan tempat kaum muslimin bertanya dan menerima fatwa. Kesaksian yang memperkuat hal itu adalah Mu’adz lbn Jabal kepada kawannya, ketika ia sedang sakit yang menyebabkan kematiannya, iaitu ketika salah seorang kawannya menjenguknya, maka kawan itu menangis manakala melihat keadaan Mu’adz yang sedang sakit kuat. Melihat keadaan itu, maka Mu’adz bertanya: “Apa yang menyebabkanmu menangis?” Jawab kawan itu: “Kerana ilmu pengetahuan yang kuperoleh darimu, maka siapakah penggantimu kelak?” Mu’adz berpesan: “Bila aku meninggal, maka tuntutlah ilmu dari empat orang ini: “Abdullah Ibn Mas’ud, Abdullah Ibn Salam, Salman Al-Farisi, dan Abu Darda’.”

Pada suatu malam Abdullah Ibn Salam bermimpi, ia berada di suatu taman, di tengah taman itu terdapat tiang terbuat dari besi. Pangkal tongkat tersebut menancap kuat di bumi. Sedangkan hujungnya menjulang ke langit. Di hujungnya ada tali. Tiba-tiba ia mendengar seseorang berkata: “Wahai Abdullah, naiklah.”

Jawabnya: “Aku tidak boleh.” Tiba-tiba datang seseorang dari belakangnya dan menyorong hingga ia dapat memegang tali tiang itu. Setelah ia mengisahkan mimpinya kepada Rasulullah, Rasulullah bersabda: “Taman itu melambangkan Islam, tiang itu adalah tiang Islam, dan tali itu adalah tali Islam yang kuat. Kamu akan tetap di jalan Islam sampai kamu mati.”

Beberapa sahabat terkemuka mengisahkan keutamaan-keutamaan Abdullah Ibn Salam. Mu’adz Ibn Jabal berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah bersabda berkenaan dengan Abdullah Ibn Salam: “Sungguh Abdullah Ibn Salam adalah salah seorang dari sepuluh orang yang telah dijamin masuk syurga.”

Dalam riwayat lain, Sa’ad Ibn Abi Waqqash berkata: “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah bersabda berkaitan dengan seseorang dengan ucapan, “Sesungguhnya ia termasuk golongan ahli syurga, melainkan berkaitan dengan Abdullah Ibn Salam.”

Sebahagian ahli tafsir mengatakan bahawa firman Allah dalam surah Al-Ahqaf ayat 1 yang ertinya: “Dan seorang Bani Israil mengakui (kebenaran) yang serupa dengan (yang tersebut dalam) Al-Quran kemudian ia beriman, sedangkan kamu menyombongkan diri.” Yang dimaksud saksi dari Bani Israil dalam ayat tersebut adalah Abdullah Ibn Salam.

Dalam Sahih Bukhari dan Muslim, dari Qais Ibn Ubadah berkata: “Ketika aku duduk di masjid Madinah bersama orang ramai, di antara mereka adalah sahabat-sahabat Rasulullah. Tiba-tiba seseorang datang yang di wajahnya terdapat tanda-tanda kekhusyukan, ia bernama Abdullah Ibn Salam. Ketika melihat dia, salah seorang berkata: “Orang ini termasuk ahli syurga.” Kemudian Abdullah solat dua rakaat, setelah itu ia keluar. Aku mengikutinya sampai ia masuk rumahnya. Maka aku pun ikut masuk rumah di belakangnya. Kemudian aku memberitahukan kepadanya tentang apa yang dikatakan seseorang mengenai dirinya. Ia berkata: “Tidak selayaknya seseorang mengatakan apa yang tidak diketahuinya.”

Abdullah Ibn Salam sangat khusyuk dalam solatnya, alim dan mengerti dalam masalah-masalah agama. Ia hafal Al-Quran dan Taurat. Di majlis Rasulullah ia selalu merendahkan suaranya. Demikian juga dalam kehidupan sehari-hari, ia sangat merendahkan diri. Pada suatu ketika, ia berada di pasar dengan mengangkat seikat kayu bakar; ketika ditanya tentang: “Apa yang menyebabkan kamu membawa kayu bakar di pasar, padahal Allah telah memperkaya kamu tanpa itu?” Jawabnya: “Aku hendak menghilangkan rasa takburku. Kerana aku telah mendengar Rasulullah bersabda: “Seseorang tidak akan masuk syurga jika dalam hatinya ada sebesar biji sawi rasa takbur.”

Demikian itulah pengaruh dasar-dasar Islam dalam peribadi Abdullah. Perilakunya merupakan penerapan dari kitab Allah dan sunah Rasulullah. Maka dari itu, ia tidak pernah ragu-ragu dan ia selalu menjauhkan diri dari hal-hal yang meragukan dan meninggalkan yang samar-samar. Peribadinya selalu mencerminkan akhlak Islam yang luhur. Ia sangat mencintai persatuan kaum muslimin.

Ketika rusuhan di tengah kaum muslimin berkobar dan khalifah Usman Ibn Affan dikepung kaum pemberontak, suasana waktu itu sangat memerlukan seseorang yang bijaksana untuk meredakan kerusuhan sebelum makin menjadi-jadi. Pada saat itulah Abdullah Ibn Salam datang ke rumah khalifah Usman. Ketika khalifah Usman melihat Abdullah Ibn Salam ia bertanya: “Wahai Abdullah Ibn Salam, apa sebab kamu datang kemari?” Jawabnya: “Aku datang untuk mempertahankan dirimu sampai aku mati syahid atau Allah akan memberikan kemenangan bagimu.

Kerana aku melihat mereka akan membunuhmu. Jika mereka membunuhmu, maka hal itu merupakan kebaikan bagimu dan keburukan bagi mereka.”

Usman berkata: “Aku meminta kepadamu kerana hakku atas dirimu, keluarlah kepada mereka.”

Ketika Abdullah keluar, para pemberontak mengira bahawa Abdullah datang dengan khabar gembira bagi mereka. Ternyata Abdullah sendiri di tengah-tengah mereka dan berkhutbah, “Janganlah melawan khalifah dengan membunuhnya. Demi Allah, tidak ada seseorang dari kamu yang membunuhnya kecuali pada hari kiamat nanti pembunuh tersebut akan menghadap Allah dengan tangan terputus dan lumpuh. Ketahuilah bahawa tidak ada hak bagi orang tua atas anaknya, kecuali khalifah ini. Ia mempunyai hak atas kalian. Mendengar ceramah itu, para pemberontak berteriak: “Wahai Yahudi kamu telah berdusta. Kamu telah berdusta.” Abdullah menjawab: “Demi Allah kalian yang berdusta, dan kalian telah berbuat dosa. Aku bukan orang Yahudi dan sungguh aku seorang muslim. Allah mengetahui hal itu, demikian pula Rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Dalam Al-Quran telah disebutkan bahawa: “Cukuplah Allah menjadi saksi antara aku dan kamu dan antara orang yang mempunyai ilmu al-kitab.”
(Al-Ra’d: 43)
Abdullah Ibn Salam diberi Allah umur panjang. Setelah ia tua dan keadaan badannya sudah lemah, ia berkata kepada Salman Al-Farisi, sahabat karibnya: “Siapa di antara kita yang mati lebih dahulu, maka hendaknya ia menyampaikan khabar akhirat kepada yang masih hidup.” Dan Allah telah menghendaki Salman berangkat ke kampung akhirat lebih dahulu. Kemudian pada suatu malam, Abdullah Ibn Salam mimpi bertemu Salman, maka ia bertanya: “Hendaknya kamu selalu bertawakal, kerana aku telah mendapat sesuatu yang mengkagumkan dalam tawakal.”

Pada masa pemerintahan Muawiyah (43 H.), Abdullah Ibn Salam meninggal dunia dalam keadaan redha dan diredai Allah setelah ia menjalani kehidupan yang diwarnai oleh ketakwaan dan disinari oleh cahaya keimanan.

----------------------------------------------------------------------------------------------

Cucu Kesayangan Insan Mulia
Cucu Kesayangan Rasulullah


Sesungguhnya kehidupan dan kematiannya merupakan gambaran yang indah dari insan yang mulia, penuh pengorbanan, iffah, suci, jiwa yang tenteram dan bersih. Patut baginya memperoleh kedudukan yang tinggi di dunia dan di akhirat, kerana dia adalah cucu Rasulullah SAW putera Saidina Ali ra. dan Fatimah Az-Zahrah, serta saudara kandung Husein, penghulu para syuhada. Layak pula baginya memperolehi tempat yang mulia di antara orang-orang soleh, kerana beliau meninggalkan jabatan khalifah dengan cara bermandikan darah para syuhada. Beliau mengutamakan meninggikan bendera Islam sebagai ganti mengumandangkan teriakan perang. Hatinya memancarkan rahmat, kasih sayang, kalbunya diliputi dengan perasaan kasih, dan jiwanya penuh dengan sifat keutamaan.

Bekas ciuman Nabi bau semerbak dari bibirnya. Baginda SAW mencintai Hasan dan saudaranya Husein, sehingga menjadikan kehidupan keduanya bagai kehidupan para malaikat. Keduanya hidup dalam naungan Ilahi. Pada masa kanak-kanaknya yang suci, mereka diberi ucapan-ucapan wahyu di lingkungan kenabian. Rasulullah SAW memberinya pelajaran dan cara hidup Islam serta pendidikan Ilahi. Dari lingkungan kedua orang tuanya, mereka mengambil suri teladan yang mulia. Dalam lingkungan yang jelas dan positif itulah Saidina Hasan dan Saidina Husein hidup berdampingan satu sama lain.

Hampir tiada berlalu suatu haripun tanpa baginda SAW mengungkapkan kepada para sahabatnya tentang cintanya kepada cucu-cucunya. Badan Saidina Hasan banyak kemiripannya dengan bentuk badan Rasulullah. Diriwayatkan bahawa suatu hari Abu Bakar dan Ali sedang keluar dari masjid selesai solat. Tiba-tiba mereka berdua melihat Hasan ra. sedang bermain. Lalu Abu Bakar ikut mengajaknya bermain. Setelah itu beliau berkata kepada Ali ra.: “Demi Allah, dia lebih mirip dengan Nabi SAW daripada denganmu.” Mendengar yang demikian itu Saidina Ali ra. tertawa.

Tentang kecintaan Nabi SAW kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein, Abu Hurairah ra. pernah berkata: “Rasulullah SAW datang kepada kami bersama kedua cucunya, Hasan dan Husein. Yang pertama ada di bahunya yang satu, dan yang kedua ada di bahunya yang lain. Sesekali baginda SAW menciumnya, sampai baginda berhenti di tempat kami. Kemudian baginda bersabda: “Barangsiapa mencintai keduanya (Hasan dan Husein) bererti ia mencintai aku. Barangsiapa membenci keduanya bererti ia membenci aku.” Hadith-hadith yang berhubungan dengan kecintaan baginda SAW terhadap Saidina Hasan dan Saidina Husein banyak disebut dalam sejarah Nabi SAW.

Berkaitan dengan Saidina Hasan, Nabi SAW memberitahukan bahawa ia akan mendamaikan antara dua golongan kaum muslimin. Beberapa tahun setelah itu ramalan tersebut betul-betul terjadi. Peristiwa itu terjadi setelah wafatnya Rasulullah SAW dan setelah Saidina Ali ra. meninggal dunia. Saat itu penduduk Irak datang untuk membaiat Saidina Hasan. Mereka percaya bahawa Saidina Hasanlah yang paling berhak menduduki jabatan khalifah.

Pada waktu yang bersamaan penduduk Syam membaiat Muawiyah, sehingga pertempuran baru antara Irak dan Syam tidak dapat dihindari lagi. Di sinilah nampak kecerdasan Saidina Hasan. Beliau berfikir, terbayang dalam benaknya apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Di situ ia melihat ramainya korban yang terbunuh dan darah yang mengalir, mengakibatkan anak menjadi yatim dan perempuan menjadi janda. Apa yang dihasilkan oleh perang hanyalah kebinasaan dan kerosakan. Beliau khuatir terulangnya kembali peristiwa peperangan dan pertumpahan darah antara sesama kaum muslimin.
Ketika ia sedang mencari jalan penyelesaian dari terjadinya pertumpahan darah tersebut, tiba-tiba datang surat dari Muawiyah kepadanya. Di dalamnya tersirat politik Bani Umaiyah untuk mengadakan perdamaian dengan syarat Saidina Hasan dijanjikan akan menjadi khalifah nanti setelah kematian Muawiyah.

Setelah Saidina Hasan selesai membaca surat tersebut, serta merta ia mengutus utusan untuk menemui saudaranya Husein di Madinah. Ia menganjurkannya menerima usul perdamaian tersebut. Demikian pula sikapnya saat para pemuka penduduk Irak berkumpul di gedung pertemuan di Irak. Beliau berkata kepada mereka: “Sesungguhnya kalian membaiatku adalah untuk berdamai dengan orang yang mengajak damai dan berperang dengan orang yang mengajak perang. Sesungguhnya aku telah membaiat Muawiyah, maka dengarlah kata-kataku.”

Peristiwa ini diterima oleh penduduk Iraq secara terpaksa. Begitu pula halnya dengan Saidina Husein, beliau menerimanya secara terpaksa pula. Pada dasarnya semuanya menghendaki agar jabatan khalifah dipegang oleh keluarga Nabi, bukan didahului oleh Bani Umaiyah. Akan tetapi cara berfikir Saidina Hasan menuju kepada mencegah pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin. Cukuplah bagi beliau apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Akan tetapi Muawiyah tidak ingin menepati janjinya. Ia telah menetapkan perintah membaiat anaknya, Yazid. Politiknya adalah jangka panjang, meskipun pada mulanya keinginannya belum tercapai, namun ia menjadikan strateginya itu secara bertahap.

Akibatnya setiap sahabat Rasulullah SAW yang mendengar maksud Muawiyah tersebut bukan main marahnya. Sebab jabatan khalifah akan dipegang oleh penguasa yang bengis, sebagaimana yang pernah diberitakan oleh Rasulullah SAW.

Namun meskipun Saidina Hasan menjaga jangan sampai terjadi pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin. Tapi tetap saja perkara-perkara lain muncul di hadapannya. Pada akhirnya berkali-kali beliau menghadapi usaha orang lain yang hendak meracuninya, tapi masih boleh diubati. Orang-orang tersebut tidak puas jika belum berhasil dalam usahanya. Hingga suatu ketika Saidina Hasan merasakan adanya racun pahit yang ada dalam makanannya. Rasanya seperti ditikam pisau dalam perutnya. Dengan menahan rasa sakit yang keras itu, beliau bertanya kepada saudaranya Saidina Husein: “Siapa yang menyembunyikan racun tersebut?” Saidina Husein tidak boleh menjawab, dan tidak lama kemudian beliau pun wafat.

Peristiwa itu terjadi pada tahun 50 H menurut pendapat yang paling kuat, dan seluruh penduduk Madinah ikut berkabung, menguburkan jasadnya yang suci di Baqi’. Dikhabarkan di tempat itu tersebar bau harum sewangi kasturi, seolah-olah para malaikat menaburkan wewangian syurga di dalamnya.

Semoga Allah memberi rahmat kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda tentang mereka berdua: “Mereka berdua termasuk pemuka para pemuda ahli syurga.”

----------------------------------------------------------------------------------------

Pemuka Para Pemuda Ahli Surga

Sejak saat kelahirannya, seisi langit menyambut kehadirannya. Seisi bumi di sekitarnya memancarkan sinar kesucian, diliputi dengan rahmat dan semerbak bau wangi yang ditaburkan oleh para malaikat. Ketika Rasulullah SAW mendengar bahawa puterinya Fatimah Az-Zahrah dikurniai putera, baginda bergegas menuju ke rumahnya. Nabi SAW menjumpainya dengan raut wajah yang bersinar, bak purnama.

Begitulah kebiasaan baginda ketika mendengar berita gembira. Kemudian Nabi mendekat kepada bayi yang masih suci, mengumandangkan azan di telinganya seperti azan solat. Itulah kalimat pertama yang didengar oleh Saidina Husein setelah kelahiran beliau di dunia pada tanggal 5 Syaban 4 H. Sebelum Rasulullah SAW berangkat ke rumah puterinya, Fatimah, baginda sudah mempersiapkan nama untuk bayi tersebut dengan nama “Husein”, suatu nama yang belum dikenal oleh bangsa Arab pada waktu itu.

Husein ra. hidup di rumah ayahnya di Madinah. Rasulullah SAW pun mencintainya, dan mencintai saudaranya, Hasan ra. dengan cinta yang amat dalam. Kecintaan baginda itu digambarkan oleh Usamah Ibn Zaid dalam suatu peristiwa yang disaksikannya sendiri. Usamah berkata: “Aku mengetuk pintu rumah Rasulullah SAW sambil membawa sesuatu yang tidak aku ketahui apa yang dibawanya. Setelah selesai dengan tujuan yang saya inginkan, aku bertanya kepada baginda: “Engkau sedang membawa apa ya Rasulullah?” Baginda pun membukanya. Ternyata itu adalah Hasan dan Husein. Baginda bersabda: “Kedua anak ini adalah anakku, dan anak puteriku. Ya Allah, sungguh aku mencintai keduanya. Maka cintailah keduanya, dan cintailah orang yang mencintai keduanya.”

Apabila Hasan dan Husein datang kepada datoknya, Rasulullah SAW, baginda memeluk mereka dengan kasih sayang dan menciumnya satu persatu, kemudian memangkunya di atas pahanya. Para sahabat di sekitar baginda segera mengucap: “Sesungguhnya keduanya adalah pemuka para pemuda ahli syurga.” Sebahagian dari ucapan Rasulullah yang mencerminkan gelora kasih sayangnya pada Saidina Husein adalah, “Husein itu dariku dan aku dari Husein. Semoga Allah mencintai orang yang mencintai Husein. Husein adalah cucuku.”

Husein ra. tumbuh dalam lingkungan yang paling bersih dan mulia dari sifat manusiawi. Datuknya adalah Rasulullah SAW pemuka sekalian makhluk. Ayahnya adalah Ali Ibn Abi Thalib Karramallahu Wajhahu, memiliki peringkat teratas dari sifat dermawan, penuh pengorbanan, berjuang, dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Ibunya adalah Fatimah Az-Zahrah, seutama-utama perempuan pada masanya. Maka memadailah jika dikatakan bahawa dia adalah puteri Rasulullah SAW, isteri bagi pemimpin para pejuang, dan ibu dari pemuka para pemuda ahli syurga.

Dalam persekitaran perjuangan yang berbau kenabian yang bersinarkan wahyu serta penuh dengan peristiwa jihad inilah Saidina Husein ra. menghabiskan masa kanak-kanaknya yang pertama. Di sekitar rumah ayahnya, Ali Ibn Abi Thalib, dan rumah datuknya Rasulullah SAW sampai beliau menginjak 6 tahun 7 bulan 7 hari, Rasulullah SAW pun wafat. Peristiwa wafatnya Rasulullah itu disaksikan oleh Husein ra. Bagaimana penduduk kota Madinah diliputi dengan rasa duka, dan bagaimana duka yang dialami oleh kaum muslimin yang sangat mendalam itu boleh menghilangkan akal sebahagian dari mereka. Sehingga orang genius seperti Umar Ibn Al-Khatthab diliputi dengan fikiran kosong. Umar berseru kepada orang-orang: “Barangsiapa berkata bahawa Muhammad telah mati, akan aku bunuh dengan pedangku ini!” Semua itu disaksikan oleh Husein ra.

Kemudian dia mendengar perihal ayahnya dan kaum muslimin yang bercakap-cakap tentang perang Riddah. Beliau hidup semasa peristiwa-peristiwa itu terjadi dalam keadaan jiwanya yang bersih. Tatkala mencapai usia remaja, ia menjadi anggota barisan para pejuang. Ia ikut bersama ayahnya dalam perang Jamal, Perang Shiffin dan perang melawan kaum Khawarij.

Ayahnya, Ali Ibn Abi Thalib, adalah pemimpin perang yang berwawasan jauh. Allah memberinya ilham terhadap perkara-perkara yang ghaib dan tidak dapat dijangkau oleh semua orang. Ketika beliau keluar dari Madinah menuju ke Kufah dan sampai di Karbala, beliau mengarahkan pandangannya di tanah tersebut dengan pandangan yang amat dukacita. Beliau berkata: “Di sinilah tempat pemberhentian perjalanannya, dan di sinilah tertumpah darahnya.”

Orang-orang di sekitarnya tidak mengerti ungkapan sedih dan mengharukan tersebut. Baru setelah beberapa tahun kemudian, terjadilah di situ peristiwa berdarah dalam peta dunia Islam. Rebutan kekuasaan dan peralihan kepemimpinan khalifah menjadi raja yang bengis sebagaimana hal tersebut pernah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, iaitu ketika Muawiyah membaiat puteranya, Yazid, dengan paksa. Seandainya tidak kerana kebijaksanaan Husein ra., tentu darah kaum muslimin akan tumpah.

Pendiriannya boleh mencegah pecahnya perang antara golongan pembaiat dan penentangnya. Akan tetapi pertentangan tetap ada, meskipun secara sembunyi-sembunyi dalam tiap peribadi dan tidak nampak kecuali setelah kematian Muawiyah. Para pemuka Kufah mengirim surat kepada Husein ra. meminta kepadanya agar hadir di Kufah untuk dibaiat. Husein menghadapi perkara ini dengan cermat. Beliau mengutus anak bapa saudaranya Muslim Ibn Aqil. Tapi ketika Ubaidillah Ibnu Ziyad menjadi penguasa Basrah, Muslim Ibn Aqil dibunuhnya. Peristiwa itu terjadi pada 9 Zulhijjah 60 H.

Peristiwa pembunuhan Muslim Ibn Aqil tersebut terjadi sebelum keluarnya Husein ra. dari Makkah ke Kufah selang satu hari. Oleh kerana itu Husein ra. tidak tahu tentang terbunuhnya Muslim Ibn Aqil sampai beliau tiba di Qadisiyah. Beliau mengutamakan kembali ke Makkah, namun kaum kerabat Muslim Ibn Aqil, tetap ingin melanjutkan perjalanan menuntut balas atas kematian saudaranya. Pengikut Husein ra. ketika itu sekitar 70 orang, terdiri dari keluarga dan pendukungnya, baik dari kalangan lelaki, perempuan mahupun anak-anak.

Kejadiannya sangat cepat. Ketika dua utusan Husein terbunuh lagi, saat mengingatkan penduduk Kufah tentang syarat dan ajakan mereka untuk membaiatnya, dua utusan tersebut dibunuh oleh Ubaidillah Ibn Ziyad. Keadaan semakin serius, sampai pada puncaknya berakhir di Karbala, di mana kepala-kepala keluarga Rasulullah dipenggal, lalu kepala tersebut dibawa di atas hujung tombak menuju ke Ubaidillah Ibn Ziyad, kemudian diserahkan kepada Yazid Ibn Muawiyah di Damaskus. Husein terbunuh oleh orang yang bernama Syamr Ibn Dzi Jausyan, yang kemudian ia mendapat murka Allah, para malaikat dan kaum muslimin seluruhnya.

Kepala Husein yang mulia tersebut dipindahkan dari satu kota ke kota yang lain, kemudian ke kota Asqalan. Di situlah penguasa setempat menguburkannya. Lalu ketika bangsa Eropah berkuasa pada waktu perang Salib, Thalaih Ibn Raziq menebusnya dengan wang 30.000 dirham agar kepala tersebut boleh dipindahkan ke Kairo dan dapat dikubur di tempat di mana ia mati syahid semasa hidupnya.

Tentang kepala Husein ra. di tempat syahidnya itu, para ahli sejarah berpendapat: bahawa ketika Abd Rahman hendak memperluas bangunan masjid Al-Husein, tempat tersebut ramai dikunjungi oleh orang-orang, termasuk di antaranya dua ulama popular, iaitu Syekh Al-Jauhary As-Syafi’i dan Syekh Al-Malwi Al-Maliki. Keduanya menyaksikan apa yang terdapat di dalam kuburan Husein. Diketahui bahawa kepala Saidina Husein ra. dibungkus dengan kain sutera berwarna biru yang diletakkan dalam pundi emas di atas tempat ebonit. Demikian pula banyak petunjuk-petunjuk lain tentang kepala Saidina Husein ra. dalam makam tersebut.

Allah menghendaki agar peristiwa yang menimpa pada cucu Rasulullah itu berlaku adil. Tiga tahun kemudian Yazid Ibn Muawiyah mati dengan cara yang hina, iaitu jatuh dari kudanya ketika sedang mengejar monyet. Lehernya patah, kuku kaki kudanya patah dan meringkik tidak tentu hala. Adapun Syamr Ibn Dzi Jausyan, si pembunuh Husein ra., terbunuh oleh Mukhtar Ibn Abi Ubaid As-Tsaqafi, pelopor gerakan Tawwabin. Ia melemparkan jasad Syamr Ibn Dzi Jausyan agar dimakan anjing. Begitu pula nasibnya Ubaidillah Ibn Ziyad, terbunuh lalu dibakar. Sedangkan sisa-sisa pengikut Yazid Ibn Muawiyah mati terbunuh di tangan kelompok Tawwabin lainnya.

Allah memuliakan Kairo dengan dimakamkannya kepala Saidina Husein dan dikuburkannya beberapa Ahl Al-Bait di sana. Semoga Allah meredhai mereka dan memberinya tempat yang mulia dan darjat tertinggi di dunia dan akhirat.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan