Isnin, 23 Februari 2009

OSTEOARTRITIS

OSTEOARTRITIS

Kesihatan sendi dan tulang adalah sesuatu yang merisaukan apabila usia semakin meningkat. Apatah lagi, kita memerlukan tulang yang berfungsi seperti biasa atau sihat bagi menjalankan dan memudahkan kegiatan harian dilakukan. Namun, seiring dengan peningkatan usia masalah berkaitan kesihatan tulang tidak dapat dielakkan.
Ini termasuklah, masalah Osteoartritis (OA) iaitu kehausan atau kemerosotan tulang rawan dalam sendi yang memang menyebabkan kesakitan setiap kali bergerak.
Presiden Persatuan Rheumatologi Malaysia, Dr. Muhaini Othman, berkata apabila OA menimpa individu ia memang menyusahkan apabila setiap kali hendak berjalan atau bangun, malah individu berkenaan turut mengalami kesakitan dan biasanya, sakit akibat pergerakan berlebihan dan lega dengan berehat.
OA adalah penyakit sendi atau artritis yang paling umum di dunia dan punca sebenar OA masih tidak di ketahui, tetapi antara faktor yang boleh menyebabkan penyakit ini termasuk umur yang semakin meningkat, obesiti ( kegemukan ), warisan genetik dan kecederaan lama pada sendi.
OA biasanya memberi kesan kepada lutut, pinggul dan tulang belakang, menyebabkan kesakitan pada sendi, mudah terasa sakit dan menghadkan pergerakan.Ia berlaku akibat rawan yang meliputi penghujung tulang atau sendi menjadi haus sehingga menyebabkan kesakitan sendi, bengkak serta kecacatan.
Pesakit mungkin mengesan penyakit itu apabila menyedari tanda seperti kekejangan pada waktu pagi, sendi sedikit membengkak dan sakit merangkumi setiap sendi termasuk leher dan belakang.
Bagaimanapun, kebanyakan pesakit datang berjumpa doktor apabila tidak lagi dapat menahan kesakitan. Apa yang dibimbangi, jika keadaan bertambah teruk OA boleh menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan dan hilang upaya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 80 peratus daripada pesakit OA mengalami pergerakan terbatas, dan 25 peratus di antara mereka tidak boleh melakukan aktiviti harian yang penting. Keadaan sebegitu kebanyakkannya menjejaskan golongan tua, individu yang pernah mengalami kecederaan sendi yang traumatik, golongan obes serta golongan tidak aktif. Sehingga kini, tiada penyembuh untuk OA tetapi diagnosis awal amat penting untuk mengelakkan kemerosotan. Ini merangkumi, cara untuk menguruskan kesakitan dan memperbaiki funsi sendi. Antara kaedah terbaik ialah melakukan senaman yang memberi banyak kebaikan dan membuatkan penghidap OA lebih positif dalam kehidupan. Jadi, jika anda seorang penghidap OA adalah lebih baik anda selalu mengerakkan tubuh , tetapi janganlah terlalu banyak. Ini adalah mengikut tahap kesesuaian badan kita. Selain itu, senaman turut membantu mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fleksibiliti di samping memperbaiki jantung dan peredaran darah. Secara umumnya, pergerakan fizikal dapat membentu mengekalkan berat badan dan menggalakkan kecergasan fizikal. Senaman juga berfungsi dalam menguatkan sendi dan menambah daya mobiliti..

P/S Pesakit digalak aktif bagi tingkatkan fleksibiliti, kurangkan rasa sakit.

Info :-
1. Terdapat lebih 100 jenis artritis tetapi osteoartritis adalah paling kerap di alami oleh warga tua.
2. Di Malaysia saja, dijangkakan terdapat lebih daripada 1 juta pesakit osteoartritis dan jumlah ini semakin bertambah dari tahun ke tahun.
3. Lebih daripada 30 peratus warga emas yang berusia 65 tahun ke atas menhidap osteoartritis yang memerlukan rawatan.
4. Sebelum usia 45 tahun, lelaki lebih mudah mendapat osteoartritis manakala wanita pula lebih terdedah kepada penyakit ini setelah usia mereka melebihi 55 tahun.
5. Pada usia melebihi 55 tahun, wanita didapati berisiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi mudah mendapat osteoartritis berbanding lelaki.

Tip :-

* Untuk melakukan senaman anda perlu :

1. Dapatkan nasihat doktor atau fisioterapi bagi pelan senaman yang sesuai.
2. Pilih jenis senaman yang anda seronok melakukannya.
3. Lakukan pemanasan badan dan regangan otot sebelum senaman dan redakan selepas senaman.
4. Mulakan secara perlahan dan secara beransur-ansur tingkatkan gerakan.
5. Apabila rasa sakit, berhenti jika anda perlu berbuat demikian.

Amaran :-

1. Jangan lakukan senaman berlebih-lebihan-jika sendi masih sakit 2 jam selepas senaman , bermakna anda melakukannya keterlaluan.
2. Jangan bersenam jika sendi berasa lebih sakit daripada biasa.
3. Jangan menyambung melakukan senaman yang menyebabkan rasa sakit atau tidak selesa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan