Selasa, 27 Januari 2009

JENIS-JENIS HERBA

-------------------------------------------------------------------------------------



MENGKUDU

Nama Botani Morinda citrifolia Linn.
Nama lain Noni, Indian mulberry, Painkiller (Inggeris), Pace, Cangkudu (Indonesia), Yo ban (Thai), Nhau (Vietnameses)
Famili Rubiaceae
Pengenalan
Mengkudu ialah tanaman bersifat saka berasal dari Asia, Australia dan kepulauan Pasifik. Ia telah hidup secara liar berabad-abad lamanya di negara kita dan kurang mendapat perhatian semasa itu. Kebanyakannya terdapat dikawasan pinggir hutan dan berdekatan dengan perparitan dan sungai. Tanaman ini mempunyai batang pokok yang lurus, berdaun lebar, bunga berwarna putih, buah berbentuk bujur dan bertukar dari hijau ke putih kekuningan apabila matang. Buah yang masak mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Ketinggian pokok boleh mencapai lebih kurang 10 m. Dua spesies tanaman mengkudu yang biasa terdapat di negara ini ialah Morinda citrifolia (mengkudu besar atau mengkudu laut) dan Morinda elliptica (mengkudu kecil atau mengkudu hutan). Terdapat variasi yang ketara dari segi saiz dan bentuk buah.
Khasiat dan Kegunaan
Mengkudu mempunyai pelbagai kegunaan. Ia telah digunakan sejak turun-temurun dalam perubatan tradisional terutama di kalangan masyarakat Melayu. ‘Penemuan semula’ dan minat masyarakat umum terhadap tanaman ‘ajaib’ ini bermula pada penghujung 1998 selepas penemuan saintifik tentang bahan aktif serta fungsinya oleh seorang ahli biokimia dari Universiti Hawaii. Satu bancian yang dijalankan di Amerika Syarikat melaporkan sebanyak 22 jenis masalah kesihatan telah dapat dibantu dengan pengambilan mengkudu. Antaranya ialah kanser, kencing manis, darah tinggi, tulang, jantung, kemurungan, pernafasan, penghadaman dan buah pinggang. Mengkudu juga boleh dibangunkan ke produk kumpulan makanan seperti makanan kesihatan/tambahan, tonik, minuman dan perubatan tradisional dan barangan bukan makanan seperti kosmetik, penjagaan/kesihatan diri dan biopesticid.

-------------------------------------------------------------------------------------

LIMAU PURUT

Nama Botani Citrus hystrix DC.
Nama Lain Limau purut (Melayu), Jerut Purut (Indonesia), Bai makrut (Thailand), Keiffer lime; Kafir lime (Inggeris)
Famili Rutaceae
Pengenalan
Tanaman saka ini berasal dari Asia dan telah ditanam di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Habitatnya ialah di kawasan subur yang bersaliran baik dan banyak ditanam disekitar rumah sahaja. Kulit buah limau purut adalah berkedut, tebal, dan isinya tidak berapa berair. Tumbesaran pokok adalah perlahan berbanding dengan spesies limau lain. Ketinggiannya boleh mencapai sehingga 30 m. Daunnya yang bersayap memberi gambaran dua helai daun yang dicantumkan hujung ke hujung.
Khasiat dan Kegunaan
Daun limau purut banyak digunakan dalam masakan seperti tom yam kerana bau dan rasanya yang unik. Ia juga digunakan sebagai ramuan ubatan dan juga bahan untuk mandi wap. Selain berkesan sebagai penggalak antitumor atau pencegah kanser, limau purut juga boleh digunakan untuk mencuci rambut dan mulut serta boleh membunuh pacat. Ekstrak minyak patinya boleh digunakan sebagai aromatherapi, nutraseutikal dan produk penjagaan diri. Limau purut juga berupaya merawat luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta merangsang perjalanan darah.

-------------------------------------------------------------------------------------

LEMBA

Nama Botani Curculigo Latifolia
Nama Lain Lemba
Famili Amaryllidaceae
Pengenalan
Sejenis tumbuhan herba yang tumbuh secara berumpun yang agak besar. Daun ringkas, berwarna hijau, keras atau kuat, berbentuk bujur. Saiz daun yang matangberukuran antara 55-57 cm panjang dan 15-17 cm lebar, Daunnya bersifat menirus pada kedua-dua bahagian hujung dan pangkalnya., Bahagian tepi daun berkeadaan licin dan daun lemba mempuyai banyak urat daun pada permukaannya. Tangkainya panjang (30-32cm). Bunga tumbuhan ini terbit daripada dasar atau pangkal pokok.Setiap bunga mempunyai 6 kelopak dan bewarna kuning terang. Buah yang telah matang berbentuk beri, berwarna putih dan berasa manis bila dimakan.
Khasiat dan Kegunaan
Daun sembung digunakan secara meluas sebagai salah satu bahan untuk air mandian wanita selepas bersalin dan bayi bagi menghilangkan bau badan. Daunnya juga dijadikan campuran minyak urut untuk wanita selepas bersalin untuk disapu di kening dan perut. Daun sembong biasanya dimakan bersama pinang untuk merawat masalah pencernaan, gastrik atau dijadikan campuran ubat jamu. Akar pokok muda digunakan untuk merawat luka dalaman manakala akar dan daun yang ditumbuk pula digunakan untuk merawat sengal-sengal tulang, sendi dan otot. Di negara lain di Asia Tenggara seperti Filipina, daun sembung digunakan juga untuk melawaskan kencing dan untuk merawat batu karang. Pohon sembung juga menghasilkan minyak kayu kapor yang boleh digunakan bagi merawat bengkak sendi.

-------------------------------------------------------------------------------------

KESUM

Nama Botani Polygonum minus Huds
Nama lain Phak phai (Thailand), Knotweed (Inggeris)
Famili Polygonaceae
Pengenalan
Tanaman kesum (Polygonum minus) berasal dari kawasan Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia. Ia didapati tumbuh liar, terutama di kawasan lembap seperti di tepi parit atau dekat dengan sungai dan tasik. Ia juga didapati hidup dengan subur di kawasan sejuk di tanah tinggi seperti di Cameron Highlands dan Genting Highlands. Kesum merupakan tanaman herba yang renik, lampai, menjalar dan boleh tumbuh mencapai ketinggian 1.0 m di dataran rendah dan sehingga 1.5 m di tanah tinggi. Daunnya panjang dan runcing berbentuk anak panah, 5−7 cm panjang dan 0.5–2.0 cm lebar. Ia tersusun secara berselang pada batang, berwarna hijau tua dan sangat aromatik. Batangnya berbentuk silinder, berwarna hijau dengan sedikit kemerah-merahan, dan mempunyai buku dan ruas yang pendek yang mudah berakar. Bunganya pula terdapat di hujung pucuk, berbentuk kecil dan berwarna putih keungu-unguan. Pada amnya terdapat dua jenis kesum, iaitu yang lebih merayap/menjalar dan yang tumbuh agak menegak.
Khasiat dan Kegunaan
Tanaman kesum sangat popular di kalangan penduduk Malaysia sebagai bahan perencah/perisa di dalam banyak jenis makanan, terutama untuk laksa dan asam pedas. Ia juga boleh dimakan terus sebagai ulam ataupun dibuat kerabu. Secara tradisional air rebusan daun kesum digunakan untuk mengubati masalah penghadaman, menghilangkan kelemumur di kepala dan sebagai minuman selepas bersalin. Dari segi khasiat pemakanan, kesum kaya dengan beta karotena, vitamin A, vitamin C dan juga bahan galian seperti kalium, kalsium dan fosforus.
Daun kesum yang aromatik boleh menghasilkan minyak pati yang mengandungi bahan kimia `aliphatic aldehyde’ yang tinggi (60%), dan komponan kimia utamanya ialah decanal dan dodecanal. Sebagai punca bahan semula jadi ‘aliphatic aldehyde’, minyak kesum pula dipercayai mempunyai potensi yang tinggi, terutama dalam industri perisa dan wangian. Ini disebabkan tidak banyak terdapat bahan semula jadi ini di pasaran.


-------------------------------------------------------------------------------------



KECUBONG

Nama Botani Datura Fastuosa
Nama Lain Kecebung
Famili Solanaceae
Pengenalan
Pokok jenis renek yang boleh mencapai ketinggian sehingga 2 m. Batang bersifat tegak, licin atau berambut sedikit. Ranting dan daunnya berwarna keungguan terutama ketika muda. Berdaun ringkas, berbentuk bujur yang melebar dibahagian bawah, berukuran 9-18 cm panjang, hujung daun berkeadaan runcing ('acuminate'). Urat daun timbul dipermukaan bawah. Tangkai daunnya panjang,boleh mencapai sehingga 16 cm. Bunganya besar dan panjang berbentuk seperti trompet, bewarna putih dan mempunyai warna ungu di hujung kelopak. Buah berbentuk bulat, keras dan berduri.
Khasiat dan Kegunaan
Bunga kecubung dihiris nipis dan dikeringkan sebelum ia dicampur dengan tembakau untuk dihisap sebagai rokok bagi merawat penyakit lelah. Kelopak bunga yang dikeringkan juga boleh dihisap seperti rokok bagi tujuan yang sama. Seduhan kelopak bunga boleh diminum bagi merawat sakit jiwa. Penggunaan luaran daun kecubung dikatakan dapat meransang pertumbuhan rambut, melegakan kembung pada kanak kanak dan merawat sakit tulang. Penggunaan kecubung perlu diawasi kerana kehadiran racun-racun seperti kimia hyoscyamine, scopolamine dan atropine yang boleh menyebabkan khayal.

-------------------------------------------------------------------------------------


KUNYIT

Nama Botani Curcuma domestica (Val.)/Syn: Curcuma longa
Nama Lain Kha min (Thailand), Manjal (India), Haldi (Hindi), Kurkum (Arab), Turmeric ( tumeric), Indian saffron, yellow ginger (Inggeris)
Famili Zingiberaceae
Pengenalan
Kunyit merupakan tanaman rempah yang berasal dari India. Tanaman ini kemudian diperkenalkan ke negara Asia lain seperti negara-negara Tenggara dan Selatan Asia. Kunyit hidup subur di kawasan lapang dan terdedah sepenuhnya kepada cahaya matahari. Ketinggian tumbuhan ini melebihi satu meter. Rizom kunyit berwarna kuning, sedikit bersisik, berbentuk memanjang dan berjejari. Daunnya licin, berwarna hijau, berbentuk bujur dan meruncing di hujung serta mempunyai tangkai yang panjang. Pokok ini mengeluarkan bunga yang berwarna kuning di celah-celah daun muda.
Khasiat dan Kegunaan

Daun kunyit biasanya digunakan untuk memberi aroma dan warna kuning kepada masakan seperti rendang, gulai dan sebagai pembalut ikan atau daging yang di bakar. Dalam perubatan, ia digunakan sebagai antioksidan, antibakteria, antiradang dan antikanser. Kunyit juga berupaya menyembuhkan luka di dalam badan, mengecutkan peranakan bagi wanita yang baru bersalin, membersihkan dan menghalang pembekuan darah, melancarkan peredaran darah, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selesema. Ia juga dikatakan dapat menyembuhkan luka, seliuh anggota dan kudis.

-------------------------------------------------------------------------------------



HALIA

Nama Botani Zingiber officinale Ross
Nama lain Ginger (Inggeris), Jahe, Aliah, Jae, Lia (Indonesia)Kinkh, Khing-daen (Thailand)
Famili Zingiberaceae
Pengenalan
Halia merupakan salah satu jenis rempah ratus yang bukan sahaja banyak digunakan dalam masakan timur dan barat malah antara rempah yang terpenting diperniagakan di dunia. Tanaman ini berasal dari Asia Tenggara dan sekarang ditanam secara meluas di seluruh dunia. Antara negara yang banyak mengeluarkan halia ialah India, China, Nigeria, Australia dan Thailand. Penanaman halia di Malaysia boleh dikatakan masih diusahakan secara kecil-kecilan sebagai tanaman tunggal atau selingan bersama tanaman saka seperti nanas, getah dan kelapa sawit.
Khasiat dan Kegunaan
Halia digunakan sebagai rempah perasa dan ubatan. Tanaman ini tergolong dalam kategori ubat-¬ubatan tradisional Melayu yang dikatakan dapat membantu menghadamkan makanan, menguatkan tenaga batin, menambahkan air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubat-ubatan dari halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti deman, batuk, migrin, sakit gigi, sakit tulang, sengugut dan sesak dada. Halia juga bersifat karminatif, stimulant dan pembunuh kuman jika diambil sebagai ubat. Halia boleh diproses untuk pengeluaran minyak dan hasil ekstrak. Bahan aktif dalam ekstrak halia ialah gingerols dan oleoresin. Minyak halia boleh dijadikan bahan perisa minuman buah-buahan, konfeksionari, kosmetik dan ubatan. Biasanya dalam perubatan halia diambil dalam bentuk minuman halia, halia kering, air rebusan halia atau pati halia manakala dalam masakan pula dalam bentuk halia segar, halia kering dan halia bergula. Halia juga boleh diproses sebagai serbuk halia, halia jeruk dan bahan perasa untuk pelbagai makanan seperti sos dan bakeri.

-------------------------------------------------------------------------------------

EMAS COTEK

Nama Botani Ficus deltoidea
Nama Lain Serapat, sempit-sempit dan agoluran (Sabah), tabat barito (Indonesia), Mistletoe fig (Inggeris)
Famili Moraceae
Pengenalan
Emas cotek banyak terdapat di Semenanjung Malaysia dan kepulauan Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Ia merupakan sejenis tanaman epifit yang hidup menumpang pada tumbuhan lain yang lebih besar hanya untuk mendapatkan cahaya matahari. Tumbuhan ini banyak terdapat di kawasan belukar di tepi laut atau rimba di pergunungan. Tanaman ini tidak tumbuh di kawasan hutan bakau. Tumbuhan ini boleh tumbuh setinggi 135 cm dan garis pusat kanopi berukuran lebih kurang 157 cm. Bentuk daun adalah berbeza mengikut aksesi iaitu sama ada bulat, bujur telur atau lonjong. Daun yang besar dan bulat di kelasifikasikan sebagai emas cotek betina dan yang lebih kecil dan lonjong sebagai emas cotek jantan. Daunnya berwarna hijau berkilat dan mempunyai bintik yang berwarna emas di permukaannya manakala dibawah permukaan daunnya berwarna kuning keemasan dengan tompok-tompok hitam.
Khasiat dan Kegunaan
Emas cotek dipercayai berkhasiat untuk sistem reproduktif wanita. Air rebusan keseluruhan tanaman diminum oleh wanita selepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan mengembalikan rahim pada keadaan asal. Ia juga digunakan oleh wanita untuk merawat keputihan dan melawaskan haid. Tumbuhan herba ini dipercayai boleh mengekalkan awet muda dan digunakan sebagai ramuan dalam menyediakan tonik untuk lelaki dan perempuan. Selain daripada itu, emas cotek berupaya mencegah dan menyembuhkan penyakit-penyakit seperti paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, cirit-birit, melancarkan peredaran darah dan rawatan sakit kulit.

--------------------------------------------------------------------------------------

KESIDANG / KERAK NASI

Nama Botani Vallaris glabra
Nama Lain Kerak Nasi, Pokok Kesidang
Famili Caprifoliaceae
Pengenalan
Sejenis pokok renek yang memanjat, berasal dari pulau Jawa. Daunnya bujur berwarna hijau muda serta mempunyai urat-urat yang jelas. Ia merupakan tumbuhan asli di Asia Tenggara dan kini ia banyak di tanam di serata kawasan tropika dan subtropika.
pokok renek yang boleh tumbuh setinggi dua meter. Pokoknya jenis rendang dan mempunyai banyak dahan. Daunnya pula terdiri daripada jenis majmuk. Susunan daunnya pula secara bertentangan. Daun Kerak Nasi boleh dikenali melalui bentuknya yang bujur memanjang tirus serta tepi daun bergerigi. Kulit batang dan daun Kerak Nasi mempunyai getah berwarna putih.
Tanaman hiasan yang tergolong dalam keluarga ini mempunyai bunga kecil berwarna putih yang lebat dan terletak dalam jambak yang besar dan bercabang-cabang. Bunganya berbau seakan-akan bau daun pandan.Bunga kecil berwarna putih, berjambak dan terbit pada pucuk dahan atau ketiak daun. Kerak Nasi juga mempunyai buah kecil yang berwarna kehitaman.Setiap jambak terdapat 10 - 20 kuntum bunga. Bunga kesidang kembang di waktu pagi dan berbau wangi. Di waktu malam bunganya akan lebih wangi mengharumi persekitaran.
Bunga dan ranting Kerak Nasi mengandungi asid klorogen. Ada pengkaji yang menyatakan bahawa tumbuhan ini beracun dan ada pula yang mengatakan ia tidak bersifat racun. Tetapi ini berkemungkinan disebabkan terdapat dua spesies berlainan yang dianggap sebagai spesies yang sama.
Batangnya keras dan padat berwarna kuning keputihan serta mengeluarkan getah putih yang amat lekit. Lekitnya tidak hilang jika tidak dicuci dengan sabun.
Kerak Nasi ini tidak boleh dimakan tetapi mempunyai khasiat ubatan yang tersendiri.
Ada yang menanam di dalam pasu, namun biasanya ditanam di halaman. Dengan habitatnya yang memanjat dan menjalar elok disediakan para. Pokok ini sesuai dijadikan penutup pada gazibo untuk tujuan redupan di taman-taman.
Khasiat dan Kegunaan
Seluruh bahagian Kerak Nasi dikatakan mempunyai khasiat ubatan dan mampu merawat penyakit berkaitan. Semua bahagian pokok ini dikatakan boleh direbus. Kemudiannya Daun Kerak Nasi terutamanya yang segar mempunyai khasiat ubatannya.
RANGSANG PENGELUARAN PELUH,KELUARKAN KOTORAN SELEPAS BERSALIN MELAWASKAN PEMBUANGAN AIR KECIL antara kelebihan yang terdapat padanya.Selain ia dicampurkan dengan bahagian lain pokok yang sama ia setiap satunya mempunyai khasiatnya yang tersendiri, namun juga dikatakan mampu memberi khasiat ubatan lain.
Daun dan akar Kerak Nasi boleh direbus bersama. Air rebusan ini dikatakan boleh diminum untuk meredakan rasa sakit dan merawatkan pelbagai masalah berkaitan dengan tulang. Jika daun dan bunga Kerak Nasi ini di rendam ke dalam air mendidih pula air rebusan ini boleh diminum untuk merawat sakit rheumatisme, demam panas yang berpanjangan, busung , air yang bertakung dalam ginjal, mengeluarkan kekotoran selepas bersalin dan sebagai tonik untuk mengatasi keletihan dan kelesuan, air rendaman ini dikatakan boleh diminum dan mampu merangsang peluh dan juga melawaskan pembuangan air kecil.Bunganya mampu memberi bau yang mampu memberi ketenangan. Selain itu ia juga boleh di gunakan sebagai pengharum rumah . Kebanyakan rang kampung meletakkan bunga tersebut di atas katil bagi mengharumkan tempat tidur. Ada juga yang meletakkannya di atas sanggul, di dalam baju, almari pakaian, di dalam kasut dan di tempat-tempat yang sukar untuk kita mendapatkan bau yang menyenangkan. Ia di katakan menjimatkan kos perbelanjaan kita kerana kita tidak perlu untuk membeli pelbagai jenis perfume, deodarant atau apa sahaja seumpamanya bukan sahaja kosnya mahal malah kadangkala tidak menepati citarasa kita.
Terdapat pelbagai cara penyediaan boleh dilakukan bagi mendapatkan khasiat daun ini. Jika daun ini ditumbuk halus, ia dikatakan boleh ditampal pada tempat kecederaan patah tulang, penyakit kulit, salah urat, terseliuh dan rheumatisme.
Akar Kerak Nasi juga dikatakan mempunyai khasiatnya. Ia dikatakan boleh direbus dan kemudiannya air rebusan ini diminum untuk merangsang peluh, mempercepatkan tulang yang patah agar mampu bersambung semula, memulihkan pelbagai kecederaan dan rheumatisme.
Buah Kerak Nasi juga dikatakan mempunyai khasiat ubatan. Ia dikatakan boleh direbus dan air rebusan ini dikatakan mampu melawaskan pembuangan air besar dan membersihkan usus dan perut, digunakan sebagai air mandian untuk merawat pelbagai penyakit kulit, sakit , bengkak, lebam dan luka yang bengkak.
Ekstrak bunga kesidang amat sesuai dijadikan wangian kerana aromanya yang lembut dan menyegarkan.
Walaupun terdapat pelbagai khasiat ubatan setiap bahagian pokok Kerak Nasi, namun begitu sebelum menggunakannya perlulah mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan